Friday, December 18, 2009

Penjagaan Tali Pancing

Pendedahan tali tangsi kepada sinar ultra ungu matahari dan kepanasan yang tinggi berupaya memutuskan struktur kimia bahan dalam tali berkenaan sehingga boleh membawa kerosakan. Contohnya, membiarkan tali dalam kenderaan serta pendedahan terus kepada cahaya matahari akan memusnahkan ketahanan tali dan ciri-ciri yang dimilikinya dalam masa beberapa jam.

Justeru, sebaik-baiknya simpan peralatan pancing anda di dalam but kenderaan dan menutupnya dengan kain cerah.Bahan-bahan berasaskan petroleum seperti minyak pelincir atau minyak tanah juga boleh merosakkan. Jadi, jangan simpan tali berdekatan dengan bahan berkenaan.
.
Sebenarnya pengawasan dan penukaran tali tangsi sebaik-baiknya dilakukan selepas balik daripada sesuatu trip memancing. Biarpun ia mengambil masa dan kos namun hasil anda pasti berbaloi bagi setiap trip. Tali tangsi walaupun tidak karat atau serap air tetapi gelungannya boleh mengeringkan larutan air laut dan akhir terbentuk lapisan garam.
.
Lapisan garam ini apabila disimpan lama akan menjadi keras dan membuka ruang pula untuk mencalarkan tangsi ketika balingan. Kebanyakan tali tangsi disalut dengan bahan pengilap pintalan yang kelihatan berkilau yang biasanya disalut pada darjah yang berbeza bagi melindungi tali ketika proses pengangkutan dan pancingan. Jika anda sedar, biasanya terdapat serbuk berdebu pada tangan atau cincin (gegelang) selepas memutar tali, itu adalah bahan pengilap pintalan tali tangsi.
.
Apabila bahan pengilap ini sudah habis terhakis maka tali tangsi beransur-ansur pudar dan lebih cenderung untuk rosak. Jika tali anda kelihatan pudar berbanding tali baru jenis yang sama maka jadikanlah ia sebagai peringatan atau amaran bahawa anda perlu menukarnya. Atau sekurang-kurangnya keluarkan tali pada bahagian yang pudar dan buang.Walaupun jarang berlakunya takik dan hakisan, tali berpintal juga boleh menyebabkan kita pening kepala.
.
Masalah ini boleh menyebabkan aktiviti memancing terganggu dengan lontaran yang tidak tepat atau berbelit dan putus pada cincin joran. Kekili melintang (spinning reel) amat terkenal dengan masalah ini terutama jika cili tidak digunakan. Jika berlaku pintalan, keluarkan lebih banyak tali daripada yang biasa anda gunakan dan buang.
.
Jangan biarkan ia menjadi-jadi kerana semakin banyak pintalan berlaku, semakin jauh pintalan tersebut bergerak ke dalam gelendung, semakin mudah tangsi berbelit dan menjadi ‘mi’ satu fenomena yang perlu dielakkan jika mahu menggunakan tangsi dengan lebih lama.
.

Teknik Pancing Pari


Tempat yang sering menjadi tumpuan orang ramai untuk mandi manda kurang didiami pari. Pari adalah spesies ikan yang tidak gemar bertembung dengan manusia. Keriuhan orang ramai yang bermain pantai memberi impak kehadiran pari kecuali pantai berkenaan memiliki tarikan yang kuat untuk ikan pari datang bermain di pesisir. Pantainya adalah jenis pasir dan turut bercampur lumpur. Bagi ikan pari kawasan begini adalah sebahagian dari tempat tumpuan mencari sumber makanan.

Pari yang menghampiri kawasan pantai mempunyai satu tujuan iaitu mencari makanan. Kawasan pantai diketahui terdapat beberapa spesies yang berada dalam senarai diet pari iaitu anak ikan bebolos, belacak, gelama, selar, bilis, beliak mata, kasai, tamban dan sebagainya terutama yang sisiknya tidak berduri.
.
Selain itu sumber makanan pantai bagi ikan pari ialah udang, sotong kurita, perumpun dan anak ketam. Memandangkan kawasan pantai turut menjadi tumpuan anak ikan bermain dan mencari makanan, penggunaan umpan yang betul dapat menjamin kejayaan. Kalau menggunakan umpan hirisan ikan mati umpamanya, ia mudah hancur dan habis dikerjakan ikan kecil termasuk ketam sebelum dijumpai pari. Apabila pari menjumpai umpan yang sudah hancur ia tidak berminat dengan umpan berkenaan.
.
Disarankan pemancing menggunakan umpan hidup yang kurang diganggu getuan ikan kecil seperti anak bebolos, anak belacak atau jajang (sejenis belacak panjang mendiami muara air payau), anak gelama, udang hidup sederhana besar.
.
Yang penting umpan yang digunakan kurang digetu ikan lain. Waktu malam lebih baik kerana ikan pari akan menghampiri pesisir pantai waktu malam. Rumusannya, masa terbaik adalah ketika air pasang penuh pada sebelah malam.
.

Perumpun Umpan Mujarab


UMPAN perumpun atau umpun-umpun cukup popular bagi semua pemancing yang biasa menggunakannya kerana kemampuannya menjerat pelbagai spesies ikan dan udang sama ada di air masin atau tawar di perairan negara kita ini.

Namun bagi pemancing baru mereka mungkin belum tahu akan ‘kuasa saktinya’ apabila melihat spesies persis cacing yang berwarna merah muda ini menggeletek geli apabila disentuhnya. Justeru, inilah masanya untuk mencungkil serba sedikit maklumat berkaitan umpan semula jadi anugerah alam ini.

Perumpun atau cacing air masin adalah dari kumpulan haiwan invertebrat yang juga sebenarnya hampir sama dari jenis saudaranya, iaitu cacing tanah yang terdapat di kebun pisang atau belakang rumah kita. Namun, bentuknya yang lembut dan panjang sehingga mencapai 30 sentimeter serta mempunyai kaki seperti lipan, membuatkan spesies ini berbeza banyak dengan cacing tanah yang sedia ada.

Habitat spesies ini boleh didapati di kawasan berlumpur yang diliputi pokok bakau atau nipah di persisiran pantai dan ianya bersarang di dalam lumpur itu sendiri. Di negara beriklim khatulistiwa ini, terdapat beberapa spesis perumpun yang dijadikan umpan untuk ikan tertentu atau mengikut padang pancingan masing-masing.

