Tuesday, March 3, 2009

Teknik Pancing Kerapu

.

Kerapu merupakan satu spesis ikan yang paling digemari dan sentiasa menjadi buruan para pemancing. Ia dianggap sebagai satu simbol kejayaan bukan kerana aksinya semata-mata tetapi kerana isinya yang sedap, sangat susah didapati dan amat bernilai tinggi di pasaran.

Habitat dan Sifat pemakanan:

Ikan yang sering dijumpai di kawasan laut yang berstruktur ini susah didapati kecuali di sesetengah lubuk yang amat jarang dikunjungi oleh nelayan dan pemancing. Jika kita berjaya menjerat sekumpulan kerapu, ini bermakna lubuk itu masih dara atau telah lama tidak dikacau oleh nelayan atau pemancing.Pemangsa yang kelihatan bersifat pemalas, ‘berat perut’ dan bergerak lemah longlai itu menghabiskan banyak masa bersembunyi di kawasan berstruktur seperti kapal karam atau karang.

Ia gemar menyambar mangsanya dengan rakus dan kemudian membawanya secepat mungkin masuk ke struktur atau lubang yang menjadi kediamannya. Oleh itu, pemancing yang berjaya menewaskannya dalam saiz besar dianggap telah berjaya memperolehi salah satu lesen memancing yang amat dibanggakan.Dari segi sifat pemakanannya, kerapu bolehlah dikatakan spesis ikan yang paling tidak cerewet. Semua jenis umpan yang sesuai dengan seleranya akan diterkamnya tanpa banyak memilih. Kerapu biasanya aktif memburu mangsa pada waktu malam. Tetapi adakalanya pada waktu siang hari, khususnya awal pagi dan lewat petang, turut menjadi waktu yang paling sesuai untuk menjeratnya.

Dari segi bentuk badan dan sifat pemakanannya, kerapu telah diciptakan sebagai spesis pemangsa yang suka menyerang secara rakus, kasar dan mengejut. Ia mempunyai tenaga yang agak luar biasa untuk menyerang dan membunuh dengan begitu cepat dan singkat, tetapi ketahanan sewaktu menentang joran tidaklah berpanjangan sebelum ia lemah terkulai dan tewas.
.

Oleh itu, untuk memancing kerapu dengan efektif, para pemancing haruslah menggunakan peralatan yang benar-benar sesuai, iaitu terdiri dari jenis yang kuat dan kasar. Kejayaan menewaskan kerapu daripada meluru masuk ke kawasan yang berstruktur dari peringkat awal ‘peperangan’ adalah penentu kepada kejayaan muktamad menewaskan spesis tersebut. Justeru itu, para pemancing disarankan agar menyediakan kekili dan joran yang berkekuatan berat yang dijamin dapat menahan asakan awal yang kasar dari kerapu. Persediaan-persediaan alat perang lain seperti tali utama, mata kail dan perambut juga perlulah terdiri daripada jenis yang tahan, kuat dan kasar.

Pemilihan umpan:

Pemilihan umpan juga penting kerana walaupun kerapu tidak begitu memilih umpan, tetapi kebiasaannya ia gemar menerkam umpan yang agak besar. Umpan yang popular untuk menjerat kerapu ialah pelbagai jenis ikan apollo seperti selayang, selar dan kembong, tetapi yang cukup berkesan ialah umpan seekor tongkol segar. Umpan seekor tongkol mahupun potongan tongkol yang bersaiz besar sering menjadi sandaran kami untuk menaikkan spesis kerapu-kertang di perairan Pulau Pinang dan Kedah. Selain tongkol, kurita hidup juga menjadi umpan istimewa kerapu. Namun kerana saiznya agak kecil, ia sering dikacau terlebih dahulu oleh pemangsa lain khususnya jenahak dan ini boleh menganggu konsentrasi kita jika rancangan utama kita ialah menjerat sang kerapu.

Penggunaan umpan yang agak besar dicadangkan bagi menjerat kertang yang bersaiz monster. Lagi besar umpan lagi baik dan lebih efektif menjerat kerapu. Ini sesuai dengan sifatnya yang agak gelojoh dan tamak dan lebih berminat kepada mangsa yang lebih besar. Pengalaman menarik diperolehi semasa kami memancing kertang di sebuah lubuk dikenali sebagai Karang 06, Kedah. Seekor kerapu monster telah membaham seekor jenahak bersaiz 1-1.5 kg yang sedang meragut umpan, tetapi terlepas daripada mata kail kerana saiz mata kail tersebut yang terlalu kecil (no. 2) tidak dapat mengikat kemas mulut kerapu yang keras dan besar itu.

