Friday, December 31, 2010

KHASIAT IKAN KELI

Kandungan khasiat Omega-3 Ikan Keli antara tertinggi
(Berita Harian, Jumaat –4 Oktober 2002)

Kuala Lumpur (Malaysia) –Technology Park Malaysia (TPM) menerusi penyelidikannya mendapati ikan keli atau nama saintifiknya, Clarias gariepinus, mempunyai kandungan Omega-3 pada kadar 0.51 gram bagi setiap 100 gram, jauh lebih tinggi berbanding kandungan Omega-3 dalam ikan salmon (0.20g/100g), mackerel (0.10g/100g) atau trout (0.40g/100g).

Kadar lemak dalam ikan keli (9-12 peratus) juga didapati antara yang tertinggi di kalangan mana- mana ikan air tawar atau masin, sama ada yang hidup di perairan tropika atau kawasan beriklim sederhana.

dipetik dari: http://www.pokoksawa.com.my/Keli.html

Haiwan yang dianggap sebagai ikan kotor ini di suatu ketika dahulu menyimpan banyak kebaikan terhadap kesihatan. Jika di lihat dari segi kehidupan haiwan ini ianya memang terlalu rakus tentang pemakananya dari daunan hingga ketahap bangkai. Dengan adanya kajian pemakanan yang betul maka dan khusus ianya tidak lagi dianggap ikan kotor malah di iktiraf sebagai ikan paling banyak khasiat dan protein. Malah ianya bukan sekadar makanan namun banyak faedah terhadapnya.


Selain mempunyai kandungan asid lemak Omega 3 yang tinggi yang datangnya dari sumber pemakanan ikan iaitu fitoplankton. Asid lemak yang banyak terdapat dalam minyak walnut, plankton marin dan ikan yang berlemak. "Kebaikan asid lemak ialah ia dapat mengurangkan risiko penyakit barah dan jantung. Minyak ikan yang terdapat di dalam ikan keli ini dapat mengurangkan ketidakstabilan denyutan jantung dan lain-lain. Asid lemak ini boleh mengurangkan risiko pesakit jantung, Ia juga mampu mengurangkan pembekuan darah iaitu punca utama sakit jantung dan mengurangkan kandungan kolesterol di dalam badan.


Ikan keli ini juga baik untuk pertumbuhan otak dan pembesaran kanak-kanak, kerana kandungan DHA yang terdapat di dalamnya. Ini kerana otak manusia memerlukan lebih daripada 20 gm DHA. Tahap DHA yang rendah berkait rapat dengan paras serotonin rendah yang boleh mengakibatkan tekanan jiwa. Pengambilan Omega yang terdapat di dalam ikan keli ini mempunyai banyak kelebihan dan banyak kebaikanya.

dipetik daripada: http://www.aeroaquaticipoh.co.cc/2008/08/khasiat-ikan-keli.html



UMPAN IKAN AIR TAWAR

a). Dedak dan roti adalah antara umpan terbaik menjerat patin terutama patin kolam. Kalau patin sungai pula buah ara hutan, perut ayam dan gumpalan cacing menjadi pilihan. Umpan untuk tongsan sisik halus hampir sama dengan umpan untuk patin kolam. Yang berbeza ialah teknik mengumpan. Bila memperkatakan mengenai dedak, ia terlalu banyak jenis dan perisa. Rajin mencuba ramuan dedak boleh dijadikan ukuran penentu.

b). Haruan jenis ikan menyambar mangsa. Umpan seperti katak, belalang, cengkerik, anak ikan sepat, anak ikan seluang serta udang sungai menjadi menu utama. Ikan puyu boleh dipancing menggunakan cacing halus dan telur kerengga. Bagus lagi kalau kita dapat larva lebah.

c). Toman menelan sebarang jenis anak ikan seperti keli, baung, sepat, lampam, anak ikan merah mata, ikan terbol, seluang dan pelbagai jenis anak ikan lain. Selain itu, katak menjadi senarai makanan toman. Kelah pula sering dikaitkan dengan umpan sawit peram, buah maris, buah ara, buah neram. Udang sungai, anak ikan juga boleh digunakan sebagai pilihan kedua. Ikan lampam mudah dipancing menggunakan umpan cacing, dedak, nasi maupun cebisan roti.

d). Ikan keli boleh diumpan dengan gumpalan cacing, cengkerik, perut ayam, dedak mahupun gumpalan roti. Anak ikan seluang boleh dijadikan pilihan kedua. Ikan kalui pula boleh dipancing menggunakan udang sungai, buah ara dan anak ikan seluang.

e). Bagi belida ia memburu anak ikan kecil, udang sungai. Umpan belida kebanyakan dari jenis umpan hidup kerana sifat belida suka menyambar makanan.



