Thursday, September 23, 2010

Cara Tukar Cincin Joran


Cara menukar dan menanggalkan cincin hujung pada joran patah;

1. Kikis dulu selaput gam pada hujung joran patah berserta pada cincin hujung.
2. Dapatkan pemetik api atau nyalakan lilin,
3. Panaskan cincin hujung yang ada pada joran yang patah.
4. Panaskan pada bahagian besi/logam cincin hujung saja, andainya cincin tersebut ingin diguna pakai semula.
5 . Awas jangan panaskan gelung atau seramik cincin mahupun pada joran.
6 . Berhenti memanas apabila kawasan logan cincin hujung mengembang atau mengeluarkan sedikit asap. Kepanasan melampau boleh merosakkan cincin dan joran tersebut.

7 . Asap berkenaan adalah gam bahagian dalam cincin hujung yang terbakar.
8 . Ambil kain atau sarung tangan tebal. Playar juga boleh digunakan. Ini adalah kerana cincin adalah panas.
9 . Tarik keluar cincin hujung secara selari dengan joran.
10 .Biarkan cincin yang di keluarkan sejuk semula jadi.

Cara memasang cincin hujung

1 . Pastikan saiz lubang cincin hujung muat dengan joran yang hendak dipasang.
2 . Jika ketat sedikit boleh guna kertas pasir untuk menggosok joran. Jika terlalu kecil cari cincin yang sama saiznya.
3 . Sekiranya cincin terlalu besar, dapatkan pita pelekat dan balut pada joran supaya cincin adalah ketat apabila di masukkan nanti.
4 . Guna gam cepat kering (5 minit Epoxy atau gam gajah).
5 . Sapukan gam di sekeliling joran.
6 . Masukkan cincin hujung sambil pastikan ia selari dengan cincin yang lain pada kedudukan joran.
7 . Biarkan ia mengeras seketika. Boleh digunakan 30 minit selepas gam kering.


Umpan Pancing Di Muara


Sebut mengenai muara, umpan paling sesuai ialah udang putih atau udang kertas hidup. Ia adalah diet bagi hampir semua ikan muara. Belanak hidup yang panjang badannya turut digemari jenahak, pari, kerapu mau pun siakap. Selain itu umpan ikan beliak mata, ikan bilis kasar dan ikan selangat turut digemari semua spesies yang disebutkan.

Satu lagi umpan semula jadi yang cukup digemari segala jenis ikan muara ialah perumpun. Namun umpan ini cepat habis sekiranya terdapat banyak anak ikan di kawasan pancing. Lubuk pancing terbaik di kawasan muara ialah tepian reba yang banyak terdapat pokok bakau tumbang, kawasan beting pasir khas untuk pari dan senangin serta muara anak sungai di mana menjadi kawasan tumpuan ikan mangsa dan pemangsa keluar masuk ketika air pasang mahupun surut.

Tidak kira di mana sungai dan muara, habitat dan sasaran ikan buruan saudara adalah sama saja. Petua muda kalau air pasang rapat ke kawasan reba dan ketika air surut cari lubuk dalam sedikit di mana kawasan ikan berkumpul. Pari lebih tertumpu di kawasan terbuka seperti beting dan pesisir muara.

Kawasan yang terdapat banyak reba, pokok kayu tumbang, muara anak sungai dan teluk dalam adalah lubuk yang patut pemancing mengendap ikan.


Monday, September 20, 2010

Khasiat Ikan Haruan


SEJAK turun-temurun, ikan haruan telah terkenal sebagai sumber makanan dengan pelbagai khasiat kesihatan yang tidak dapat disangkal lagi. Mempunyai nama saintifik Channa striatus, hidupan air tawar itu menjadi makanan yang sangat popular terutama dari kalangan penduduk Asia.

Antara khasiat kesihatannya adalah seperti mampu menyembuhkan luka, mengurangkan kesakitan selepas pembedahan serta baik untuk ibu bersalin.Kandungan asid amino dan lemak daripada ikan itu pula baik untuk memulihkan parut luka dengan lebih cepat serta sesuai merawat gastrik.

Di samping itu, ia turut mengandungi vitamin A yang berupaya meningkatkan daya ingatan, penglihatan, menjadikan kulit lebih halus dan mengandungi bahan anti oksida bagi fungsi melambatkan proses penuaan.Khasiat lainnya adalah seperti asid arasidonik untuk membantu pertumbuhan sel-sel baru serta kolagen bagi pengekalan kulit muda.

Di negara kita, sumber makanan itu kebiasaannya diperolehi dalam bentuk produk pati ikan haruan yang banyak terdapat di pasaran.Namun, bagi sesetengah individu, mereka mungkin sukar untuk meminum pati tersebut kerana rasa dan baunya yang kurang digemari.Justeru, bagi memastikan khasiat ikan itu dapat dinikmati dengan cara yang lebih mudah, ia kini dihasilkan dalam bentuk sup segera.

Dikenali sebagai Sup Haruan Kolagen, produk berkenaan telah dihasilkan oleh sebuah syarikat perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan, Bio Haruantech (M) Sdn. Bhd.Menurut Pengarah Urusannya, Mohammad Munir Lukman Hakim, idea menghasilkan sup tersebut timbul setelah mendapati pesakit-pesakit di hospital dan klinik sukar untuk memperolehi ikan haruan.

''Bermula daripada situ, saya mula mengumpul maklumat dan menjalankan kajian bagaimana penghasilan sup ikan haruan. Ia telah mengambil masa selama tiga tahun.''Selain berkhasiat, sup ini juga mempunyai rasa yang sangat sedap dan sesuai dijadikan makanan harian,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.Memasuki pasaran pada tahun 2007, produk yang dipaketkan di dalam tin itu pada mulanya kurang mendapat sambutan.

Mencari kaedah penyelesaian, Mohammad Munir kemudiannya meneruskan kajian selama lebih kurang setahun lagi untuk memperbaiki mutu produk tersebut.Akhirnya, beliau telah berjaya menghasilkan sup dalam bentuk serbuk dengan kandungan kolagen yang tinggi dan tidak berbau.

Bagi menjamin khasiat sup ini, ia diadun bersama rempah ratus asli yang baik untuk kesihatan seperti kulit kayu manis, lada hitam dan sebagainya.Kandungannya juga semulajadi tanpa menggunakan bahan pengawet atau pewarna selain mempunyai lebih 50 peratus isi ikan.Ini kerana, di dalam isi ikan tersebut terdapat sejenis bahan yang diberi nama Glycine iaitu sebahagian daripada komponen kolagen dalam sel kulit manusia.

Bahan ini akan bertindak mempercepatkan percantuman kulit yang terluka dan seterusnya membentuk sel baru.Bercerita mengenai sumber ikan mentah, beliau memperolehinya daripada beberapa kolam ternakan yang diselia di bawah Jabatan Perikanan.''Sebelum dijadikan ramuan dalam penyediaan sup, ikan-ikan ini akan menjalani ujian DNA dan ujian mikro terlebih dahulu bagi mengenalpasti nutriennya.

''Saya mendapat bimbingan daripada Jabatan Perikanan dan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam proses menjalankan ujian ini,'' jelasnya.Cara penyediaan sup itu amat mudah di mana pengguna hanya perlu melarutkan serbuknya di dalam 200 mililiter air dan ia boleh dimakan terus.Ia dijual dengan harga RM16 sekotak di mana setiap kotak mengandungi tiga paket sup.

''Sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Setakat ini kilang kami di Rawang telah mengeluarkan sebanyak 20,000 hingga 30,000 kotak untuk memenuhi permintaan pasaran'' jelasnya.Dari segi pasaran, beliau ketika ini sedang berusaha membawa masuk produknya untuk dijual di pasar raya besar.Pada masa akan datang, beliau turut bercadang meneruskan kajian dalam penghasilan produk sup belut pula untuk khasiat kesihatan lelaki.



Khasiat Ikan Kod


Ikan kod merupakan sumber protein terbaik untuk dinikmati. Apa yang menarik, selain membekalkan kandungan protein yang tinggi, ikan kod juga rendah kalori (4 auns hidangan ikan kod membekalkan kira-kira 52.1 peratus protein dengan hanya 119 kalori).

Ia juga membekalkan beberapa nutrisi penting yang lain dan amat bermanfaat kepada kesihatan kardiovaskular anda. Kajian di Amerika menunjukkan bahawa mereka yang makan ikan kod dengan kerap akan membantu mengurangkan risiko diserang sakit jantung. Ikan kod kaya dengan kandungan asid omega 3, vitamin B12 dan vitamin B6 yang diperlukan bagi memastikan kadar homocysteine dalam tubuh berada pada tahap rendah. Ini penting kerana jika kadar homocysteine dalam tubuh tinggi, ia akan memberikan tekanan pada salur darah dan ini akan menyumbang pada serangan sakit jantung

Khasiat Ikan

Statistik menunjukkan sehingga tahun 1995, kadar pengambilan ikan di Malaysia ialah sebanyak 39.1 peratus dan dijangka meningkat 56 peratus menjelang 2010. Ikan membekalkan di antara 60 hingga 70 peratus protein haiwan kepada manusia.

