Wednesday, August 3, 2011

Umpan Patin

1.Campuran dedak iaitu sejenis umpan yang banyak digunakan kaki patin kolam dengan adunan dari dedak yang berbeza.

Salah satu resepi yang saya perolehi dari kaki patin kolam ialah campuran sepaket dedak bom dengan dua paket dedak 923 serta 12 camca besar dedak merah atau dedak perasa pandan.

Gaul hingga sebati barulah campur sedikit air. Peram ia seharian di dalam bekas kedap udara sebelum digunakan ketika hari memancing.

2. Biskut :- Untuk biskut yang terbaik ialah gunakan biskut berasas kelapa (mudah didapati di kedai runcit) dan hancurkan hingga lumat menjadi seperti dedak.
Pakai pengisar pun boleh, kemudian dapatkan sedikit dedak 929 setengah pakej atau gunakan sukatan sesuai mengikut keperluan.

Kemudian masukkan sedikit serbuk biskut kelapa ke dalam dedak ini sehingga bau dedak hilang, yang ada aroma biskut kelapa. Kemudian campur sedikit air tetapi jangan terlalu cair.

Teknik ini perlu guna mata bom berspring supaya ia tidak terlerai ketika balingan dibuat.

3. Roti;- Potong kepingan kecil menjadi dadu sebesar ibu jari menggunakan sebarang jenis roti dan pasang dua hingga empat ketul pada mata kail.

Kemudian dapatkan dua bungkus roti jenama SEDAP dan hancurkan ia menjadi serbuk kasar. Gaul pula serbuk roti ini dengan pisang masak atau kuning telur yang diperam semalaman.

Pisang masak atau kuning telur digunakan kerana sifatnya yang melekit bertujuan untuk memastikan serbuk roti tidak terlerai ketika lontaran.

Sesudah semuanya tersedia, maka teknik lontaran perlu dipastikan betul dan seeloknya pastikan kita melontar umpan tepat ke kawasan yang sama supaya bahan umpan yang hancur dikerumuni ikan sasaran anda. Selamat mencuba.

sumber: Joran Berita Harian

Udang Galah Galak Musim Tengkujuh

Musim tengkujuh lazimnya dikaitkan dengan waktu gelora laut dan amat tidak sesuai memancing di laut dan pesisir pantai. Angin kuat akan menjadikan laut bergelombang tinggi dan tidak selamat bagi bot kecil atau sampan pemancing. Hujan Monsun Timur Laut turut memberi kesan kepada aras dan arus sungai dan laut.
Ketika ini, hujan pasti melimpahi kawasan lembah dan seterusnya dibawa arus sungai yang deras menuju muara. Akhirnya kawasan muara pantai air menjadi tawar. Apabila ini berlaku, arus sungai sebenarnya turut membawa udang galah mudik ke hilir sungai dan berselerak di kawasan muara hingga hampir dengan kawasan pantai.

Fenomena ini membuatkan ramai kaki pancing laut dalam tidak boleh memancing di laut tetapi akan beralih selera dengan memancing udang galah yang pasti melimpah di kawasan muara ketika tengkujuh.


sumber: Joran Berita Harian