Thursday, October 14, 2010

Kolam Ikan Koi


Laman konsep Zen atau Taman Jepun semakin mendapat sambutan berbanding bali dan nusantara

MENGIKUT aliran terkini, laman konsep Zen atau Taman Jepun semakin mendapat sambutan ramai berbanding bali dan nusantara. Apabila kita memperkatakan mengenai Zen, pastinya terlintas ikan koi atau kap yang menghiasi kolam kecil di laman. Kolam ikan koi atau ‘Koi Pond’ sebenarnya tidaklah sukar untuk diselenggara jika anda tahu cara menjaganya dan pembinaannya mengikut spesifikasi yang ditetapkan atau anda mendapatkan nasihat pakar.

Seorang pakar ‘koi Pond” Loong Chek Jen dari SerenityScape berkata, Koi Pond yang mudah diselenggara adalah yang berkualiti tinggi yang mana 30 peratus daripada keseluruhan kolam dilengkapi penapis atau ‘filter’ untuk menapis air serta memastikan kolam bersih selain ikan koi sihat. Katanya, ada pelbagai bahan yang digunakan untuk penapis kolam iaitu besi tahan karat, ‘Japanese Mat’, kulit tiram, bio-ring dan ‘crush coral’.

Aksesori dan pelengkap kolam juga dibahagikan kepada beberapa kategori seperti fiber, plastik, batu pasir, batu tiruan, granit dan batu marmar. Namun, ramai yang memilih fiber dan batu pasir kerana harganya lebih murah, terkini dan mudah diselenggarakan. “Batu tiruan atau binaan konkrit agak ketinggalan zaman, namun mereka yang bercita rasa tradisi suka dengan kolam batu tiruan ini,” katanya.

Jumlah ikan haruslah disesuaikan dengan keluasan kolam. Bagi menaikkan seri kolam, biasanya pokok renek dan rumpai air akan ditanam berhampiran kolam manakala mereka yang suka konsep Zen tentunya memilih pepohon bonsai, kemboja dan busida. Untuk lebih menarik, jangan takut untuk meletakkan aksesori berbentuk haiwan atau tumbuhan di tepi kolam

Keladi bunting, teratai dan melati masih menjadi pilihan ramai untuk menghiasi dalam kolam, namun ‘koi Pond’ tanpa tumbuhan dalam air sudah mencukupi kerana ikan koi berwarna warni dan menarik.Kedalaman air yang sesuai untuk ikan koi adalah satu liter air untuk satu tan ikan per satu meter persegi kolam. Namun, ada orang yang meletakkan lebih daripada itu yang mana ikan nampak padat dalam satu kolam.

Bagi menjamin keselesaan dan kolam koi anda nampak eksklusif, lebih baik hadkan jumlah ikan mengikut saiz dan kedalaman air. Kedalaman dan saiz kolam perlu sesuai dengan ikan koi jika tidak bukan saja nampak berserabut malah tidak baik untuk kesihatan ikan. Kebiasaannya kedalaman terbaik untuk memelihara ikan koi ialah sekurang-kurangnya 36 sentimeter (sm) atau lebih. Kolam yang terdedah dengan cahaya matahari terik, perlu dipastikan kedalamannya lebih daripada 36 sm.

Loong menasihatkan mereka yang berminat membela ikan koi supaya elakkan meletakkannya bersama ikan lain terutama ikan kecil seperti gapi dan ikan emas kerana ia menghilangkan seri kolam dan kemungkinan ikan lebih kecil menjadi makanan ikan koi.. Katanya, seeloknya bersihkan segera air pada bahagian bawah kolam yang sudah kotor dan busuk kerana ia boleh dikesan apabila ikan peliharaan anda sering kelihatan muncul di permukaan air.

