Friday, November 13, 2009

UMPAN PERUMPUN


UMPAN perumpun atau umpun-umpun cukup popular bagi semua pemancing yang biasa menggunakannya kerana kemampuannya menjerat pelbagai spesies ikan dan udang sama ada di air masin atau tawar di perairan negara kita ini.Namun bagi pemancing baru mereka mungkin belum tahu akan ‘kuasa saktinya’ apabila melihat spesies persis cacing yang berwarna merah muda ini menggeletek geli apabila disentuhnya. Justeru, inilah masanya untuk mencungkil serba sedikit maklumat berkaitan umpan semula jadi anugerah alam ini.

Perumpun atau cacing air masin adalah dari kumpulan haiwan invertebrat yang juga sebenarnya hampir sama dari jenis saudaranya, iaitu cacing tanah yang terdapat di kebun pisang atau belakang rumah kita. Namun, bentuknya yang lembut dan panjang sehingga mencapai 30 sentimeter serta mempunyai kaki seperti lipan, membuatkan spesies ini berbeza banyak dengan cacing tanah yang sedia ada.
.
Habitat spesies ini boleh didapati di kawasan berlumpur yang diliputi pokok bakau atau nipah di persisiran pantai dan ianya bersarang di dalam lumpur itu sendiri. Di negara beriklim khatulistiwa ini, terdapat beberapa spesis perumpun yang dijadikan umpan untuk ikan tertentu atau mengikut padang pancingan masing-masing. Perumpun ini antaranya perumpun pasir, merah dan jangkau.
.
Umpan ini masing-masing dikhaskan, perumpun pasir - ikan bolos, gelama dan sembilan. Jangkau - ikan duri, jenahak, jengah dan gubal dan perumpun merah - udang galah serta ikan baung.
.
Justeru, cara untuk mencarinya perlu diserahkan kepada mereka yang pakar mengesannya iaitu ketika air surut di kawasan paya bakau di mana sarangnya boleh dikenal pasti melihat timbunan najis tanah atas kawasan yang berlumpur.Sarangnya itu akan dikorek menggunakan cangkul atau penyedok khas sedalam kira-kira satu meter dan kemudian di tarik secara perlahan-lahan bagi mengelakkan badannya terputus.
.

Untuk menggunakan umpan ini, mata kail bersesuaian dengan saiznya diperlukan dengan mencangkuk perumpun terbabit yang dipotong kira-kira satu hingga dua sentimeter.
.
Petua untuk umpan ini tahan lama janganlah anda memotong di bahagian kepala dulu dan mulakan dari ekornya sedikit demi sedikit dan sekiranya tidak habis digunakan simpanlah dalam bekas asalnya dan letak di tempat yang teduh.Sekarang ini, umpan perumpun mudah didapati di kedai pancing atau di tepi jalan di lokasi memancing dengan harga antara RM5 sehingga RM6 mengikut isi kandungannya.
.
sumber: Joran Berita Harian

ANAK TEBUAN UMPAN PUYU DAN KELI


UMPAN serangga seperti anak tebuan cukup sinonim dengan pemancing yang gemarkan memancing ikan puyu, haruan atau keli di kawasan air tawar seperti sawah padi, sungai atau paya.Baunya yang sedikit tengik atau berbau cukup di gemari ikan yang menghidunya untuk dijadikan menu makanan utamanya. Bentuknya menyerupai larva seakan ulat beluncas serta berwarna putih ketika masih ‘bayi’ dan berwarna kehitaman apabila dewasa, dijumpai dalam kepompong sarangnya.

Pada kebiasaannya sarang tebuan ini boleh ditemui pada atas ranting pokok atau kawasan tumbuhan renek di sekitar kampung atau hutan tebal. Bentuk sarang ini seperti tempayan dan berupaya membesar sehingga pemeluk orang dewasa cukup digeruni oleh manusia yang bimbang disengat oleh tebuan sekiranya diganggu.Bagi pakar yang gemar mencari umpan ini, mereka terlebih dulu mengasap atau membakar sarang yang dikenal pasti bagi menghalau tebuan dewasa dan mengambil anaknya.

Dari segi penyediaannya, umpan tebuan digoreng tanpa minyak terlebih dulu dengan resipi tersendiri seperti dimasukkan asam keping supaya tahan lebih lama dan disamping bertujuan mengeluarkan bau tengiknya. Di arena memancing, anak tebuan yang siap dimasak akan diperam selama beberapa hari untuk menyimpan baunya. Selepas itu, anak tebuan ini akan dicangkukkan dari bahagian kepala sehingga ekornya dengan mata kail bersaiz sepuluh atau 11.Menurut pemancing yang biasa menggunakan umpan ini, anak tebuan dikatakan berkesan meransangkan deria spesis bersisik seperti ikan puyu untuk memakannya.Katanya lagi, sekiranya kena pada lubuknya tangkapan bersaiz empat jari dewasa adalah perkara biasa bagi penggemar umpan anak tebuan ini.

Tambah mereka lagi, keadaan iklim yang tidak menentu sekarang ini menyebabkan mengapa sarang tebuan ini sukar ditemui.



sumber: Joran Berita Harian

KELI GERGASI SEPANYOL


LONDON - Seorang pemancing, Sean Kinnear berjaya menangkap seekor ikan keli antara yang paling berat di dunia, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang berumur 27 tahun dari Hitchin bergelut selama 15 minit sebelum menangkap ikan keli seberat 107.95 kilogram (kg) di Sungai Ebro, Sepanyol baru-baru ini.
Menurutnya, ikan itu muncul di permukaan dan kami semua terperanjat kerana ia sungguh besar.

"Ia amat berat dan batang pancing bengkok. Saya berusaha untuk menariknya manakala empat orang terpaksa menariknya ke daratan," katanya.

Sean yang memancing sejak berumur 12 tahun mengikuti bapa dan sepupunya untuk memancing dekat dengan bandar Mequinenza di Sepanyol.

Ikan itu ditimbang untuk mengetahui beratnya sebelum dilepaskan semula ke dalam sungai.
Sebelum ini ikan keli paling besar pernah ditangkap ialah di Sungai Mekong, Thailand dengan beratnya ialah 293kg pada 2005.


kosmo 13 Nov 2009