Friday, May 1, 2009

Perihal Ikan Sepat


IKAN sepat (Gourami) dianggap antara spesies yang jarang dipelihara oleh pemilik akuarium. Ini kerana ramai yang menyifatkan spesies itu sukar dipelihara. Dan ada juga berpendapat spesies itu yang tidak ada nilai komersil.

Bagaimanapun tidak kurang juga pemilik akuarium yang memelihara spesies ini kerana keunikannya selain semakin sukar ditemui di parit atau kolam yang sebelum ini menjadi habitat utamanya. Perlu diingat terdapat empat jenis ikan sepat - Honey Gourami (Colisa chuna), Dwarf Gourami (Colisa lalia), Pearl Gourami (Trichogaster leeri) dan Blue Gourami (Trichogaster trichopterus).

Setiap spesies menampilkan sifat fizikal berlainan dan memiliki daya tertarik sendiri kerana sudah ramai pemilik ikan mula untuk mengumpul spesies ini yang dianggap semakin pupus.Mungkin ramai yang tidak mengetahui memelihara spesies ini dianggap mudah berbanding spesies lain. Ini kerana ia dianggap lasak dan tidak memerlukan penjagaan terlalu rapi serta mudah hidup.


Harga jualan kurang RM5 seekor serta variasi jenis sepat ini menyebabkan sudah ramai pemilik kedai akuarium mula menjualnya kerana ia semakin mendapat tempat di kalangan pemilik akuarium.Empat jenis ikan sepat ini memiliki tabiat pemakanan, pembiakan, kesesuaian pencahayaan dan penyediaan akuarium serta tabiat renangan yang hampir sama dan hanya memerlukan penjagaan minimum.


Spesies ini menggemari makanan kering sama ada dalam bentuk butiran atau kepingan tipis. Ia disifatkan tidak terlalu memilih dalam pemilihan makanan.Sepat membiak secara bertelur. Ia cukup selesa dengan akuarium yang terang tanpa pencahayaan matahari. Ikan ini bukan jenis pemangsa. Justeru, ia mesra dengan ikan lain. Lanskap akuarium yang sesuai ialah dengan memasukkan tumbuhan air secara padat.

Tabiat renangan ialah gemar berlegar-legar di bawah permukaan air. Bagaimanapun dari segi air, Honey Gourami serasi dengan air pH6.8, keliatan air H7, suhu air 28 darjah Celsius, membesar sehingga 6 sentimeter dan takungan air 80 liter. Dwarf Gourami (pH6, H7, 28 darjah Celsius, 6cm, 80 liter), Pearl Gourami (pH7, H8, 10cm, 26 darjah Celsius dan 100 liter) dan Blue Gourami (pH6.8, H6, 27 darjah Celsius, 15cm dan 200 liter).


.

Perihal Ikan Kelisa


IKAN kelisa (Scleropages formosus), antara spesies yang menjadi idaman ramai pemilik akuarium di negara ini kerana keunikan dan ada yang menyifatkan satu simbol kemewahan atau sesetengah pihak pula berpendapat boleh membawa tuah.

Persepsi penggemar kelisa juga menyebabkan nilai ikan ini melambung di pasaran hingga mampu mencecah ribuan ringgit dan sentiasa menjadi buruan ramai pemilik akuarium sejak kebelakangan ini.Keunikan ikan ini dikatakan mampu memukau pemiliknya yang sanggup menghabiskan masa untuk melihatnya berenang dalam akuarium.


Bagaimanapun, ada beberapa perkara asas yang perlu diketahui oleh bakal atau pemilik spesies ini iaitu ikan jantan dan betina perlu diletakkan dalam tangki konkrit 2.0 meter x 2.2 meter dengan kedalaman air 0.4 meter bagi tujuan pembiakan.Penukaran air perlu dilakukan setiap hari dengan campuran air paip dan air perigi untuk memastikan air sentiasa bersih, manakala segala mineral dalam air dapat membantu proses pembesaran ikan.