“Apabila membersihkan kolam, anda disarankan supaya tidak membuang semua air ketika membersihkankolam dan tinggalkan sekurang-kurangnya 40 peratus. Pagi adalah waktu terbaik untuk anda membersihkan kolam kerana kandungan klorin ketika itu kurang berbanding sebelah malam,” katanya.Mereka yang berminat dan ingin mendapatkan mengenai kolam koi boleh mendapatkan khidmat Loong dengan melayari www.serenityscape.com.

Tip: Kolam ikan koi

Gunakan penapis air yang mudah dicuci dan elakkan daripada menggunakan bahan mudah mendap najis atau makanan ikan.Penapis air juga perlu dicuci seminggu sekali untuk memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan bersih.

Untuk kolam baru, anda perlu bersihkan dulu dengan air sebelum anda memasukkan ikan atau tumbuhan air. Ini penting untuk memastikan kotoran dan basuhan terakhir binaan kolam tidak tertinggal dalam kolamGunakan bahan pencuci dengan kadar pekatan sederhana jika anda mahu mencuci kolam. Kaedah berkenaan dapat membantu mengurangkan kesan bahan pencuci yang dikhuatiri membunuh hidupan air.

Tidak perlu risau dengan keadaan lumut yang kian menghijau kerana ia tumbuh secara semula jadi seiring kematangan tumbuhan air lain. Ia juga menjadikan landskap nampak lebih ‘hidup’.


Ikan Angel



Ikan Angel (Pterophyllum Sclare) berbentuk pipih dan hujung mulutnya tajam. Sirip dorsal dan analnya terbuka lebar ke arah ekor. Di bahagian dada terdapat sepasang sirip yang terjuntai menjangkau ke ekor berwarna putih. Warna di bahagian bawah tubuhnya kelabu berkilat. Di bahagian atas kepalanya coklat kehitaman. Ikan ini boleh membesar sehingga 15cm. Morfologinya yang berbentuk cakera dan suka berenang di pertengahan akuarium menjadikan ia sangat digemari sebagai ikan hiasan. Ikan ini tahan lasak dan pemakanannya mudah. Ia diberi makan Blood worm, Daphnia sd., Moina sp., jejentik dan pelet. Ikan ini sesuai diternak secara berkumpulan. Ikan jantan mempunyai badan lebih besar daripada ikan betina. Jika dipandang dari atas kelihatan perutnya pipih dan kepalanya lebih besar.


Bahagian atas antara mulut dan sirip dorsal (dahi) berbentuk cembung. Warnanya lebih terang. Liang genitalnya kecil panjang dan berbentuk 'V'. Ikan betina bersaiz lebih kecil. Pandangan dari atas kelihatan perutnya lebih besar dan kepalanya lebih kecil. Bahagian antara mulut dan sirip dorsal rata. Warnanya tidak secerah ikan jantan. Liang genitalnya lebih tebal dan membengkak berbentuk 'U' apabila ikan telah matang. Tabiat ikan betina juga kurang agresif daripada ikan jantan.

Pembiakan

Apabila ikan angel jantan dan betina yang matang mendapat pasangan yang sesuai ia akan sentiasa berdua-duan, dan akan mencari permukaan untuk bertelur. Ikan angle melakukan pesenyawan luaran. Telur mereka boleh menjangkau hingga 800 biji.


Ikan


Ikan tergolong dalam benda hidup, kumpulan haiwan, mempunyai tulang belakang. Ciri-ciri haiwan ikan adalah seperti berikut :-

Terdapat lebih daripada 27,000 spesies ikan, dan boleh dibahagikan kepada beberapa kategori utama:

  1. ikan bertulang keras (22,000 spesies)
  2. ikan bertulang rawan (800 spesies)
  3. ikan tanpa rahang (75 spesies)

Teknik Pancing Di Pantai


Waktu air pasang adalah masa terbaik memancing kerana ketika ini banyak ikan pemangsa rapat ke pantai mencari makanan. Ikan semakin menjauh dari pantai apabila air bergerak surut. Namun sudah menjadi kelaziman pemancing pantai menggunakan joran panjang dan membuat lontaran pada jarak biasa iaitu jarak yang sering dibaling tidak kira sama ada air pasang mahupun surut.

