Tuesday, December 20, 2011

Umpan Perumpun

UMPAN perumpun atau umpun-umpun cukup popular bagi semua pemancing yang biasa menggunakannya kerana kemampuannya menjerat pelbagai spesies ikan dan udang sama ada di air masin atau tawar di perairan negara kita ini. Namun bagi pemancing baru mereka mungkin belum tahu akan 'kuasa saktinya' apabila melihat spesies persis cacing yang berwarna merah muda ini menggeletek geli apabila disentuhnya.

UMPAN perumpun atau umpun-umpun cukup popular bagi semua pemancing yang biasa menggunakannya kerana kemampuannya menjerat pelbagai spesies ikan dan udang sama ada di air masin atau tawar di perairan negara kita ini.

Namun bagi pemancing baru mereka mungkin belum tahu akan ‘kuasa saktinya’ apabila melihat spesies persis cacing yang berwarna merah muda ini menggeletek geli apabila disentuhnya.

Justeru, inilah masanya untuk mencungkil serba sedikit maklumat berkaitan umpan semula jadi anugerah alam ini.


Perumpun atau cacing air masin adalah dari kumpulan haiwan invertebrat yang juga sebenarnya hampir sama dari jenis saudaranya, iaitu cacing tanah yang terdapat di kebun pisang atau belakang rumah kita.

Namun, bentuknya yang lembut dan panjang sehingga mencapai 30 sentimeter serta mempunyai kaki seperti lipan, membuatkan spesies ini berbeza banyak dengan cacing tanah yang sedia ada.

Habitat spesies ini boleh didapati di kawasan berlumpur yang diliputi pokok bakau atau nipah di persisiran pantai dan ianya bersarang di dalam lumpur itu sendiri.

Di negara beriklim khatulistiwa ini, terdapat beberapa spesis perumpun yang dijadikan umpan untuk ikan tertentu atau mengikut padang pancingan masing-masing. Perumpun ini antaranya perumpun pasir, merah dan jangkau.

Umpan ini masing-masing dikhaskan, perumpun pasir - ikan bolos, gelama dan sembilan. Jangkau - ikan duri, jenahak, jengah dan gubal dan perumpun merah - udang galah serta ikan baung.

Justeru, cara untuk mencarinya perlu diserahkan kepada mereka yang pakar mengesannya iaitu ketika air surut di kawasan paya bakau di mana sarangnya boleh dikenal pasti melihat timbunan najis tanah atas kawasan yang berlumpur.

Sarangnya itu akan dikorek menggunakan cangkul atau penyedok khas sedalam kira-kira satu meter dan kemudian di tarik secara perlahan-lahan bagi mengelakkan badannya terputus.

Untuk menggunakan umpan ini, mata kail bersesuaian dengan saiznya diperlukan dengan mencangkuk perumpun terbabit yang dipotong kira-kira satu hingga dua sentimeter.

Petua untuk umpan ini tahan lama janganlah anda memotong di bahagian kepala dulu dan mulakan dari ekornya sedikit demi sedikit dan sekiranya tidak habis digunakan simpanlah dalam bekas asalnya dan letak di tempat yang teduh.

.

Cara membuat ikatan Bimini Twist



Bimini Twist digunakan oleh ramai golongan pemancing layang dan sukan kerana ketahanannya terhadap tegangan melampau yang boleh memutuskan tali apabila henjutan kuat berlaku secara tiba-tiba.

Terdapat dua kaedah ikatan Bimini Twist iaitu dengan tegangan kekili dan tegangan tangan. Asasnya sama teknik ikatan dengan bantuan tegangan kekili lebih mudah bagi yang baru mempelajarinya, manakala tegangan tangan memerlukan kemahiran dan pengalaman (rujuk gambar rajah)

Gambar 1 - Pasang kekili, setkan sistem 75% tegangan supaya tangsi tidak keluar apabila ditarik. Buat satu simpul mudah (Gambar 1b) untuk kegunaan mematikan simpulan pada akhir proses nanti.

Gambar 2 - Buat pusingan ikut jam sehingga lilitan terhasil kira-kira 30 lilitan (lop) yang kemas.

Gambar 3 - Tahan gelung lilitan dengan tapak kaki dan masukkan tangan ke dalam lop manakala hujung tali diregangkan pada sebelah tangan lagi.