Protein penting untuk pertumbuhan dan perkembangan semua anggota badan dan berfungsi membina tisu, kulit, rambut, kuku dan organ dalaman termasuklah otak serta jantung. Protein digunakan sebagai sumber haba dan tenaga sekiranya bekalan lemak serta karbohidrat dalam badan tidak mencukupi.

Kandungan protein dalam isi ikan berbeza mengikut corak pemakanan, jantina, umur, kandungan lemak dan air di persekitaran. Ikan yang kurang berlemak mengandungi protein lebih tinggi berbanding ikan berlemak dan ia menyimpan lemak di dalam hati. Ikan siakap, kerisi, merah, kerapu dan jenahak dikategorikan sebagai kurang berlemak. Ikan yang berlemak pula ialah ikan yang menyimpan lemak dalam tisu badan yang lain. Ikan pelagik seperti kembung, cencaru, bawal, tenggiri dan selar kuning adalah antara jenis ikan berlemak.

Ikan Emas Lutsinar


TOKYO – Para penyelidik Jepun berjaya menghasilkan ikan emas lutsinar yang membolehkan orang ramai melihat hati haiwan itu.“Anda boleh melihat hati dan organ-organ lain secara langsung kerana sisik dan kulit ikan ini tiada pigmen,” kata Profesor Madya Yutaka Tamaru dari Jabatan Sains Hidupan, Universiti Mie.“Anda tidak perlu membedah ikan itu (untuk melihat isinya). Anda boleh melihat otak kecil di atas mata ikan tersebut,” jelasnya.


Sekumpulan penyelidik Universiti Mie dan Universiti Nagoya di tengah Jepun melakukan kajian selama dua tahun untuk menghasilkan ikan itu.Ikan itu dijangka mampu hidup sehingga 20 tahun dan membesar sepanjang 25 sentimeter dengan berat lebih dua kilogram.Ia dihasilkan dengan memilih ikan emas mutan yang mempunyai kulit pucat dan membiaknya bersama-sama.

Ikan Keli Gergasi


BARCELONA – Seorang nenek berusia 54 tahun dari Britain dan buta sebelah matanya, Sheila Penfold mencipta rekod untuk wanita apabila dia berjaya memancing seekor ikan keli terbesar seberat 97 kilogram (kg) di Sepanyol,

Dia yang dibantu suaminya, Alan, dan anaknya, Arthur memancing ikan, mengambil masa selama 30 minit bergelut untuk menariknya ke atas tebing semasa dia memancing di Sungai Ebro dekat sini baru-baru ini.

Jawatankuasa Rekod Perikanan Britain mengesahkan, tangkapan itu adalah yang paling besar dilakukan oleh seorang wanita Britain mengatasi rekod sebelum ini oleh Bev Street, 46, yang pernah memancing ikan keli dengan berat 32kg.

Ia juga merupakan rekod bagi wanita yang memancing ikan di Sepanyol namun keluarga itu melepaskan ikan tersebut kembali ke dalam sungai.

Keluarga tersebut yang tinggal di Wandsworth, London mendakwa ikan keli itu berukuran 2.48 meter panjang dan mereka memancing dari tebing sungai dengan menggunakan tiga batang joran yang berasingan


Ikan Kap Gergasi

PARIS - Seorang pemancing, Raphael Biagini berjaya menangkap seekor ikan kap koi gergasi berwarna keemasan seberat 13.60 kilogram di sebuah tasik di selatan Perancis, lapor sebuah akhbar semalam.Ikan yang seberat budak perempuan berumur tiga tahun itu dianggap antara yang paling besar pernah ditangkap pemancing.Biagini bertarung selama sepuluh minit dengan ikan itu sebelum ia dapat ditarik keluar dari tasik berkenaan baru-baru ini.

Detik-detik yang mengembirakan buat pemancing itu berlaku selepas beberapa rakan memberitahunya bahawa mereka telah menghabiskan masa selama enam tahun sebelum ini untuk cuba menangkap ikan tersebut."Ikan itu merupakan haiwan yang kuat melawan tetapi ia gagal untuk menang (pertarungan tersebut)," kata Biagini.Selepas bergambar dengan ikan itu, Biagini melepaskannya semula ke tasik berkenaan.