Teknik terbaik ialah membuat lontaran sejauh mungkin dan tunggu jika ada getuan. Jika tiada karau sedikit tali dan tunggu lagi. Ulangi proses ini sehingga umpan pancing berada hampir dengan pantai. Berhenti jika terdapat getuan. Teknik ini ialah untuk mengesan lokasi ikan bermain ketika air pasang.

Oleh kerana laut adalah terbentang luas, sukar untuk mengagak lokasi ikan kecuali dengan teknik ini. Kalau boleh buat penandaan jarak yang potensi sebagai saja umpan menerima getuan. Sesetengah kawasan pula ombak akan menolak umpan ke pantai ketika air pasang.

Jika ini berlaku, kita perlu memastikan tali sentiasa dalam keadaan tegang dengan mengarau tali yang kendur. Jika kadar tolakan ombak dan arus kuat, gunakan ladung yang sesuai bagi mengelakkan perkara ini terjadi. Sama juga halnya ketika memancing di kala air surut atau hujung pasang.

Lontarkan umpan sejauh mungkin hingga ke tengah sambil menunggu sentapan berlaku. Ikan yang besar amat jarang bergerak terlalu rapat ke pantai kecuali di kawasan airnya dalam.
Memancing di pantai yang curam atau landai biasanya dengan kaedah dasar. Kalau pantainya landai dan cetek, melabuhkan umpan di dasar adalah terbaik. Cuma jarak yang menjadi perbezaan.

Jika anda mengetahui struktur persisiran benteng dan dasar di pantai itu, mungkin ini satu bonus kerana kita dapat mengagak lubuk pilihan ikan. Jika air jernih di pantai, kawasan dalam mudah dikenal pasti melalui perbezaan warna air. Jika terang memutih menandakan ia cetek, hijau dan biru gelap menandakan ia dalam manakala jika gelap kehitaman mungkin ada struktur karang di dasarnya.

Thursday, September 23, 2010

Cara Tukar Cincin Joran


Cara menukar dan menanggalkan cincin hujung pada joran patah;

1. Kikis dulu selaput gam pada hujung joran patah berserta pada cincin hujung.
2. Dapatkan pemetik api atau nyalakan lilin,
3. Panaskan cincin hujung yang ada pada joran yang patah.
4. Panaskan pada bahagian besi/logam cincin hujung saja, andainya cincin tersebut ingin diguna pakai semula.
5 . Awas jangan panaskan gelung atau seramik cincin mahupun pada joran.
6 . Berhenti memanas apabila kawasan logan cincin hujung mengembang atau mengeluarkan sedikit asap. Kepanasan melampau boleh merosakkan cincin dan joran tersebut.

7 . Asap berkenaan adalah gam bahagian dalam cincin hujung yang terbakar.
8 . Ambil kain atau sarung tangan tebal. Playar juga boleh digunakan. Ini adalah kerana cincin adalah panas.
9 . Tarik keluar cincin hujung secara selari dengan joran.
10 .Biarkan cincin yang di keluarkan sejuk semula jadi.

Cara memasang cincin hujung

1 . Pastikan saiz lubang cincin hujung muat dengan joran yang hendak dipasang.
2 . Jika ketat sedikit boleh guna kertas pasir untuk menggosok joran. Jika terlalu kecil cari cincin yang sama saiznya.
3 . Sekiranya cincin terlalu besar, dapatkan pita pelekat dan balut pada joran supaya cincin adalah ketat apabila di masukkan nanti.
4 . Guna gam cepat kering (5 minit Epoxy atau gam gajah).
5 . Sapukan gam di sekeliling joran.
6 . Masukkan cincin hujung sambil pastikan ia selari dengan cincin yang lain pada kedudukan joran.
7 . Biarkan ia mengeras seketika. Boleh digunakan 30 minit selepas gam kering.


Umpan Pancing Di Muara


Sebut mengenai muara, umpan paling sesuai ialah udang putih atau udang kertas hidup. Ia adalah diet bagi hampir semua ikan muara. Belanak hidup yang panjang badannya turut digemari jenahak, pari, kerapu mau pun siakap. Selain itu umpan ikan beliak mata, ikan bilis kasar dan ikan selangat turut digemari semua spesies yang disebutkan.