Tangki atau akuarium perlu ditutup dengan sesuatu seperti jaring yang mampu memberikan sistem pengudaraan untuk mengelakkan daripada ikan melompat keluar kerana spesies ini menjadi agresif selepas bertelur.Tangki atau akuarium perlu dilindungi daripada sinaran matahari dan suhu air dikekalkan pada tahap 26 - 30 darjah celcius, manakala bacaan pH air perlu berada pada bacaan sekitar 6 hingga 7.5.


Bagi mempercepatkan proses pembiakan dan tumbesaran ikan, makanan seperti lipas atau cacing tanah antara jenis makanan yang disarankan sepanjang proses pembiakan. Perlu diingat proses bertelur spesies ini berlaku sekurang-kurangnya setahun sekali sekitar Oktober dan ada kemungkinan berlaku pada bulan lain seperti Mac.

Kebiasaannya, spesies ini akan mengeluarkan telur sehingga 50 biji setiap kali proses bertelur, manakala kelisa jantan akan mengeramkan telur berkenaan di dalam mulut sehingga menetas.Ikan jantan hanya akan membebaskan anak ikan selepas ikan betina dikeluarkan dari tangki ataupun akuarium.


.

Waktu Terbaik Untuk Memancing

BERTANYAKAN waktu paling baik untuk menjalankan aktiviti memancing di laut selain kena lubuknya, umpan dan air pasang surut maka beberapa pakar veteran nelayan yang sempat ditemui sependapat bahawa masa paling sesuai untuk memancing ialah pada waktu senja sebelum matahari terbenam di kaki langit, tengah malam dan waktu awal pagi sebelum terbit fajar.

Tiga waktu pilihan yang disebutkan di atas berdasarkan pengalaman nelayan yang hidup mereka sebati dengan laut atau paling tepat diterjemahkan bahawa laut adalah pintu rezeki mereka. Kerana itu pelbagai usaha dilakukan bagi mengenal pasti untuk meraih rezeki seharian pada tahap maksimum.Justeru, Petua Pak Nuri kali ini cuba mengaitkan tiga faktor masa yang disebutkan di atas untuk kita berkongsi sambil menentukan arah tuju petua lama dan baru yang boleh diguna pakai pada zaman moden ini.

Walaupun perubahan sentiasa berlaku, petua tetap petua. Cuma soal mengamalkan petua itu saja yang mula dilupakan oleh generasi muda hari ini, termasuklah tekong dan pemancing muda (tidak semua). Ini kerana peralatan moden seperti pengesan GPS dan sonar dalam banyak kelebihan berjaya mematahkan keupayaan petua. Namun bukan semua petua dapat dipatahkan kerana petua adalah amalan yang dihasilkan daripada gerak rasa serta suasana sekeliling dan alam semula jadi.Petua kembali semula pada tiga masa terbaik memancing sekali pun tidak pada musim air mati.

Waktu senja pilihan pertama, kerana pada waktu ini ikan akan keluar mencari makan dan akan berada dalam kawasan karang, lubuk atau tukun.Pilihan kedua pada waktu tengah malam. Ini kemungkinan ada spesies ikan besar keluar mencari makanan seperti anak ikan sama ada di dasar laut mahu pun di permukaan air yang dihuni oleh banyak spesies ikan kecil bermain.

Tetapi ada risikonya mengenai arus air yang deras yang bakal kita hadapi.Terbaik ialah pada waktu awal pagi yang bermula 4 hingga 6 pagi. Ini kerana pada waktu itu ikan akan keluar semula mencari makan dalam keadaan lebih ganas. Begitulah pengakuan orang lama yang sudah sebati hidupnya dengan laut.Ada juga yang memilih air mati yang ada kalanya berbeza dari satu kawasan dengan kawasan lain.

Tetapi petua tetap petua dan baik untuk diamalkan.Carilah tiga waktu ini untuk memancing di lubuk, karang atau tukun yang sudah dikenal pasti selain faktor umpan terbaik dan teknik memancing juga perlu dilakukan selaras dengan cita rasa alam sekitarnya bagi menjamin tangkapan lumayan.



.