Perumpun ini antaranya perumpun pasir, merah dan jangkau.Umpan ini masing-masing dikhaskan, perumpun pasir - ikan bolos, gelama dan sembilan. Jangkau - ikan duri, jenahak, jengah dan gubal dan perumpun merah - udang galah serta ikan baung.

Justeru, cara untuk mencarinya perlu diserahkan kepada mereka yang pakar mengesannya iaitu ketika air surut di kawasan paya bakau di mana sarangnya boleh dikenal pasti melihat timbunan najis tanah atas kawasan yang berlumpur.Sarangnya itu akan dikorek menggunakan cangkul atau penyedok khas sedalam kira-kira satu meter dan kemudian di tarik secara perlahan-lahan bagi mengelakkan badannya terputus.

Untuk menggunakan umpan ini, mata kail bersesuaian dengan saiznya diperlukan dengan mencangkuk perumpun terbabit yang dipotong kira-kira satu hingga dua sentimeter.Petua untuk umpan ini tahan lama janganlah anda memotong di bahagian kepala dulu dan mulakan dari ekornya sedikit demi sedikit dan sekiranya tidak habis digunakan simpanlah dalam bekas asalnya dan letak di tempat yang teduh.

Sekarang ini, umpan perumpun mudah didapati di kedai pancing atau di tepi jalan di lokasi memancing dengan harga antara RM5 sehingga RM6 mengikut isi kandungannya.


.


Katak Minyak Umpan Haruan dan Bujuk.


KATAK minyak yang biasanya ditemui dalam parit atau bawah daun cukup dikagumi kaki mengilat ikan air tawar seperti haruan atau bujuk yang gemar menggunakan umpan ini untuk memburu dua spesies terbabit.Selain mudah didapati, spesies amfibia yang berkaki panjang di belakang dan berkaki pendek di depannya serta berkulit perang muda pada badan dikatakan paling berkesan untuk menjerat ikan terbabit sebagai diet makanan utamanya.Asalnya daripada telur atas permukaan air, katak minyak ini yang juga seperti katak lain akan berkembang menjadi anak berudu kemudian berubah menjadi katak dewasa apabila mencapai tempoh matangnya.

Bergerak secara melompat dari satu tempat ke tempat lain dan menjadikan serangga sebagai makanannya, katak ini gemar menjadikan kawasan tanah lembap sebagai habitatnya untuk berlindung dari musuhnya.Secara amnya, spesies dari famili Anura mudah dikesan apabila mengeluarkan bunyi menguap secara berterusan ketika musim mengawan atau hujan. Di arena memancing, katak minyak bersaiz satu hingga dua sentimeter saja akan digunakan.
.
Caranya, mata kail bersaiz enam atau tujuh dicangkuk pada bahagian duburnya hingga ke dalam perut. Cara berkesan untuk menjerat ikan haruan menggunakan katak ini, adalah gewang jenis perambut getah atau dikenali sebagai ‘janggut’ oleh pemancing tempatan akan dicangkuk pada katak itu.Umpan ini dibaling ke kawasan reba kayu dan selepas itu karauan secara perlahan dilakukan untuk meransang deria bau ikan.
.
Di kedai akuarium, katak banyak dijual dan harganya sekitar 40 sen seekor dan mereka yang ingin mencari sendiri boleh melakukannya dengan menyuluh katak itu di sekitar kawasan padang lembap atau tebing parit, sawah atau sungai.
.
Kini, katak tiruan juga boleh didapati sekitar kedai menjual peralatan memancing dengan pelbagai saiz dan warna. Katak tiruan kurang efektif berbanding katak hidup, ini kerana faktor bau katak hidup dikatakan cepat merangsang spesies haruan untuk memakannya.
.

Kelkatu Umpan Ikan Air Tawar


UMPAN kelkatu (white ant) yang biasanya ditemui selepas hujan ketika waktu senja cukup digemari dikalangan pemancing ikan air tawar seperti talapia, puyu, tengas, lampam dan temakang.Asalnya terbentuk dari serangga anai-anai yang dianggap musuh utama kepada penghuni rumah dan pemilik ladang, saudaranya iaitu kelkatu sangat efektif digunakan untuk umpan ikan air tawar ini.

Ciri-ciri lain pada kelkatu iaitu mempunyai dua bahagian abdomen, sepasang sesungut dan dua pasang sayap berwarna perang cerah seluruhnya, mudah tertanggal apabila terkena air atau ketika jatuh di atas tanah.

Kebiasaannya habitat kelkatu boleh ditemui dalam busut atas tanah atau pokok dan kemudiannya akan terbang mencari kawasan baru untuk membina koloni barunya.Dalam koloni kumpulan ini, terdapat beberapa lapisan atau kasta yang diklasifikasikan sebagai raja, ratu, askar dan pekerja yang mempunyai tanggungjawab penting iaitu membina sarang diperbuat daripada tanah.

Di negara ini, terdapat sekurang-kurangnya 175 spesies dan 42 genera anai-anai. Spesis yang biasa ditemui adalah dalam kumpulan Kalotermitidae, Rhinotermitidae dan Termitidae. Umpan kelkatu mudah dicari apabila menjumpai kumpulan berterbangan berhampiran cahaya lampu rumah atau bangunan.

Cara untuk menangkapnya adalah mudah dengan mengutip serangga ini yang terjatuh berhampiran kawasan lampu tadi selepas sayapnya gugur selepas itu.Dalam arena memancing, teknik pancing menggunakan joran teleskopik sangat berkesan dengan menggunakan umpan ini. Mata kail kecil bersaiz tujuh yang dicangkukkan dari bahagian abdomen belakang hingga kepalanya.



.


Wednesday, December 16, 2009

Nasib Udang Galah Sungai Kelantan

Musim udang galah telah tiba. Saban tahun apabila berakhirnya musim banjir dan diikuti dengan cuaca panas, maka menjelmalah musim yang amat dinantikan oleh kaki pancing udang galah. Walaupun udang galah boleh dipancing sepanjang tahun, namun ada ketikanya udang galah muncul dalam jumlah yang banyak sehingga kaki pancing tak senang duduk. Ada juga ketika udang galah langsung tak muncul-muncul. Ini kerana kemunculan udang galah berkaitan dengan keadaan air dan cuaca.