Satu lagi umpan semula jadi yang cukup digemari segala jenis ikan muara ialah perumpun. Namun umpan ini cepat habis sekiranya terdapat banyak anak ikan di kawasan pancing. Lubuk pancing terbaik di kawasan muara ialah tepian reba yang banyak terdapat pokok bakau tumbang, kawasan beting pasir khas untuk pari dan senangin serta muara anak sungai di mana menjadi kawasan tumpuan ikan mangsa dan pemangsa keluar masuk ketika air pasang mahupun surut.

Tidak kira di mana sungai dan muara, habitat dan sasaran ikan buruan saudara adalah sama saja. Petua muda kalau air pasang rapat ke kawasan reba dan ketika air surut cari lubuk dalam sedikit di mana kawasan ikan berkumpul. Pari lebih tertumpu di kawasan terbuka seperti beting dan pesisir muara.

Kawasan yang terdapat banyak reba, pokok kayu tumbang, muara anak sungai dan teluk dalam adalah lubuk yang patut pemancing mengendap ikan.


Monday, September 20, 2010

Khasiat Ikan Haruan


SEJAK turun-temurun, ikan haruan telah terkenal sebagai sumber makanan dengan pelbagai khasiat kesihatan yang tidak dapat disangkal lagi. Mempunyai nama saintifik Channa striatus, hidupan air tawar itu menjadi makanan yang sangat popular terutama dari kalangan penduduk Asia.

Antara khasiat kesihatannya adalah seperti mampu menyembuhkan luka, mengurangkan kesakitan selepas pembedahan serta baik untuk ibu bersalin.Kandungan asid amino dan lemak daripada ikan itu pula baik untuk memulihkan parut luka dengan lebih cepat serta sesuai merawat gastrik.

Di samping itu, ia turut mengandungi vitamin A yang berupaya meningkatkan daya ingatan, penglihatan, menjadikan kulit lebih halus dan mengandungi bahan anti oksida bagi fungsi melambatkan proses penuaan.Khasiat lainnya adalah seperti asid arasidonik untuk membantu pertumbuhan sel-sel baru serta kolagen bagi pengekalan kulit muda.

Di negara kita, sumber makanan itu kebiasaannya diperolehi dalam bentuk produk pati ikan haruan yang banyak terdapat di pasaran.Namun, bagi sesetengah individu, mereka mungkin sukar untuk meminum pati tersebut kerana rasa dan baunya yang kurang digemari.Justeru, bagi memastikan khasiat ikan itu dapat dinikmati dengan cara yang lebih mudah, ia kini dihasilkan dalam bentuk sup segera.

Dikenali sebagai Sup Haruan Kolagen, produk berkenaan telah dihasilkan oleh sebuah syarikat perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan, Bio Haruantech (M) Sdn. Bhd.Menurut Pengarah Urusannya, Mohammad Munir Lukman Hakim, idea menghasilkan sup tersebut timbul setelah mendapati pesakit-pesakit di hospital dan klinik sukar untuk memperolehi ikan haruan.

''Bermula daripada situ, saya mula mengumpul maklumat dan menjalankan kajian bagaimana penghasilan sup ikan haruan. Ia telah mengambil masa selama tiga tahun.''Selain berkhasiat, sup ini juga mempunyai rasa yang sangat sedap dan sesuai dijadikan makanan harian,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.Memasuki pasaran pada tahun 2007, produk yang dipaketkan di dalam tin itu pada mulanya kurang mendapat sambutan.

Mencari kaedah penyelesaian, Mohammad Munir kemudiannya meneruskan kajian selama lebih kurang setahun lagi untuk memperbaiki mutu produk tersebut.Akhirnya, beliau telah berjaya menghasilkan sup dalam bentuk serbuk dengan kandungan kolagen yang tinggi dan tidak berbau.

Bagi menjamin khasiat sup ini, ia diadun bersama rempah ratus asli yang baik untuk kesihatan seperti kulit kayu manis, lada hitam dan sebagainya.Kandungannya juga semulajadi tanpa menggunakan bahan pengawet atau pewarna selain mempunyai lebih 50 peratus isi ikan.Ini kerana, di dalam isi ikan tersebut terdapat sejenis bahan yang diberi nama Glycine iaitu sebahagian daripada komponen kolagen dalam sel kulit manusia.

Bahan ini akan bertindak mempercepatkan percantuman kulit yang terluka dan seterusnya membentuk sel baru.Bercerita mengenai sumber ikan mentah, beliau memperolehinya daripada beberapa kolam ternakan yang diselia di bawah Jabatan Perikanan.''Sebelum dijadikan ramuan dalam penyediaan sup, ikan-ikan ini akan menjalani ujian DNA dan ujian mikro terlebih dahulu bagi mengenalpasti nutriennya.

''Saya mendapat bimbingan daripada Jabatan Perikanan dan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam proses menjalankan ujian ini,'' jelasnya.Cara penyediaan sup itu amat mudah di mana pengguna hanya perlu melarutkan serbuknya di dalam 200 mililiter air dan ia boleh dimakan terus.Ia dijual dengan harga RM16 sekotak di mana setiap kotak mengandungi tiga paket sup.

''Sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Setakat ini kilang kami di Rawang telah mengeluarkan sebanyak 20,000 hingga 30,000 kotak untuk memenuhi permintaan pasaran'' jelasnya.Dari segi pasaran, beliau ketika ini sedang berusaha membawa masuk produknya untuk dijual di pasar raya besar.Pada masa akan datang, beliau turut bercadang meneruskan kajian dalam penghasilan produk sup belut pula untuk khasiat kesihatan lelaki.



Khasiat Ikan Kod


Ikan kod merupakan sumber protein terbaik untuk dinikmati. Apa yang menarik, selain membekalkan kandungan protein yang tinggi, ikan kod juga rendah kalori (4 auns hidangan ikan kod membekalkan kira-kira 52.1 peratus protein dengan hanya 119 kalori).

Ia juga membekalkan beberapa nutrisi penting yang lain dan amat bermanfaat kepada kesihatan kardiovaskular anda. Kajian di Amerika menunjukkan bahawa mereka yang makan ikan kod dengan kerap akan membantu mengurangkan risiko diserang sakit jantung. Ikan kod kaya dengan kandungan asid omega 3, vitamin B12 dan vitamin B6 yang diperlukan bagi memastikan kadar homocysteine dalam tubuh berada pada tahap rendah. Ini penting kerana jika kadar homocysteine dalam tubuh tinggi, ia akan memberikan tekanan pada salur darah dan ini akan menyumbang pada serangan sakit jantung

Khasiat Ikan

Statistik menunjukkan sehingga tahun 1995, kadar pengambilan ikan di Malaysia ialah sebanyak 39.1 peratus dan dijangka meningkat 56 peratus menjelang 2010. Ikan membekalkan di antara 60 hingga 70 peratus protein haiwan kepada manusia.

Protein penting untuk pertumbuhan dan perkembangan semua anggota badan dan berfungsi membina tisu, kulit, rambut, kuku dan organ dalaman termasuklah otak serta jantung. Protein digunakan sebagai sumber haba dan tenaga sekiranya bekalan lemak serta karbohidrat dalam badan tidak mencukupi.

Kandungan protein dalam isi ikan berbeza mengikut corak pemakanan, jantina, umur, kandungan lemak dan air di persekitaran. Ikan yang kurang berlemak mengandungi protein lebih tinggi berbanding ikan berlemak dan ia menyimpan lemak di dalam hati. Ikan siakap, kerisi, merah, kerapu dan jenahak dikategorikan sebagai kurang berlemak. Ikan yang berlemak pula ialah ikan yang menyimpan lemak dalam tisu badan yang lain. Ikan pelagik seperti kembung, cencaru, bawal, tenggiri dan selar kuning adalah antara jenis ikan berlemak.

Ikan Emas Lutsinar


TOKYO – Para penyelidik Jepun berjaya menghasilkan ikan emas lutsinar yang membolehkan orang ramai melihat hati haiwan itu.“Anda boleh melihat hati dan organ-organ lain secara langsung kerana sisik dan kulit ikan ini tiada pigmen,” kata Profesor Madya Yutaka Tamaru dari Jabatan Sains Hidupan, Universiti Mie.“Anda tidak perlu membedah ikan itu (untuk melihat isinya). Anda boleh melihat otak kecil di atas mata ikan tersebut,” jelasnya.