Walau bagaimanapun, kerapu itu tidak serik untuk menerkam umpan lain yang dihulurkan. Kali ini umpan yang disentuhnya ialah seekor kurita hidup yang diletakkan di hadapan bot. Umpan-umpan yang lebih kecil tidak menerima sebarang ragutan walaupun lebih hampir dengan lubuk kerapu yang meragut seekor jenahak itu. Ini menunjukkan kerapu lebih berminat kepada umpan bersaiz besar, dan jika tiada pilihan umpan paling besar diturunkan itulah yang akan menerima ragutannya. Barangkali umpan yang kecil dilihatnya seperti seekor kutu sahaja.


Cara melawan kerapu:

Cara melawan kerapu yang betul adalah satu syarat terpenting untuk mengelakkannya dari masuk ke sarang dan menyebabkan kita menggigit jari. Taktik yang paling asas ialah kita jangan memberikan sebarang peluang kepada si kerapu untuk menarik tali keluar dari kekili dan memalingkan kepalanya ke bawah. Ini kerana jika ia berjaya berbuat demikian, ia akan menuju terus ke struktur berkarang dan pasti berjaya membelit atau memutuskan tali.Sebaiknya kita harus mengekangnya sepantas dan sekuat yang boleh dan memaksanya bertahan agak lama sambil mencuba untuk menariknya menuju ke permukaan air. Cara ini agak kasar dan begitu memenatkan, tetapi berbaloi kerana kerapu hanya melawan seketika waktu sahaja. Jika kepalanya berjaya dihala ke atas dan ia sudah ditarik ke pertengahan air, tidak akan wujud sebarang masalah untuk menewaskannya kerana ketika itu ia sudah lemah dan tidak berdaya untuk melawan lagi.

Petikan Dari Majalah Pancing



.

Projek Ikan Kerapu

.

Suatu ketika dulu, ikan kerapu merupakan antara jenis ikan yang kurang digemari ramai kerana bentuk fizikalnya yang kurang menarik.Ramai lebih menggemari ikan laut yang lain seperti Aya, Tamban, Tenggiri, Bawal, Selar Kuning dan Selayang.Namun kini keadaan itu berbeza kerana spesies ini mendapat permintaan yang semakin tinggi dan bakal menjadi ikan marin ternakan komersil utama di negara ini menjelang tahun 2010.
.

Jabatan Perikanan mengenal pasti Kerapu atau nama saintifiknya Epinephelus sebagai antara spesies ikan yang berpotensi untuk diusahakan oleh penternak ikan dalam kolam dan sangkar di negara ini secara besar-besaran berdasarkan pasaran dan cara pemeliharaan yang lebih mudah serta sesuai dengan iklim negara.Kerapu terdiri daripada pelbagai jenis -- badan yang berbintik dan berbelang-belang ialah Kerapu Hijau (Epinephelus Coioides) .Manakala antara jenis yang lain ialah Kerapu Harimau (Epinephelus Fuscoguttatus), Kerapu Pisang (Plectropomus Leopardus), Kerapu Sunoh (Plectropomus Maculatus) dan Kerapu Tikus (Cromeleptis Altivelis).




KERAPU KERTANG

Bagaimanapun Jabatan Perikanan telah memilih Kerapu Kertang (Epinephelus Lanceolatus) untuk dikomersialkan di Pusat Pengeluaran dan Penyelidikan Ikan Laut (PPPIL), Tanjung Demong, Besut memandangkan ia merupakan antara spesies mempunyai nilai komersial yang tinggi.Ketua PPPIL Tanjung Demong Hussin Mat Ali berkata pusat itu mensasarkan untuk mengeluarkan ikan tersebut sebanyak 122,000 tan metrik sebelum 2010.
.

Bagi memastikan sasaran itu tercapai, pihaknya terpaksa menghasilkan 100 juta benih spesies kerapu daripada 2,200 bilangan ikan induk bagi membolehkan ia diedarkan kepada penternak di seluruh negara dalam tempoh tersebut."Spesies ikan kerapu hidup hampir di keseluruhan perairan dunia itu dan ia dipilih memandangkan pasarannya yang kompetitif hanya dengan kos minimum berbanding spesies ikan marin yang lain yang memerlukan kos yang tinggi." katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini baru-baru ini.


TIDAK BANYAK MASALAH


Proses pembenihan dan penjagaan spesies kerapu tidak menimbulkan banyak masalah kerana ia boleh diternak melalui sistem dalam tangki tertutup atau dalam kolam air yang terkawal.Beliau berkata, kerapu kertang pula mampu membesar sehingga 40 kg dalam tempoh yang singkat dan ia boleh dipasarkan sebaik sahaja mencapai keberatan 1.5 kg dengan harga RM60-RM70 setiap satu kg."Buat masa ini PPPIL mempunyai lebih 30 induk kerapu Kertang yang setiap satu beratnya melebihi 40 kg untuk tujuan pembenihan," katanya.



Selain kerapu, PPPIL juga sedang berusaha menyediakan 100 juta benih dari 4,000 induk ikan Siakap, 150 juta benih dari 6,000 induk ikan Merah dan 50 juta benih dari 400 ekor induk ikan Cobia.Dianggarkan Terengganu pada masa kini mempunyai seramai 150 penternak ikan marin laut yang menggunakan sistem ternakan sangkar yang berjaya memperoleh pendapatan melebihi RM3,000 sebulan seorang.Penggunaan teknologi baru iaitu teknologi hatchery dan ternakan ikan marin berasaskan akuakultur kitar semula (Recirculating Aquaculture System) dijangka mampu menambahkan lagi pendapatan mereka kerana produk akuakultur ikan marin mencapai harga pasaran yang lebih tinggi khususnya di Eropah.




PENYELIDIKAN


Mengimbas kembali aktiviti penyelidikan teknologi pengeluaran benih ikan laut di Malaysia, Hussin berkata ia telah diasaskan sejak awal tahun 70-an lagi.Bagaimanapun pembangunan industri itu agak lembab sehinggalah pada tahun 1980-an, menyebabkan wujudnya jurang permintaan dan bekalan benih ikan marin tempatan yang begitu ketara sekali sehingga kebanyakan pengusaha hatchery enggan melibatkan diri dalam bidang tersebut.


Memburukkan lagi keadaan, kebanyakan penternak lebih suka mendapatkan benih-benih import yang terdedah dengan ancaman pelbagai jenis penyakit serta sukar dikawal.Menyedari hakikat ini Institut Penyelidikan Perikanan Pulau Pinang (IPP) mempelopori aktiviti penyelidikan pengeluaran benih di negara ini di bawah Jabatan Perikanan Malaysia (JPM) pada 1982.Bagaimanapun, mulai 1985, aktiviti penyelidikan dan pengeluaran benih ikan laut berpindah ke Pusat Pengeluaran dan Penyelidikan Ikan Laut (PPPIL), Tanjung Demong, Besut, Terengganu yang mula beroperasi pada 1984.



BENIH IKAN LAUT

Dari 1990 hingga 1998, pelbagai penyelidikan teknologi pengeluaran benih ikan laut telah berjaya dijalankan yang antara lain melibatkan spesies ikan kerapu biasa atau Orange-Spotted Grouper, Jenahak (Golden Snapper), Siakap Merah (Mangrove Red Snapper), Kerapu Harimau (Brown-Marbled Grouper) dan ikan Bawal Emas (Golden Pomfret).Kejayaan Gondol Research Institute of Mariculture (GRIM), Bali, Indonesia yang berjaya mengeluarkan benih pelbagai spesies ikan marin termasuk jenis kerapu secara komersial, menguatkan lagi azam PPPIL untuk menyaingi kejayaan tersebut."




.

Friday, February 20, 2009

Perihal Patin


Patin gemar mendiami bahagian dasar sungai-sungai besar yang dalam. Sebagai pencari makanan dasar, jadi ada kelebihannya mempunyai mata yang menonjol ke hadapan untuk memudahkan pencarian benda-benda yang hanyut dalam arus atau olak yang kuat dan keruh. Bahagian anterior yang rata membantunya untuk 'mencengkam' dasar dan berdiam diri manakala bahagian belakang yang mampat membolehkannya berdayung ke depan dengan cukup pantas.

Saya masih ingat akan pertarungan pertama saya dengan patin. Ketika itu, saya sedang memancing di bahagian hulu Sg. Perak di atas Tasik Cenderoh. Air sungai kelihatan deras, keruh dan dalamnya lebih kurang 30 kaki. Seekor patin telah merampas umpan udang hidup yang saya lontarkan dengan getuan permulaan yang lembut. Saya menyentap tetapi belum sempat berkata "kena!", ikan tersebut meluncur seperti roket sejauh 30 meter ke hulu, melompat sambil menggeleng kepala beberapa kaki di atas air dan memuntahkan mata kail sebelum jatuh dan melepaskan diri.

Kesimpulannya, patin adalah ikan yang sangat bertenaga, oleh itu sering diburu' oleh ramai pemancing. Biarpun ianya patin yang berasal dari kolam, ia mampu mengejutkan anda dengan larian pertamanya yang gagah.

Patin sebenarnya tergolong dalam sekumpulan kecil ikan yang mempunyai sedikit perbezaan dalam rupa bentuk fizikal. Sebuah buku yang dikeluarkan oleh UPM hanya menyebut dua spesies yang terdapat di Semenanjung. Pangasius pangasius mempunyai bentuk kepala dan badan yang lebar dengan sesungut yang agak panjang manakala Pangasius micronemus berkepala dan berbadan sempit, sesungut pendek dan tepi sirip ekornya kehitaman. Penyelidikan iktiologi (perikanan) sentiasa menemui spesies-spesies baru yang jarang dijumpai jadi kita tidak mengetahui sejauh mana banyaknya saudara mara ikan jenis ini di dalam perairan air tawar kita.


Pencuri Sabun!

Satu lagi nama tempatan yang agak pelik bagi ikan patin ialah patin sabun, nama yang digunakan oleh penduduk tempatan di Perak. Menurut ceritanya, ramai wanita kampung kehilangan sabun buku (ingat tak sabun cap kapak?) ketika membasuh pakaian di jeti kayu di tepi sungai. Pada suatu hari, seorang wanita telah ternampak seekor patin melahap sabun basuhnya yang agak kecil. Semenjak kisah itu, ikan tersebut telah dirujuk sebagai patin sabun! Pasti sukar untuk anda mempercayainya bukan. Begitu juga dengan saya, sehinggalah saya terbaca tentang vundu catfish di Afrika yang boleh membesar sehingga 100 paun (hampir 50 kg) dan cuba anda teka apa dia? Ikan ini juga gemarkan sabun malah sabun merupakan umpan terbaik untuk 'memancing ikan tersebut yang tergolong sebagai 'sportfish'.


Umpan Berbau

Sedang kita bercerita tentang topik umpan, mari kita lihat apakah umpan lain yang boleh memperdaya patin yang gagah ini. Antara umpan yang tersenarai sebagai yang terbaik untuk memancing patin sungai ialah anak ikan hidup, lundi, usus ayam, buah ara, buah kelapa sawit dan sejenis umpan buatan yang terkenal kebusukannya iaitu umpan tapa atau umpan busuk.
Resipi istimewa untuk membuat umpan tapa ialah daging ikan yang diperam terutama ikan baung. Bahan-bahan ini dimasukkan ke dalam botol dan diperam selama beberapa hari (lagi lama lagi bagus!). Jus yang terbentuk akan dikeluarkan dan digaul bersama kapas yang kemudiannya disimpan di dalam botol yang sedia untuk digunakan bagi oleh pemancing. Ikan baung dan patin pasti akan berselera dan 'beratur' untuk menjamah umpan yang meloyakan ini. Sebagai nasihat, bawalah sabun untuk cucian tangan sekiranya anda tidak mahu dipaksa isteri berkhemah di luar rumah sepanjang hari selepas menggunakan umpan ini.


Senjata Untuk Patin

Peralatan yang sesuai untuk memancing patin bergantung kepada saiz ikan yang hendak diburu. Untuk patin lawang yang kecil, pancingan dasar dengan kekuatan 10 hingga 15 paun sudah memadai. Batu ladung digunakan haruslah mampu mengatasi hanyutan arus. Perambut yang kuat iaitu tali tangsi berketahanan 18 hingga 20 paun dengan mata kail berlengkok bulat dan bertangkai pendek bersaiz 2 hingga 2/0 adalah sesuai. Mata kail perlu sepadan dengan saiz umpan. Jangan khuatir, mulut patin cukup besar untuk menelan segala jenis saiz mata kail tetapi pastikan hujung mata kail cukup tajam dan terkeluar sedikit dari umpan.

Cabaran hebat akan bermula sekiranya anda memburu spesimen patin yang mendiami sungai-sungai besar kerana anda sebenarnya telah memasuki era pemancing pakar. Pemancing tradisional yang pakar di sungai-sungai besar biasanya menggunakan teknik ini; mata kail diikat terus kepada tali utama tanpa batu ladung. Mata kail yang biasa digunakan adalah jenis bertangkai pendek, mencapah dan bertelinga. Dalam sesetengah kes, mata kail bergerak bebas ditambah di belakang mata kail pertama. Kaedah ini mampu memegang umpan dengan lebih baik malah saya fikir peluang untuk mengena lebih tinggi.

Tali yang berumpan diiatuhkan di belakang bot atau sampan yang telah dilabuhkan sauhnya dan dibiarkan hanyut sejauh 30 hingga 40 meter. Pemancing kemudiannya mengikat batu ladung yang besar menggunakan tali rafia ke tali utama 40 paun lalu dijatuhkan terus ke bawah bot. Jadi anda sebenarnya membiarkan tali hanyut sepanjang 30 meter di dasar sungai dengan umpan yang berayun-ayun dibawa arus. 'Kegembiraan' bermula apabila patin besar menyambar umpan. Batu ladung akan segera dibawa naik dan ditanggalkan daripada tali utama, kemudian barulah pemancing dapat bertarung dengan ikan tersebut dengan pancingan tanpa batu ladung!

Agak meragukan? Saya juga bersetuju dengan pendapat tersebut. Tetapi terdapat teknik pilihan lain yang lebih moden iaitu penggunaan klip pengikat dasar (down-rigger clip) yang ringkas yang akan membenarkan tali utama tercabut apabila patin besar menyambar. Kaedah ini akan menghapuskan semua kepayahan untuk menggapai naik batu ladung sebesar penumbuk tadi.

Keunikan teknik ini ada keistimewaannya tersendiri. Patin gergasi seperti juga temoleh akan mengambil masa yang lama untuk kecundang. Tarikannya akan membawa tali anda ke segala pelusuk sungai seumpama menarik kayu balak atau batu. Jadi, hanya dengan penggunaan mata kail terus kepada tali utama,akan meminimumkan kejadian tersangkut atau kesedihan akibat kehilangan satu-satunya ikan besar yang mungkin menjadikan anda seorang wira!

Jangan terperanjat sekiranya menemui pemancing tempatan yang memburu patin atau temoleh menggunakan joran pancingan laut dan kekili menegak yang bagak bersama tali 40 paun. Pada hemat saya, tali berketahanan 20 hingga 30 paun juga boleh digunakan sekiranya tiada tunggul atau benda yang boleh menyebabkan sangkut di dalam sungai. Tetapi anda perlu gunakan tali perambut 40 paun sepanjang 6 kaki sebagai keselamatan



.

Thursday, February 19, 2009

Pancing Lampam Jawa

.

Ikan ini telah dibawa masuk ke negara kita daripada Indonesia sebagai ikan makanan sama seperti ikan yang diimport dari China iaitu kap rumput, kap perak dan sebagainya. Lampam jawa biasanya ditemui di dalam kolam ternakan dan perairan yang pernah terdapat aktiviti akuakultur. Sesetengah ikan mungkin terlepas ke dalam sungai semasa banjir ataupun sengaja dilepaskan. Lampam jawa amat mudah dipancing dan boleh membesar sehingga 2.5 kg. Ototnya yang kuat serta siripnya yang besar mampu memberi tentangan yang agak hebat.
Lampam jawa yang tinggal di dalain kolarn atau lombong dapat memben kepuasan sekiranya anda menggunakan peralatan pancing yang ringan. Teknik yang sama untuk memancing lampam sungai turut boleh digunakan tetapi gunakan joran aksi lembut. Bibir lampam jawa agak lembut dan rembatan yang kuat daripada joran yang keras boleh menyebabkan mata kail tercabut daripada mulutnya.

Sebenarnya, lampam jawa adalah spesies herbivor, jadi dedak dan roti adalah umpan terbaik. Walau bagaimanapun, saya pernah mendapat ikan ini menggunakan gewang layang menyerupai serangga dan anak ikan. Mungkin akibat makanan yang terhad menyebabkan ia memburu makanan hidup pula. Saya sendiri pernah melihat lampam jawa yang besar mengejar anak-anak ikan. Jadi ini juga merupakan berita baik untuk pemancing yang gemar menggunakan gewang.
Semua lampam yang pernah saya tangkap adalah melalui pancing dasar.

Untuk kolam dan lombong, saya menggunakan batu ladung kecil supaya umpan tenggelam dengan perlahan ke dasar. Mata kail udang no. 8 digunakan dengan perambut sepanjang 7 inci. Jika terdapat ikan yang besar, saya akan gunakan mata kail yang mepunyai ukur lilit yang tebal. Dengan menggunakan tali halus, kaedah di atas menjadi sempurna iaitu memberi tentangan yang cukup baik bagi lampam yang besar.