Bagi pemancing di sepanjang Sungai Kelantan, selepas musim banjir yang diikuti dengan panas yang memanjang amat ditunggu-tunggu. Keadaan air sungai yang sedikit jernih pasti menceriakan mereka. Bukan selalu air sungai Kelantan jernih. Sepanjang tahun 2009, asyik keruh tak jernih-jernih. Harap-harap tahun 2010 dapat menceriakan saya dan kaki udang galah yang lain. Entah apa nak jadi ................ dengan sungai Kelantan yang sememang dah mengalir sebati dengan darah saya.

Apa tidaknya, saya yang anak jati Kampung Pasir Pekan Hilir membesar bersama tebing sungai Kelantan yang saban tahun semakin lebar akibat hakisan. Apabila lihat keadaan sungai Kelate kini amat menyentuh perasaan saya.

Kepada kaki tuba udang galah yang tak reti-reti nak sedar, harap tahun ini tabiat buruk mereka hilang lenyap ditelan lumpur sungai Klate selepas banjir baru-baru ini. Insaflah wahai kaki pancing bahawa membunuh makhluk Allah sesuka hati juga berdosa besar. Kamu juga telah menanggung dosa untuk beribu-ribu anak udang yang ditinggalkan busuk di gigi sungai.

Dah lah sungai dicemari dengan pelbagai aktiviti yang merosakkan bumi Allah yang dikongsi bersama termasuklah kaki pancing. Orang ramai duk kutuk kaki pancing yang sememangnya pencinta alam tapi mereka diam membisu dengan penjenayah alam sekitar. Sedarlah semua.
Kembalikan hak semua orang termasuk hak kaki pancing dan penghuni lubuk sungai Kelantan yang amat kita cintai.

Mudah-mudahan tahun 2010 menjanjikan sesuatu yang dapat membuat kaki pancing udang galah tersenyum. Sama-samalah kita semarakkan riadah pancing dan sama-samalah kita menjaga sungai Klate kita.


.

Perambut dan Mata Kail Udang Galah

Perambut udang galah kebiasaannya ialah menggunakan tangsi 6 paun hingga 12 paun. Ini sudah memadai dengan berat udang itu sendiri. Kekuatan 12 paun boleh menampung dan mengangkat beban maksimum 5.5 kilogram sudah terlalu besar untuk udang galah sungai yang purata 50 gram hingga 500 gram. Panjang perambut seeloknya 15 sentimeter atau lebih kurang sejengkal jari orang dewasa. Jenis tangsi biarlah yang lembut supaya udang galah tidak begitu 'terasa' beban ketika mengunyah umpan.

Mata kail udang banyak jenis dan saiz mengikut tempat, jenis lapangan pancing dan saiz udang. Saya biasanya menggunakan mata kail saiz 2 atau 3 dari jenama Coral dan The Anglar. Mata kail ini yang halus, kuat dan tajam sangat ampuh di kala memburu udang galah.

Namun begitu, terpulang kepada pemancing yang mana satu jadi pilihan. Kalau tidak pasti tanyalah kepada kaki udang galah yang berpengalaman. Selamat Memancing Udang Galah.

Musim Udang Galah

Memancing udang galah tiada musim tertentu sama ada di kawasan hulu sungai dan pedalaman termasuk lombong, tasik dan kolam. Bagaimanapun musim kering (tiada hujan sebelumnya) adalah masa terbaik memancing udang galah. Selain daripada itu waktu malam lebih mudah mengendap udang galah berbanding siang kerana kawasan persekitaran air jernih dan udang galah jarang keluar merayau siang hari bagi mengelak diterkam pemangsa.

Perlu diingatkan jika lokasi yang dikunjungi jauh dari kawasan pembangunan seperti hulu sungai pedalaman umpamanya, langkah keselamatan perlu diambil perhatian memandangkan malam hari terlalu banyak bahaya. Jika wujud keadaan kurang selamat dinasihatkan lebih baik tidak usah memancing di kawasan terbabit.

Bagi muara sungai musim udang galah hadir selepas beberapa hari sebaik saja hujan berhenti. Kebiasaannya air hujan akan keluar ke laut melalui sungai turut membawa bersama udang galah. Ketika ini udang galah akan berkeliaran di kawasan muara yang ketika itu airnya tawar.

Udang galah akan mudik semula ke hulu sungai apabila muara sungai kembali payau atau masin. Secara ringkasnya musim udang adalah sepanjang tahun kecuali di muara hanya selepas musim hujan atau ketika muara sungai tawar airnya.


.

Umpan Udang Galah


Udang galah dikelaskan sebagai haiwan omnivor iaitu spesies yang boleh dikatakan makan serba-serbi yang dijumpainya. Untuk memudahkan mengesan udang lebih cepat kita perlu menggunakan umpan ‘berbau’. Di kawasan air jernih udang amat berhati-hati dan kurang galak kecuali kita memancing waktu malam atau lubuk yang didominasi udang galah.


Umpan udang yang lumrah dan cepat diterpa udang ialah perumpun - jenis sarang, bakau, pantai dan nipah. Cacing tanah sama ada cacing gila atau jenis biasa. Anak udang sungai atau udang beras hidup/mati, remis, isi kerang, ala-ala - guna bahagian yang keras. Isi ikan dihiris halus memanjang mengikut saiz mata kail. Isi udang galah - potong mengikut saiz mata kail.


Udang pasar tidak kira apa jenis, anak ikan longkang hidup atau mati kedua-duanya boleh. Pilihan lain - jantung/hati ayam tapi hanya sesuai untuk pancing di kolam. Saiz umpan yang dipasang pada mata kail jangan terlalu besar kerana ini akan melambatkan proses udang menelan mata. Potong atau hiris umpan biar sepadan dengan saiz mata kail yang digunakan. Saiz mata kail udang dan jenis bergantung kepada jenis batang pancing.



.

Friday, November 13, 2009

UMPAN PERUMPUN


UMPAN perumpun atau umpun-umpun cukup popular bagi semua pemancing yang biasa menggunakannya kerana kemampuannya menjerat pelbagai spesies ikan dan udang sama ada di air masin atau tawar di perairan negara kita ini.Namun bagi pemancing baru mereka mungkin belum tahu akan ‘kuasa saktinya’ apabila melihat spesies persis cacing yang berwarna merah muda ini menggeletek geli apabila disentuhnya. Justeru, inilah masanya untuk mencungkil serba sedikit maklumat berkaitan umpan semula jadi anugerah alam ini.

