Sunday, June 7, 2009

Umpan Cacing Tiruan

.


Bakau Day Night Worm SeriesUMPAN cacing tiruan yang lembut ini sesuai digunakan pada waktu siang dan malam. Pergerakannya dalam air seolah-olah seperti umpan hidup yang mampu menarik perhatian pelbagai spesies sama ada di laut atau air tawar.


Produk ini didatangkan dalam pelbagai warna terang seperti putih, hitam, merah dan hijau untuk menarik perhatian mangsa. Saiznya pula berbeza mengikut keperluan kaki pancing. Umpan tiruan ini juga boleh digunakan untuk memancing menggunakan teknik casting, jigging dan tunda.
.

Umpan Hanyut Dengan Ladung

.

Untuk pancing hanyut menggunakan ladung, ikat belon kira-kira lima depa dari kedudukan ladung, manakala umpan pula berada kira-kira tujuh depa dari belon berkenaan.

Teknik ini sesuai untuk menghanyut bagi memburu tenggiri, layaran, mersuji dan alu-alu. Gunakan kabel sebagai prasyarat bagi mengelak perambut putus.Untuk teknik memancing dasar, labuhkan ladung sehingga mencecah dasar.

Jika kawasan dasar berpasir atau berlumpur, biarkan saja umpan berada hampir dengan dasar. Jika kawasan karang, apabila ladung mencecah dasar, angkat semula kira-kira dua hingga tiga depa supaya umpan tidak tersangkut pada karang atau reba di dasar.


.

Gewang Untuk Toman

.
Gewang selaman cetek mempunyai bebola lebih efektif memburu toman berbanding gewang selaman dalam terutama ketika air sedikit keruh. Ini berikutan kita dapat merasai secara langsung sentuhan dan sambaran toman yang hampir di permukaan.

Malah kehadiran toman mengejar dan menerkam gewang dapat dilihat dengan mudah. Jika menggunakan gewang selaman dalam maka kelibat ikan tidak kelihatan. Kita hanya tahu toman membaham gewang apabila lenturan joran berterusan secara tiba-tiba.

Bagi warna gewang pula pilih jenis yang terang, lut sinar dan berwarna garang seperti oren, merah kekuningan.Bagi mengilat toman dari tebing, saiz gewang antara 8cm hingga 12cm. Selain gewang, penggunaan popper dan soft plastik juga berkesan.


.

Umpan Patin Kolam

.
Memancing dalam air keruh memerlukan umpan yang kuat baunya. Bau yang kuat dan sesuai dapat menarik minat ikan. Patin boleh dipancing sama ada umpan terdampar di dasar atau terampai pertengahan air. Umpan pilihan adalah perut ayam, dedak dan gumpalan roti. Antara campuran yang biasa saya gunakan tambahan perisa vanila, strawberi atau pandan pada roti sebelum dikepal sehingga besar penumbuk.

.

selamat mencuba


.

Tuesday, June 2, 2009

Sentapan Padu

Untuk membuat sentapan balas padu, pastikan tali benar-benar tegang ataupun anda pastikan umpan sedang dilarikan ikan. Kemudian, rendahkan joran pada sudut kira-kira 30° dari permukaan asas dan barulah lakukan sentap balas dengan mengangkat joran sehingga kedudukan 90°.

Tahan seketika pada kedudukan ini supaya tali sentiasa tegang. Kemudian, rendahkan joran pada kedudukan 45° hingga 70°. Selepas itu, layan pergerakan ikan dengan mengawal joran serta sistem tegangan kekili pada larasan yang betul.

Joran tidak perlu diubahsuai jika kita membeli yang sudah siap dari kedai kerana pembikinannya sudah sempurna untuk digunakan. Yang paling asas ialah kemahiran memancing perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa.



.

Perihal Umpan Katak

Umpan katak yang dipasang tidak perlu hidup. Cangkuk hingga keseluruhan badan katak. Ikat kaki depan katak dengan getah di bahagian hadapan hujung kili. Jika memancing di kawasan berlumut maka kebarangkalian mata kail tersangkut adalah tinggi.

Jadi, sembunyikan mata kail di dalam badan katak berkenaan. Masalah rabut berlaku kerana pemancing terlalu cepat meyentap joran apabila berlaku sambaran. Haruan biasanya menyambar umpan tetapi tidak terus menelannya. Biarkan umpan digonggong seketika sebelum menyentap balas.

Teknik ini sedikit berbeza apabila menggunakan gewang kerana konsep mata kail adalah berlainan. Sambaran pada gewang biasanya mengena pada mata tiga. Kedua-dua jenis janggut ini boleh diguna pakai. Yang penting ialah teknik menggayakan janggut itu bagi memikat haruan.

Perihal Tali Tangsi

Sifat anjal yang dimiliki tali tangsi membolehkan tali menerima tekanan lebihan sebanyak 25 peratus. Contohnya tali yang berkuasa 10 paun boleh menerima tekanan sehingga 12.5 paun. Daya kekuatan ini membolehkan tali memanjang apabila menerima tekanan.

Tangsi juga berupaya kembali kepada bentuk dan kekuatan asal setelah berlaku tekanan kecil yang tidak melebihi kadar 25 peratus itu. Pada amnya, semakin halus dan semakin kecil diameter tali, semakin kuranglah tekanan yang diperlukan untuk merosakkan daya kekuatannya.

Bagaimanapun pemancing harus berhati-hati kerana tenaga dan saiz ikan, jangka masa dan tekanan semasa pertarungan boleh menghampiri titik pemutusan tali. Kebanyakan pemancing profesional yang ingin memecahkan rekod tangkapan ikan besar akan menggunakan tali berkuasa rendah sambil membawa gelendung tambahan untuk menukarnya setiap kali selesai pertarungan.

Untuk memeriksa calar dan hakisan yang mungkin wujud pada tali, anda hanya perlu lurutkan tali antara jari ibu dan telunjuk ketika memasukkan tali ke dalam geledung. Beringat supaya mengeluar atau memeriksa lebihan tali selepas setiap 'trip' memancing. Seandainya ikan pernah melarikan sebanyak 20 meter tali, maka keluarkan 40 meter untuk memeriksa takik yang mungkin disebabkan oleh sampah, batu, ikan, kerosakan cincin atau ikatan pada cili.

Ketahanan tali yang halus akan merosot atau hilang dalam kadar yang tinggi sekiranya terdapat takik atau kikisan berbanding tali kasar yang sama ketahanannya.Regangan lampau pada tali tangsi juga perlu diperiksa dengan cara mengeluarkan dan kemudian memasukkan tali semula ke dalam kekili melalui ibu jari dan telunjuk. Tali yang masih baik mempunyai bentuk ukur lilit yang bulat.

Oleh itu, jika anda merasai perubahan pada bentuk tali kepada bentuk leper yang menipis ataupun daya regangan seolah-olah hilang maka daya ketahanan pada bahagian berkenaan adalah kritikal. Gantikan tali. Sekiranya anda berada di atas bot dan tidak mempunyai tali simpanan, buangkan beberapa meter di belakang tempat yang rosak.

Satu lagi kunci untuk mengetahui tali sudah rosak ialah daya kekuatannya yang agak lemah. Jika ikatan yang betul gagal dilakukan, itu tandanya ia perlu ditukar.


.