Gambar 4 - Padatkan lop dengan membuka ruang lop sehingga lilitan tadi menjadi bertambah padat. Dimasa yang sama tahan agar hujung lilitan satu lagi ditegangkan menjadi lurus seperti Gambar 4b.

Gambar 5 - Kemudian padatkan lagi gelung/lop supaya hujung tangsi mula membuat lilitan kedua di atas lilitan pertama supaya ia terhasil belitan kedua ini kira-kira 5 hingga 7 lilitan (Gambar 5b).

Gambar 6 - Ambil gelung kecil yang dibuat sebelum ini (Gambar 1b) dan letakkan di bawah lilitan kedua.

Gambar 7 - Lilit kembali lilitan kedua tapi kali ini di atas gelung kecil tadi sehingga tiga atau empat pusingan. Rujuk Gambar 7b untuk paparan lebih jelas.

Gambar 8 - Tegangkan tali dan tarik keluar gelung kecil supaya hujung tali turut sama ditarik keluar dengan perlahan. Pastikan lop masih diletakkan pada tapak kaki (atau apa-apa objek yang kekal dan kuat) ditegang dengan sempurna.

Gambar 9 - Apabila hujung tali dikeluarkan, padatkan lagi dengan menarik sehingga lilitan menjadi bertambah kemas. Jangan terlalu kuat kerana ia boleh mencederakan tali. Potong hujung baki tali supaya terhasil ikatan Bimini Twist yang cantik (Gambar 9b).

.

Teknik Pancing Tebing Berbatu

Memancing di tebing berbatu adalah kawasan berpotensi menjinakkan ikan. Batu atau karang di kawasan itu menjadi kegemaran ikan berlindung dan memburu mangsa. Namun begitu, karang dan batu turut mendatangkan masalah kepada pemancing lebih-lebih lagi jika kita memancing dari tebing atau pantai. Masalah sangkut adalah lumrah di kawasan sebegini lebih-lebih lagi jika memancing dasar. Ia hampir tidak dapat dielakkan sepenuhnya jika kawasan batu itu mempunyai karang dan teritip. Walaupun tiada jalan penyelesaian mutlak, pemancing boleh mengamalkan beberapa teknik bagi menewaskan ikan batu karang di dasar. Antaranya:

a) Gunakan teknik pancing apollo di mana ladung di bahagian bawah sekali. Jika tidak ingin kehilangan ikan, tangsi yang diikat pada ladung harus lebih kecil daripada perambut untuk mata kail. Oleh kerana ladung mencecah dasar, risiko untuk sangkut adalah tinggi. Jika tersangkut, pemancing masih dapat mata kail mahupun ikan kerana tali yang lebih halus akan putus terlebih dahulu apabila tersangkut.

b) Teknik tanpa pemberat. Teknik ini lebih sesuai jika kawasan berkenaan lemah arusnya atau arus menolak ke arah laut. Umpan seperti isi ikan dipasang terus hingga menutupi seluruh mata kail dan di lontar ke sasaran. Umpan ini akan mengambil masa untuk sampai ke dasar. Ketika ia menjunam, umpan mudah menjadi sasaran ikan dan pemancing perlu mengarau tali jika terdapat tanda ia disambar. Sambaran dengan teknik pancing begini biasanya berlaku pertengahan air dan kawasan di mana kadar sangkut mata kail adalah minimum.

c) Teknik menggunakan pelampung. Untuk teknik memancing dasar menggunakan pelampung, pemancing harus bijak menentukan kedalaman air setempat. Untuk teknik ini, jika umpan dapat dilabuhkan kira-kira 1 hingga 3 kaki dari dasar maka potensi ia disambar adalah tinggi. Jika terlalu rendah atau jauh ke dasar kemungkinan sangkut adalah tinggi.

Cara Buat Sentapan Padu




Untuk membuat sentapan balas yang padu, pastikan tali utama benarbenar tegang ataupun pastikan umpan sedang dilarikan ikan, kemudian rendahkan dulu joran pada kira-kira 30° dari permukaan asas dan kemudian barulah sentak balas dengan mengangkat joran sehingga kedudukan 90°. Tahan seketika pada kedudukan ini supaya tali sentiasa tegang dan kemudian baru kita perlu memberi seketika tali dengan merendahkan joran pada kedudukan 45° hingga 70°. Joran tidak perlu di ubahsuai jika kita membeli yang siap dari kedai kerana ianya sudah sempurna untuk digunakan. Yang asas ialah kemahiran dan skill memancing perlu di pertingkatkan.