Perumpun atau cacing air masin adalah dari kumpulan haiwan invertebrat yang juga sebenarnya hampir sama dari jenis saudaranya, iaitu cacing tanah yang terdapat di kebun pisang atau belakang rumah kita. Namun, bentuknya yang lembut dan panjang sehingga mencapai 30 sentimeter serta mempunyai kaki seperti lipan, membuatkan spesies ini berbeza banyak dengan cacing tanah yang sedia ada.
.
Habitat spesies ini boleh didapati di kawasan berlumpur yang diliputi pokok bakau atau nipah di persisiran pantai dan ianya bersarang di dalam lumpur itu sendiri. Di negara beriklim khatulistiwa ini, terdapat beberapa spesis perumpun yang dijadikan umpan untuk ikan tertentu atau mengikut padang pancingan masing-masing. Perumpun ini antaranya perumpun pasir, merah dan jangkau.
.
Umpan ini masing-masing dikhaskan, perumpun pasir - ikan bolos, gelama dan sembilan. Jangkau - ikan duri, jenahak, jengah dan gubal dan perumpun merah - udang galah serta ikan baung.
.
Justeru, cara untuk mencarinya perlu diserahkan kepada mereka yang pakar mengesannya iaitu ketika air surut di kawasan paya bakau di mana sarangnya boleh dikenal pasti melihat timbunan najis tanah atas kawasan yang berlumpur.Sarangnya itu akan dikorek menggunakan cangkul atau penyedok khas sedalam kira-kira satu meter dan kemudian di tarik secara perlahan-lahan bagi mengelakkan badannya terputus.
.

Untuk menggunakan umpan ini, mata kail bersesuaian dengan saiznya diperlukan dengan mencangkuk perumpun terbabit yang dipotong kira-kira satu hingga dua sentimeter.
.
Petua untuk umpan ini tahan lama janganlah anda memotong di bahagian kepala dulu dan mulakan dari ekornya sedikit demi sedikit dan sekiranya tidak habis digunakan simpanlah dalam bekas asalnya dan letak di tempat yang teduh.Sekarang ini, umpan perumpun mudah didapati di kedai pancing atau di tepi jalan di lokasi memancing dengan harga antara RM5 sehingga RM6 mengikut isi kandungannya.
.
sumber: Joran Berita Harian

ANAK TEBUAN UMPAN PUYU DAN KELI


UMPAN serangga seperti anak tebuan cukup sinonim dengan pemancing yang gemarkan memancing ikan puyu, haruan atau keli di kawasan air tawar seperti sawah padi, sungai atau paya.Baunya yang sedikit tengik atau berbau cukup di gemari ikan yang menghidunya untuk dijadikan menu makanan utamanya. Bentuknya menyerupai larva seakan ulat beluncas serta berwarna putih ketika masih ‘bayi’ dan berwarna kehitaman apabila dewasa, dijumpai dalam kepompong sarangnya.

Pada kebiasaannya sarang tebuan ini boleh ditemui pada atas ranting pokok atau kawasan tumbuhan renek di sekitar kampung atau hutan tebal. Bentuk sarang ini seperti tempayan dan berupaya membesar sehingga pemeluk orang dewasa cukup digeruni oleh manusia yang bimbang disengat oleh tebuan sekiranya diganggu.Bagi pakar yang gemar mencari umpan ini, mereka terlebih dulu mengasap atau membakar sarang yang dikenal pasti bagi menghalau tebuan dewasa dan mengambil anaknya.

Dari segi penyediaannya, umpan tebuan digoreng tanpa minyak terlebih dulu dengan resipi tersendiri seperti dimasukkan asam keping supaya tahan lebih lama dan disamping bertujuan mengeluarkan bau tengiknya. Di arena memancing, anak tebuan yang siap dimasak akan diperam selama beberapa hari untuk menyimpan baunya. Selepas itu, anak tebuan ini akan dicangkukkan dari bahagian kepala sehingga ekornya dengan mata kail bersaiz sepuluh atau 11.Menurut pemancing yang biasa menggunakan umpan ini, anak tebuan dikatakan berkesan meransangkan deria spesis bersisik seperti ikan puyu untuk memakannya.Katanya lagi, sekiranya kena pada lubuknya tangkapan bersaiz empat jari dewasa adalah perkara biasa bagi penggemar umpan anak tebuan ini.

Tambah mereka lagi, keadaan iklim yang tidak menentu sekarang ini menyebabkan mengapa sarang tebuan ini sukar ditemui.



sumber: Joran Berita Harian

KELI GERGASI SEPANYOL


LONDON - Seorang pemancing, Sean Kinnear berjaya menangkap seekor ikan keli antara yang paling berat di dunia, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang berumur 27 tahun dari Hitchin bergelut selama 15 minit sebelum menangkap ikan keli seberat 107.95 kilogram (kg) di Sungai Ebro, Sepanyol baru-baru ini.
Menurutnya, ikan itu muncul di permukaan dan kami semua terperanjat kerana ia sungguh besar.

"Ia amat berat dan batang pancing bengkok. Saya berusaha untuk menariknya manakala empat orang terpaksa menariknya ke daratan," katanya.

Sean yang memancing sejak berumur 12 tahun mengikuti bapa dan sepupunya untuk memancing dekat dengan bandar Mequinenza di Sepanyol.

Ikan itu ditimbang untuk mengetahui beratnya sebelum dilepaskan semula ke dalam sungai.
Sebelum ini ikan keli paling besar pernah ditangkap ialah di Sungai Mekong, Thailand dengan beratnya ialah 293kg pada 2005.


kosmo 13 Nov 2009

Tuesday, September 22, 2009

SOTONG GERGASI


FLORIDA - Sekumpulan saintis Amerika Syarikat (AS) terkejut kerana mereka berjaya menangkap seekor sotong gergasi semasa melakukan penyelidikan ikan paus di Teluk Mexico, lapor sebuah akhbar semalam.

Sotong itu yang seberat 46.72 kilogram dan sepanjang 5.94 meter ditangkap dengan menggunakan pukat tunda pada kedalaman lebih 457.2 meter.
Kumpulan saintis tersebut pada mulanya tidak mengetahui benda yang berjaya ditangkap mereka itu.

Sotong itu ditangkap pada Julai lalu dan bangkainya dihantar ke Muzium Institusi Sejarah Semulajadi Kebangsaan Smithsonian untuk kajian lanjut.
Sotong itu tidak pernah dilihat selepas seekor haiwan tersebut ditemui mati di Delta Mississippi pada 1954.



sumber : Akhbar Kosmo




Thursday, July 16, 2009

Pemancing Muda

.


