Friday, May 1, 2009

Perihal Ikan Kelisa


IKAN kelisa (Scleropages formosus), antara spesies yang menjadi idaman ramai pemilik akuarium di negara ini kerana keunikan dan ada yang menyifatkan satu simbol kemewahan atau sesetengah pihak pula berpendapat boleh membawa tuah.

Persepsi penggemar kelisa juga menyebabkan nilai ikan ini melambung di pasaran hingga mampu mencecah ribuan ringgit dan sentiasa menjadi buruan ramai pemilik akuarium sejak kebelakangan ini.Keunikan ikan ini dikatakan mampu memukau pemiliknya yang sanggup menghabiskan masa untuk melihatnya berenang dalam akuarium.


Bagaimanapun, ada beberapa perkara asas yang perlu diketahui oleh bakal atau pemilik spesies ini iaitu ikan jantan dan betina perlu diletakkan dalam tangki konkrit 2.0 meter x 2.2 meter dengan kedalaman air 0.4 meter bagi tujuan pembiakan.Penukaran air perlu dilakukan setiap hari dengan campuran air paip dan air perigi untuk memastikan air sentiasa bersih, manakala segala mineral dalam air dapat membantu proses pembesaran ikan.

Tangki atau akuarium perlu ditutup dengan sesuatu seperti jaring yang mampu memberikan sistem pengudaraan untuk mengelakkan daripada ikan melompat keluar kerana spesies ini menjadi agresif selepas bertelur.Tangki atau akuarium perlu dilindungi daripada sinaran matahari dan suhu air dikekalkan pada tahap 26 - 30 darjah celcius, manakala bacaan pH air perlu berada pada bacaan sekitar 6 hingga 7.5.


Bagi mempercepatkan proses pembiakan dan tumbesaran ikan, makanan seperti lipas atau cacing tanah antara jenis makanan yang disarankan sepanjang proses pembiakan. Perlu diingat proses bertelur spesies ini berlaku sekurang-kurangnya setahun sekali sekitar Oktober dan ada kemungkinan berlaku pada bulan lain seperti Mac.

Kebiasaannya, spesies ini akan mengeluarkan telur sehingga 50 biji setiap kali proses bertelur, manakala kelisa jantan akan mengeramkan telur berkenaan di dalam mulut sehingga menetas.Ikan jantan hanya akan membebaskan anak ikan selepas ikan betina dikeluarkan dari tangki ataupun akuarium.


.

No comments: