Patin gemar mendiami bahagian dasar sungai-sungai besar yang dalam. Sebagai pencari makanan dasar, jadi ada kelebihannya mempunyai mata yang menonjol ke hadapan untuk memudahkan pencarian benda-benda yang hanyut dalam arus atau olak yang kuat dan keruh. Bahagian anterior yang rata membantunya untuk 'mencengkam' dasar dan berdiam diri manakala bahagian belakang yang mampat membolehkannya berdayung ke depan dengan cukup pantas.
Saya masih ingat akan pertarungan pertama saya dengan patin. Ketika itu, saya sedang memancing di bahagian hulu Sg. Perak di atas Tasik Cenderoh. Air sungai kelihatan deras, keruh dan dalamnya lebih kurang 30 kaki. Seekor patin telah merampas umpan udang hidup yang saya lontarkan dengan getuan permulaan yang lembut. Saya menyentap tetapi belum sempat berkata "kena!", ikan tersebut meluncur seperti roket sejauh 30 meter ke hulu, melompat sambil menggeleng kepala beberapa kaki di atas air dan memuntahkan mata kail sebelum jatuh dan melepaskan diri.
Kesimpulannya, patin adalah ikan yang sangat bertenaga, oleh itu sering diburu' oleh ramai pemancing. Biarpun ianya patin yang berasal dari kolam, ia mampu mengejutkan anda dengan larian pertamanya yang gagah.
Patin sebenarnya tergolong dalam sekumpulan kecil ikan yang mempunyai sedikit perbezaan dalam rupa bentuk fizikal. Sebuah buku yang dikeluarkan oleh UPM hanya menyebut dua spesies yang terdapat di Semenanjung. Pangasius pangasius mempunyai bentuk kepala dan badan yang lebar dengan sesungut yang agak panjang manakala Pangasius micronemus berkepala dan berbadan sempit, sesungut pendek dan tepi sirip ekornya kehitaman. Penyelidikan iktiologi (perikanan) sentiasa menemui spesies-spesies baru yang jarang dijumpai jadi kita tidak mengetahui sejauh mana banyaknya saudara mara ikan jenis ini di dalam perairan air tawar kita.
Pencuri Sabun!
Satu lagi nama tempatan yang agak pelik bagi ikan patin ialah patin sabun, nama yang digunakan oleh penduduk tempatan di Perak. Menurut ceritanya, ramai wanita kampung kehilangan sabun buku (ingat tak sabun cap kapak?) ketika membasuh pakaian di jeti kayu di tepi sungai. Pada suatu hari, seorang wanita telah ternampak seekor patin melahap sabun basuhnya yang agak kecil. Semenjak kisah itu, ikan tersebut telah dirujuk sebagai patin sabun! Pasti sukar untuk anda mempercayainya bukan. Begitu juga dengan saya, sehinggalah saya terbaca tentang vundu catfish di Afrika yang boleh membesar sehingga 100 paun (hampir 50 kg) dan cuba anda teka apa dia? Ikan ini juga gemarkan sabun malah sabun merupakan umpan terbaik untuk 'memancing ikan tersebut yang tergolong sebagai 'sportfish'.
Umpan Berbau
Sedang kita bercerita tentang topik umpan, mari kita lihat apakah umpan lain yang boleh memperdaya patin yang gagah ini. Antara umpan yang tersenarai sebagai yang terbaik untuk memancing patin sungai ialah anak ikan hidup, lundi, usus ayam, buah ara, buah kelapa sawit dan sejenis umpan buatan yang terkenal kebusukannya iaitu umpan tapa atau umpan busuk.
Resipi istimewa untuk membuat umpan tapa ialah daging ikan yang diperam terutama ikan baung. Bahan-bahan ini dimasukkan ke dalam botol dan diperam selama beberapa hari (lagi lama lagi bagus!). Jus yang terbentuk akan dikeluarkan dan digaul bersama kapas yang kemudiannya disimpan di dalam botol yang sedia untuk digunakan bagi oleh pemancing. Ikan baung dan patin pasti akan berselera dan 'beratur' untuk menjamah umpan yang meloyakan ini. Sebagai nasihat, bawalah sabun untuk cucian tangan sekiranya anda tidak mahu dipaksa isteri berkhemah di luar rumah sepanjang hari selepas menggunakan umpan ini.