Seorang pelajar perempuan berusia 11 tahun, Jessica Wanstall mencipta satu rekod baru apabila dia memancing ikan air tawar gergasi dengan berat lebih 90 kilogram dan panjang hampir 2.8 meter, lapor sebuah akhbar semalam.

Bapanya panik apabila melihat Jessica tiba-tiba diseret ke tebing sungai itu apabila ikan tersebut memakan umpan jorannya tetapi bergegas membantu anaknya.
Pelajar di sebuah sekolah rendah Britain itu berpeluh selama 20 minit sebelum berjaya menaikkan ikan tersebut dengan bantuan bapanya ketika mereka memancing di Sungai Ebro, Sepanyol baru-baru ini.

"Tangan saya kebas ketika cuba menaikkan ikan itu dan tidak pernah berasa amat letih sebelum ini tetapi bapa saya membantu mengangkat ikan itu ke tebing sungai," jelasnya.
Jessica yang memiliki ketinggian 1.4 meter dengan berat 36.1 kilogram kelihatan kerdil berbanding ikan gergasi tersebut.

"Saya hanya menyedari betapa besar ikan tersebut sewaktu melihat gambarnya selepas itu," kata Jessica.

Menurut bapanya yang berusia 49 tahun, pengunjung dan pemancing lain di sungai itu turut terkejut menyaksikan saiz ikan itu apabila ia dinaikkan ke darat.
Jessica kini memegang rekod kanak-kanak yang pernah mendapat ikan air tawar terbesar di Eropah.


.

Sunday, June 7, 2009

Umpan Cacing Tiruan

.


Bakau Day Night Worm SeriesUMPAN cacing tiruan yang lembut ini sesuai digunakan pada waktu siang dan malam. Pergerakannya dalam air seolah-olah seperti umpan hidup yang mampu menarik perhatian pelbagai spesies sama ada di laut atau air tawar.


Produk ini didatangkan dalam pelbagai warna terang seperti putih, hitam, merah dan hijau untuk menarik perhatian mangsa. Saiznya pula berbeza mengikut keperluan kaki pancing. Umpan tiruan ini juga boleh digunakan untuk memancing menggunakan teknik casting, jigging dan tunda.
.

Umpan Hanyut Dengan Ladung

.

Untuk pancing hanyut menggunakan ladung, ikat belon kira-kira lima depa dari kedudukan ladung, manakala umpan pula berada kira-kira tujuh depa dari belon berkenaan.

Teknik ini sesuai untuk menghanyut bagi memburu tenggiri, layaran, mersuji dan alu-alu. Gunakan kabel sebagai prasyarat bagi mengelak perambut putus.Untuk teknik memancing dasar, labuhkan ladung sehingga mencecah dasar.

Jika kawasan dasar berpasir atau berlumpur, biarkan saja umpan berada hampir dengan dasar. Jika kawasan karang, apabila ladung mencecah dasar, angkat semula kira-kira dua hingga tiga depa supaya umpan tidak tersangkut pada karang atau reba di dasar.


.

Gewang Untuk Toman

.
Gewang selaman cetek mempunyai bebola lebih efektif memburu toman berbanding gewang selaman dalam terutama ketika air sedikit keruh. Ini berikutan kita dapat merasai secara langsung sentuhan dan sambaran toman yang hampir di permukaan.

Malah kehadiran toman mengejar dan menerkam gewang dapat dilihat dengan mudah. Jika menggunakan gewang selaman dalam maka kelibat ikan tidak kelihatan. Kita hanya tahu toman membaham gewang apabila lenturan joran berterusan secara tiba-tiba.

Bagi warna gewang pula pilih jenis yang terang, lut sinar dan berwarna garang seperti oren, merah kekuningan.Bagi mengilat toman dari tebing, saiz gewang antara 8cm hingga 12cm. Selain gewang, penggunaan popper dan soft plastik juga berkesan.


.

Umpan Patin Kolam

.
Memancing dalam air keruh memerlukan umpan yang kuat baunya. Bau yang kuat dan sesuai dapat menarik minat ikan. Patin boleh dipancing sama ada umpan terdampar di dasar atau terampai pertengahan air. Umpan pilihan adalah perut ayam, dedak dan gumpalan roti. Antara campuran yang biasa saya gunakan tambahan perisa vanila, strawberi atau pandan pada roti sebelum dikepal sehingga besar penumbuk.

.

selamat mencuba


.

Tuesday, June 2, 2009

Sentapan Padu

Untuk membuat sentapan balas padu, pastikan tali benar-benar tegang ataupun anda pastikan umpan sedang dilarikan ikan. Kemudian, rendahkan joran pada sudut kira-kira 30° dari permukaan asas dan barulah lakukan sentap balas dengan mengangkat joran sehingga kedudukan 90°.

Tahan seketika pada kedudukan ini supaya tali sentiasa tegang. Kemudian, rendahkan joran pada kedudukan 45° hingga 70°. Selepas itu, layan pergerakan ikan dengan mengawal joran serta sistem tegangan kekili pada larasan yang betul.

Joran tidak perlu diubahsuai jika kita membeli yang sudah siap dari kedai kerana pembikinannya sudah sempurna untuk digunakan. Yang paling asas ialah kemahiran memancing perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa.



.

Perihal Umpan Katak

Umpan katak yang dipasang tidak perlu hidup. Cangkuk hingga keseluruhan badan katak. Ikat kaki depan katak dengan getah di bahagian hadapan hujung kili. Jika memancing di kawasan berlumut maka kebarangkalian mata kail tersangkut adalah tinggi.

Jadi, sembunyikan mata kail di dalam badan katak berkenaan. Masalah rabut berlaku kerana pemancing terlalu cepat meyentap joran apabila berlaku sambaran. Haruan biasanya menyambar umpan tetapi tidak terus menelannya. Biarkan umpan digonggong seketika sebelum menyentap balas.

Teknik ini sedikit berbeza apabila menggunakan gewang kerana konsep mata kail adalah berlainan. Sambaran pada gewang biasanya mengena pada mata tiga. Kedua-dua jenis janggut ini boleh diguna pakai. Yang penting ialah teknik menggayakan janggut itu bagi memikat haruan.

Perihal Tali Tangsi

Sifat anjal yang dimiliki tali tangsi membolehkan tali menerima tekanan lebihan sebanyak 25 peratus. Contohnya tali yang berkuasa 10 paun boleh menerima tekanan sehingga 12.5 paun. Daya kekuatan ini membolehkan tali memanjang apabila menerima tekanan.