Keadaan menjadi lebih serius sekiranya anda memancing lampam sungai. Tali 10 hingga 12 paun perlu digunakan dengan batu ladung yang lebih besar untuk menetapkan umpan di dasar. Saiz batu ladung juga perlulah sesuai dengan kelajuan arus sungai. Anda perlu menggunakan batu ladung yang betul-betul mencukupi untuk mengatasi arus. Dengan cara ini, ragutan yang kecil akan memberi kesan ke atas pergerakan hujung joran atau penunjuk ragutan yang digunakan.

Lampam jawa yang hidup di sungai kurang menggemari makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan berbanding lampam jawa yang hidup di kawasan air tenang. Selain umpan biasa seperti dedak dan roti, anda boleh mencuba hirisan buah kelapa sawit, cacing dan juga perut ayam.


.

Teknik Pancing Lampam


.

Lampam sungai mendiami bahagian pertengahan dan dasar sungai. Oleh itu, teknik pancing dasar adalah teknik yang popular digunakan. Perambut sepanjang 6 hingga 12 inci yang berketahanan 6 paun sudah mencukupi. Mata kail Mustad berlengkok bulat bersaiz 4 hingga 6 atau mata kail udang bersaiz 9 hingga 11 boleh digunakan. Batu ladung hidup adalah amat sesuai. Bagi sungai yang terdapat rumpai atau sampah, batu ladung perlu berada di bahagian bawah mata kail (lebih kurang sekaki atau lebih) supaya umpan bergerak bebas dan mudah dilihat oleh ikan. .

Menggunakan pelampung juga merupakan teknik yang popular. la sangat sesuai digunakan di tempat-tempat berarus tenang yang dikhuatiri mempunyai banyak tunggul kayu di dasarnya. Panjang perambut daripada pelarnpung bergantung kepada kedalaman sungai. Umpan perlu tergantung beberapa inci dari dasar dan dibiarkan hanyut di bahagian pertengahan air.
Batu ladung kecil perlu diletakkan pada jarak tertentu pada perambut supaya umpan boleh turun pada kedalaman yang dikehendaki.
.

Lampam sungai meragut umpan dengan agak kasar yang kemudiannya tercangkuk sendiri pada mata kail. Bagaimanapun, kita perlu menyentap supaya sangkutan lebih teguh. Oleh kerana saiznya yang kecil, tarikannya tidaklah begitu kuat namun dengan teknik yang disebutkan tadi ianya akan menjadi lebih menarik.



.

Tasik Kenyir

.

Tasik Kenyir yang terletak di Terengganu merupakan tasik terbesar yang pernah dibina oleh manusia untuk menjana kuasa elektrik di Asia Tenggara. Tasik ini seluas 2,600 km persegi dan mengandungi 340 pulau kecil.

Semenjak kewujudan empangan di sini, kawasan sekitarnya terutama Kuala Berang telah mula dikenali oleh orang ramai baik dari dalam mahupun luar negeri. Ia merupakan tempat pelancongan popular di Terengganu semenjak kewujudannya. Tasik ini telah dibina pada akhir zaman 1970-an dan siap pada zaman 80-an. Ia telah menenggelamkan beberapa buah kampung dan juga hutan.

Banyak haiwan liar telah diselamatkan semasa pembinaan empangan ini. Pembinaan empangan ini telah mewujudkan pulangan ekonomi kepada penduduknya yang majoritinya adalah petani. Secara tidak langsung, penduduk di sini dapat menaikkan taraf sosial masing-masing. Kedatangan pelancong kesini yang terkenal dengan jagung manisnya telah menaikkan Bandar Kuala Berang di mata pihak luar yang sebelum ini dikenali sebagai 'bandar mati'.



.

Umpan Patin

.

Ambil dedak dinding dan campurkan dengan benda2 berikut: perut ayam direbus sehingga hancur, tos air rebusan (air rebusan jangan dibuang semuanya, ambil sedikit) dan telur ayam. keringkan betul2 perut ayam tadi dan diblender sehingga lumat. campurkan dedak 929, perut ayam blender, sedikit air rebusan tadi dan telur ayam mentah. telur ayam akan memberi bau hanyir dan menyebabkan dedak tadi melekat dengan kuat.
.


Kalau nak tau cubalah.