Senjata Untuk Patin
Peralatan yang sesuai untuk memancing patin bergantung kepada saiz ikan yang hendak diburu. Untuk patin lawang yang kecil, pancingan dasar dengan kekuatan 10 hingga 15 paun sudah memadai. Batu ladung digunakan haruslah mampu mengatasi hanyutan arus. Perambut yang kuat iaitu tali tangsi berketahanan 18 hingga 20 paun dengan mata kail berlengkok bulat dan bertangkai pendek bersaiz 2 hingga 2/0 adalah sesuai. Mata kail perlu sepadan dengan saiz umpan. Jangan khuatir, mulut patin cukup besar untuk menelan segala jenis saiz mata kail tetapi pastikan hujung mata kail cukup tajam dan terkeluar sedikit dari umpan.
Cabaran hebat akan bermula sekiranya anda memburu spesimen patin yang mendiami sungai-sungai besar kerana anda sebenarnya telah memasuki era pemancing pakar. Pemancing tradisional yang pakar di sungai-sungai besar biasanya menggunakan teknik ini; mata kail diikat terus kepada tali utama tanpa batu ladung. Mata kail yang biasa digunakan adalah jenis bertangkai pendek, mencapah dan bertelinga. Dalam sesetengah kes, mata kail bergerak bebas ditambah di belakang mata kail pertama. Kaedah ini mampu memegang umpan dengan lebih baik malah saya fikir peluang untuk mengena lebih tinggi.
Tali yang berumpan diiatuhkan di belakang bot atau sampan yang telah dilabuhkan sauhnya dan dibiarkan hanyut sejauh 30 hingga 40 meter. Pemancing kemudiannya mengikat batu ladung yang besar menggunakan tali rafia ke tali utama 40 paun lalu dijatuhkan terus ke bawah bot. Jadi anda sebenarnya membiarkan tali hanyut sepanjang 30 meter di dasar sungai dengan umpan yang berayun-ayun dibawa arus. 'Kegembiraan' bermula apabila patin besar menyambar umpan. Batu ladung akan segera dibawa naik dan ditanggalkan daripada tali utama, kemudian barulah pemancing dapat bertarung dengan ikan tersebut dengan pancingan tanpa batu ladung!
Agak meragukan? Saya juga bersetuju dengan pendapat tersebut. Tetapi terdapat teknik pilihan lain yang lebih moden iaitu penggunaan klip pengikat dasar (down-rigger clip) yang ringkas yang akan membenarkan tali utama tercabut apabila patin besar menyambar. Kaedah ini akan menghapuskan semua kepayahan untuk menggapai naik batu ladung sebesar penumbuk tadi.
Keunikan teknik ini ada keistimewaannya tersendiri. Patin gergasi seperti juga temoleh akan mengambil masa yang lama untuk kecundang. Tarikannya akan membawa tali anda ke segala pelusuk sungai seumpama menarik kayu balak atau batu. Jadi, hanya dengan penggunaan mata kail terus kepada tali utama,akan meminimumkan kejadian tersangkut atau kesedihan akibat kehilangan satu-satunya ikan besar yang mungkin menjadikan anda seorang wira!
Jangan terperanjat sekiranya menemui pemancing tempatan yang memburu patin atau temoleh menggunakan joran pancingan laut dan kekili menegak yang bagak bersama tali 40 paun. Pada hemat saya, tali berketahanan 20 hingga 30 paun juga boleh digunakan sekiranya tiada tunggul atau benda yang boleh menyebabkan sangkut di dalam sungai. Tetapi anda perlu gunakan tali perambut 40 paun sepanjang 6 kaki sebagai keselamatan
.
No comments:
Post a Comment