Tangsi juga berupaya kembali kepada bentuk dan kekuatan asal setelah berlaku tekanan kecil yang tidak melebihi kadar 25 peratus itu. Pada amnya, semakin halus dan semakin kecil diameter tali, semakin kuranglah tekanan yang diperlukan untuk merosakkan daya kekuatannya.

Bagaimanapun pemancing harus berhati-hati kerana tenaga dan saiz ikan, jangka masa dan tekanan semasa pertarungan boleh menghampiri titik pemutusan tali. Kebanyakan pemancing profesional yang ingin memecahkan rekod tangkapan ikan besar akan menggunakan tali berkuasa rendah sambil membawa gelendung tambahan untuk menukarnya setiap kali selesai pertarungan.

Untuk memeriksa calar dan hakisan yang mungkin wujud pada tali, anda hanya perlu lurutkan tali antara jari ibu dan telunjuk ketika memasukkan tali ke dalam geledung. Beringat supaya mengeluar atau memeriksa lebihan tali selepas setiap 'trip' memancing. Seandainya ikan pernah melarikan sebanyak 20 meter tali, maka keluarkan 40 meter untuk memeriksa takik yang mungkin disebabkan oleh sampah, batu, ikan, kerosakan cincin atau ikatan pada cili.

Ketahanan tali yang halus akan merosot atau hilang dalam kadar yang tinggi sekiranya terdapat takik atau kikisan berbanding tali kasar yang sama ketahanannya.Regangan lampau pada tali tangsi juga perlu diperiksa dengan cara mengeluarkan dan kemudian memasukkan tali semula ke dalam kekili melalui ibu jari dan telunjuk. Tali yang masih baik mempunyai bentuk ukur lilit yang bulat.

Oleh itu, jika anda merasai perubahan pada bentuk tali kepada bentuk leper yang menipis ataupun daya regangan seolah-olah hilang maka daya ketahanan pada bahagian berkenaan adalah kritikal. Gantikan tali. Sekiranya anda berada di atas bot dan tidak mempunyai tali simpanan, buangkan beberapa meter di belakang tempat yang rosak.

Satu lagi kunci untuk mengetahui tali sudah rosak ialah daya kekuatannya yang agak lemah. Jika ikatan yang betul gagal dilakukan, itu tandanya ia perlu ditukar.


.

Friday, May 1, 2009

Perihal Ikan Sepat


IKAN sepat (Gourami) dianggap antara spesies yang jarang dipelihara oleh pemilik akuarium. Ini kerana ramai yang menyifatkan spesies itu sukar dipelihara. Dan ada juga berpendapat spesies itu yang tidak ada nilai komersil.

Bagaimanapun tidak kurang juga pemilik akuarium yang memelihara spesies ini kerana keunikannya selain semakin sukar ditemui di parit atau kolam yang sebelum ini menjadi habitat utamanya. Perlu diingat terdapat empat jenis ikan sepat - Honey Gourami (Colisa chuna), Dwarf Gourami (Colisa lalia), Pearl Gourami (Trichogaster leeri) dan Blue Gourami (Trichogaster trichopterus).

Setiap spesies menampilkan sifat fizikal berlainan dan memiliki daya tertarik sendiri kerana sudah ramai pemilik ikan mula untuk mengumpul spesies ini yang dianggap semakin pupus.Mungkin ramai yang tidak mengetahui memelihara spesies ini dianggap mudah berbanding spesies lain. Ini kerana ia dianggap lasak dan tidak memerlukan penjagaan terlalu rapi serta mudah hidup.


Harga jualan kurang RM5 seekor serta variasi jenis sepat ini menyebabkan sudah ramai pemilik kedai akuarium mula menjualnya kerana ia semakin mendapat tempat di kalangan pemilik akuarium.Empat jenis ikan sepat ini memiliki tabiat pemakanan, pembiakan, kesesuaian pencahayaan dan penyediaan akuarium serta tabiat renangan yang hampir sama dan hanya memerlukan penjagaan minimum.


Spesies ini menggemari makanan kering sama ada dalam bentuk butiran atau kepingan tipis. Ia disifatkan tidak terlalu memilih dalam pemilihan makanan.Sepat membiak secara bertelur. Ia cukup selesa dengan akuarium yang terang tanpa pencahayaan matahari. Ikan ini bukan jenis pemangsa. Justeru, ia mesra dengan ikan lain. Lanskap akuarium yang sesuai ialah dengan memasukkan tumbuhan air secara padat.

Tabiat renangan ialah gemar berlegar-legar di bawah permukaan air. Bagaimanapun dari segi air, Honey Gourami serasi dengan air pH6.8, keliatan air H7, suhu air 28 darjah Celsius, membesar sehingga 6 sentimeter dan takungan air 80 liter. Dwarf Gourami (pH6, H7, 28 darjah Celsius, 6cm, 80 liter), Pearl Gourami (pH7, H8, 10cm, 26 darjah Celsius dan 100 liter) dan Blue Gourami (pH6.8, H6, 27 darjah Celsius, 15cm dan 200 liter).


.

Perihal Ikan Kelisa


IKAN kelisa (Scleropages formosus), antara spesies yang menjadi idaman ramai pemilik akuarium di negara ini kerana keunikan dan ada yang menyifatkan satu simbol kemewahan atau sesetengah pihak pula berpendapat boleh membawa tuah.

Persepsi penggemar kelisa juga menyebabkan nilai ikan ini melambung di pasaran hingga mampu mencecah ribuan ringgit dan sentiasa menjadi buruan ramai pemilik akuarium sejak kebelakangan ini.Keunikan ikan ini dikatakan mampu memukau pemiliknya yang sanggup menghabiskan masa untuk melihatnya berenang dalam akuarium.


Bagaimanapun, ada beberapa perkara asas yang perlu diketahui oleh bakal atau pemilik spesies ini iaitu ikan jantan dan betina perlu diletakkan dalam tangki konkrit 2.0 meter x 2.2 meter dengan kedalaman air 0.4 meter bagi tujuan pembiakan.Penukaran air perlu dilakukan setiap hari dengan campuran air paip dan air perigi untuk memastikan air sentiasa bersih, manakala segala mineral dalam air dapat membantu proses pembesaran ikan.

Tangki atau akuarium perlu ditutup dengan sesuatu seperti jaring yang mampu memberikan sistem pengudaraan untuk mengelakkan daripada ikan melompat keluar kerana spesies ini menjadi agresif selepas bertelur.Tangki atau akuarium perlu dilindungi daripada sinaran matahari dan suhu air dikekalkan pada tahap 26 - 30 darjah celcius, manakala bacaan pH air perlu berada pada bacaan sekitar 6 hingga 7.5.


Bagi mempercepatkan proses pembiakan dan tumbesaran ikan, makanan seperti lipas atau cacing tanah antara jenis makanan yang disarankan sepanjang proses pembiakan. Perlu diingat proses bertelur spesies ini berlaku sekurang-kurangnya setahun sekali sekitar Oktober dan ada kemungkinan berlaku pada bulan lain seperti Mac.

Kebiasaannya, spesies ini akan mengeluarkan telur sehingga 50 biji setiap kali proses bertelur, manakala kelisa jantan akan mengeramkan telur berkenaan di dalam mulut sehingga menetas.Ikan jantan hanya akan membebaskan anak ikan selepas ikan betina dikeluarkan dari tangki ataupun akuarium.


.

Waktu Terbaik Untuk Memancing

BERTANYAKAN waktu paling baik untuk menjalankan aktiviti memancing di laut selain kena lubuknya, umpan dan air pasang surut maka beberapa pakar veteran nelayan yang sempat ditemui sependapat bahawa masa paling sesuai untuk memancing ialah pada waktu senja sebelum matahari terbenam di kaki langit, tengah malam dan waktu awal pagi sebelum terbit fajar.

Tiga waktu pilihan yang disebutkan di atas berdasarkan pengalaman nelayan yang hidup mereka sebati dengan laut atau paling tepat diterjemahkan bahawa laut adalah pintu rezeki mereka. Kerana itu pelbagai usaha dilakukan bagi mengenal pasti untuk meraih rezeki seharian pada tahap maksimum.Justeru, Petua Pak Nuri kali ini cuba mengaitkan tiga faktor masa yang disebutkan di atas untuk kita berkongsi sambil menentukan arah tuju petua lama dan baru yang boleh diguna pakai pada zaman moden ini.

Walaupun perubahan sentiasa berlaku, petua tetap petua. Cuma soal mengamalkan petua itu saja yang mula dilupakan oleh generasi muda hari ini, termasuklah tekong dan pemancing muda (tidak semua). Ini kerana peralatan moden seperti pengesan GPS dan sonar dalam banyak kelebihan berjaya mematahkan keupayaan petua. Namun bukan semua petua dapat dipatahkan kerana petua adalah amalan yang dihasilkan daripada gerak rasa serta suasana sekeliling dan alam semula jadi.Petua kembali semula pada tiga masa terbaik memancing sekali pun tidak pada musim air mati.

Waktu senja pilihan pertama, kerana pada waktu ini ikan akan keluar mencari makan dan akan berada dalam kawasan karang, lubuk atau tukun.Pilihan kedua pada waktu tengah malam. Ini kemungkinan ada spesies ikan besar keluar mencari makanan seperti anak ikan sama ada di dasar laut mahu pun di permukaan air yang dihuni oleh banyak spesies ikan kecil bermain.

Tetapi ada risikonya mengenai arus air yang deras yang bakal kita hadapi.Terbaik ialah pada waktu awal pagi yang bermula 4 hingga 6 pagi. Ini kerana pada waktu itu ikan akan keluar semula mencari makan dalam keadaan lebih ganas. Begitulah pengakuan orang lama yang sudah sebati hidupnya dengan laut.Ada juga yang memilih air mati yang ada kalanya berbeza dari satu kawasan dengan kawasan lain.

Tetapi petua tetap petua dan baik untuk diamalkan.Carilah tiga waktu ini untuk memancing di lubuk, karang atau tukun yang sudah dikenal pasti selain faktor umpan terbaik dan teknik memancing juga perlu dilakukan selaras dengan cita rasa alam sekitarnya bagi menjamin tangkapan lumayan.



.

Monday, April 6, 2009

Teknik Pancing Tilapia


Saya syorkan anda guna kekili yang boleh muatkan tangsi berkeupayaan 6 hingga 8 paun. Padankan dengan joran aksi ringan 8 hingga 12 paun. Jika ingin keseronokan dan kepuasan yang lebih, gunakan set pancing udang galah. Aksinya dan perlawanan lebih mantap.

Antara makanan ikan tilapia ialah dedak, sama ada dedak tepung atau dedak pellet. Dedak pellet ialah sejenis dedak biji. Dedak ini akan mengembang jika direndam dalam air seketika sebelum dicucuk mata kail ke dalamnya.



Umpan lain ialah roti, anak udang sungai, cacing, cengkerik dan anak ikan hidup. Umpan yang lumrah dan banyak digunakan adalah campuran dedak khas seperti dedak dinding, 5 dalam 1 dan dedak pellet.




.

Friday, April 3, 2009

Ajiking Pro Line


Ajiking Pro Line Fluoro Leader

TALI pancing ini diperbuat daripada fluorocarbon berkualiti tinggi untuk memastikan sesuai dengan kegunaan kaki pancing yang menggemari pertarungan sengit dengan mangsa bersaiz besar dan ganas.Tali ini juga dapat meningkatkan lagi ikatan atau simpulan tali supaya tidak mudah terlucut manakala tahap regangan yang kurang serta kehalusan tali ini juga menyebabkan ia antara tali pilihan ramai pemacing.Lebih menarik, meskipun ia lembut, tali pancing ini tahan geseran. Ia didatangkan dalam saiz 15, 20, 30, 40, 50, 60 dan 80 paun.
.

Monday, March 30, 2009

Kaloi Rompin



ROMPIN: Selepas dikecewakan sang sebarau, penulis dan rakan menukar sasaran mencari kalui. Seingat penulis, dua gewang saiz 9 lesap digasak sebarau bagak menyebabkan stok gewang, habis.Perjalanan kali ini ke Lubuk Lais di mana lokasi itu kebanyakan dipenuhi reba dan kayu yang tenggelam di dasar sungai. Ini potensi besar bagi menjerat spesies itu. Bukan itu saja, baung boleh dipancing di tempat sama menggunakan umpan peram atau perumpun. Perlu diberi perhatian, jika berhajat menjerat sang kalui maka tali utama yang digunakan mesti melebihi 20 paun, manakala perambut antara 30 hingga 40 paun.
.
Ini bagi mengelakkan tali atau perambut putus ketika bertarung dengan mangsa.Setibanya di tempat yang dituju, sauh dilabuhkan. Pancingan pun bermula dengan umpan cebisan kelapa sawit. Hampir satu jam penantian dengan penuh sabar bagi memujuk sang kalui meragut umpan. Getuan kecil mula kelihatan. Inilah tabiat kalui ketika memakan umpan yang dilabuhkan.Penulis menunggu getuan yang agak kencang sebelum membuat sentapan balas supaya umpan yang dikunyah betul-betul ditelan mangsa. Rembatan kuat dilakukan. Nyata hujung tali terasa berat.
.
Mangsa melawan dengan membuat larian kencang menuju ke reba. Walaupun sistem seretan dikunci ketat, namun mangsa berjaya menyusup ke reba. Hampa bila tali perambut berkekuatan 20 paun berjaya diputuskan mangsa. Seketika kemudian rakan Ahmad Bahari pun menerima nasib sama. Perambut ditingkatkan kepada 40 paun. Kalui seakan mencabar kerana kami sangkakan tidak akan ada lagi getuan selepas itu seperti kebiasaannya. Kali ini joran ditarik rakus walaupun tiada getuan ditunjukkan langsung. Sentapan kuat dibuat. Berlaku pertarungan hebat hingga lenguh otot bahu dan pergelangan tangan.
.
Terasa kalui ini terlalu besar dengan daya juang yang tinggi dan enggan menurut tarikan tali supaya berentap di pertengahan sungai. Namun setelah beberapa teknik memujuk dengan menghenjut joran perlahan-lahan, mangsa akhirnya akur dan berjaya ditarik keluar dari kawasan reba. Kalui seberat 5.69 kilogram berjaya ditawan. Ini adalah antara mangsa yang terbesar pernah diperoleh setakat ini.Berbanding dengan dua tahun lalu, rekod tangkapan ikan bersaiz besar makin berkurangan. Kemungkinan kerap kali dituba atau ambai haram yang menjerat baka ikan ini daripada membiak. Justeru, komitmen pemancing terhadap pemeliharaan khazanah sungai amat dihargai supaya sumbernya berkekalan selamanya.
.
Dipetik daripada Akhbar Joran, Berita Harian
.

Wednesday, March 18, 2009

Ikan Ketutu

Ikan Ketutu atau nama saintifiknya Marble Goby merupakan spesies ikan air tawar namun ada juga yang hidup di kawasan air payau. Ikan ini juga dikenali dengan ikan hantu, ikan ubi dan ikan bodoh mengikut tempat. Bersifat karnivor iaitu memakan daging dengan memakan anak-anak ikan kecil, udang, siput dan ketam kecil..... ikan ini diberi nama sedemikian adalah kerana bentuk dan corak badannya yang seakan-akan ubi kayu atau kayu yang hodoh di dasar sungai..

Ikan pemangsa ini kawasan seperti lubuk, lombong tinggal dan tasik terutama kawasan mempunyai kayu atau buluh bagi tujuan mencari makanan. Bersifat pendiam dengan aktif pada waktu malam atau keadaan gelap. Ketutu dapat mencapai pembesaran sehingga 50 cm atau 2kg dalam masa 2 tahun.



Ikan ketutu sememangnya terkenal dengan sifatnya yang pemalas. Ia hanya menyambar makanan atau umpan yang lalu di depannya sahaja. Oleh itu, ikan ini menggunakan kelebihannya untuk menyamar bagi mengelirukan mangsanya. Ditambah pula dengan fizikalnya yang seakan-akan kayu buruk.

Ikan ini biasanya aktif pada waktu malam. Waktunya banyak dihabiskan dengan berehat di celah-celap kayu, reba, batu dan sembunyi dalam pasir atau lumpur. Ikan ketutu akan menghampiri kawasan cetek pada malam hari untuk mencari makanan. Ia tidak agresif ketika memburu sebaliknya hanya menunggu mangsa mendekatinya sebelum membuat sambaran.
.

Diet utama ikan ini biasanya anak ikan dan udang. Kini spesies yang hodoh dan pemalas ini sukar ditemui kerana ianya selalu diburu oleh kaki pancing disebabkan rasanya dan enak. Maka tidak hairanlah jika permintaan terhadap ikan ini amat menggalakkan. Harganya boleh mencapai ratusan ringgit sekilo lebih-lebih lagi apabila menjelangnya Tahun Baru Cina.




UMPAN IKAN

.
Saya huraikan secara ringkas mengikut senarai dan pilihan kaki pancing. Umpan yang diterangkan adalah merujuk kepada umpan biasa (kaedah tradisional) tanpa menyentuh pengunaan atau umpan tiruan.

-Untuk udang galah umpan yang sesuai ialah perumpun, anak udang beras, anak ikan guppy, isi ikan, hati dan jantung ayam, isi remis, isi kerang, adunan dedak campur belacan.

-Kuku (ketam angin, anak ketam pasir, udang sungai, udang kayu, udang kantong, roti canai, ayam goreng).

-Semilang (Udang sama ada hidup dan mati lintah sungai, perumpun, sotong kurita, isi ikan, ikan belanak, bebolos, isi siput, anak ketam.

-Kelah (kelapa sawit peram, buah merih, udang sungai, buah nerang).

-Toman (anak ikan hidup lampan, tengas, sebarau, keli),

-belida (ikan anak ikan hidup seperti parang, terbul, tengas, talapia susur batang).

-Jenahak (udang hidup, cumit hidup, udang lipan, sotong kurita, belanak, anak gelama, anak bebolos, perumpun, hirisan isi ikan segar).

-Sepat (lumut, cacing kecil, telur kerengga, nasi).

-Haruan (katak, anak ikan, udang sungai, cacing, belalang, cengkerik).

-Belanak/tamok/andeng (roti yang digumpal kecil).

-Ketutu (anak ikan, hirisan / ketulan isi ikan, udang sungai).

-Baung (umpan peram, ulat lundi, udang sungai, isi ikan, cacing, dedak, perut, usus atau hati ayam).

-Keli (cacing, cengkerik, udang sawah).

-Tapah (hampir semua anak ikan sungai, anak keli, udang galah, ulat lundi).

-Sebarau (anak seluang atau ikan parang kedai akuarium, tebal sisik, anak lampan, anak terbul, anak ikan tengas, udang sungai).


.

Tica Reel