Sekumpulan penyelidik Universiti Mie dan Universiti Nagoya di tengah Jepun melakukan kajian selama dua tahun untuk menghasilkan ikan itu.Ikan itu dijangka mampu hidup sehingga 20 tahun dan membesar sepanjang 25 sentimeter dengan berat lebih dua kilogram.Ia dihasilkan dengan memilih ikan emas mutan yang mempunyai kulit pucat dan membiaknya bersama-sama.

Ikan Keli Gergasi


BARCELONA – Seorang nenek berusia 54 tahun dari Britain dan buta sebelah matanya, Sheila Penfold mencipta rekod untuk wanita apabila dia berjaya memancing seekor ikan keli terbesar seberat 97 kilogram (kg) di Sepanyol,

Dia yang dibantu suaminya, Alan, dan anaknya, Arthur memancing ikan, mengambil masa selama 30 minit bergelut untuk menariknya ke atas tebing semasa dia memancing di Sungai Ebro dekat sini baru-baru ini.

Jawatankuasa Rekod Perikanan Britain mengesahkan, tangkapan itu adalah yang paling besar dilakukan oleh seorang wanita Britain mengatasi rekod sebelum ini oleh Bev Street, 46, yang pernah memancing ikan keli dengan berat 32kg.

Ia juga merupakan rekod bagi wanita yang memancing ikan di Sepanyol namun keluarga itu melepaskan ikan tersebut kembali ke dalam sungai.

Keluarga tersebut yang tinggal di Wandsworth, London mendakwa ikan keli itu berukuran 2.48 meter panjang dan mereka memancing dari tebing sungai dengan menggunakan tiga batang joran yang berasingan


Ikan Kap Gergasi

PARIS - Seorang pemancing, Raphael Biagini berjaya menangkap seekor ikan kap koi gergasi berwarna keemasan seberat 13.60 kilogram di sebuah tasik di selatan Perancis, lapor sebuah akhbar semalam.Ikan yang seberat budak perempuan berumur tiga tahun itu dianggap antara yang paling besar pernah ditangkap pemancing.Biagini bertarung selama sepuluh minit dengan ikan itu sebelum ia dapat ditarik keluar dari tasik berkenaan baru-baru ini.

Detik-detik yang mengembirakan buat pemancing itu berlaku selepas beberapa rakan memberitahunya bahawa mereka telah menghabiskan masa selama enam tahun sebelum ini untuk cuba menangkap ikan tersebut."Ikan itu merupakan haiwan yang kuat melawan tetapi ia gagal untuk menang (pertarungan tersebut)," kata Biagini.Selepas bergambar dengan ikan itu, Biagini melepaskannya semula ke tasik berkenaan.

Friday, August 20, 2010

Cara ikat perambut dawai dengan tangsi




Sila rujuk kepada ikatan Albright berikut. Untuk tangsi, ia adalah warna merah dan warna oren pula mewakili perambut dawai. Lilit tangsi pada dawai dengan kemas dan ketat sebanyak 10 hingga 12 lilitan sebelum puncanya dimatikan pada hujung perambut dawai seperti gambar 3. Kemudian tarik tangsi sehingga ketat dan rapat ke hujung perambut dawai. Untuk kemasan terakhir potong kedua lebihan tangsi dan perambut dawai seperti gambar di bawah sekali. Ikatan ini banyak saya lihat digunakan oleh tekong-tekong tempatan ketika menyambung perambut tangsi dengan perambut dawai.


Teknik Pancing Siakap Kolam


Kalau disebut ikan kolam, ia ikan peliharaan sejak kecil. Jadi, ikan peliharaan biasanya diberi makan dedak dan ikan hancur. Namun sifat semula jadi ikan ialah ia dapat menilai makanan dan bijak membuat pilihan apabila bebas dari sangkar. Tiga jenis umpan terbaik untuk siakap kolam ialah udang, belanak dan beliak mata. Udang dan belanak hidup lebih mujarab manakala beliak mata sesuai dihiris.

Perambut 50 paun sama ada jenis biasa atau florokarbon biasa digunakan. Jika perambut terlalu kasar maka renangan ikan dan udang hidup tidak begitu menarik. Mata kail biasa digunakan ialah saiz 3/0 hingga 5/0 (Gamakatsu, Owner, Mustard) atau bernombor 8 untuk mata kail jenis Berkley, Marotu dan Shino.

Tiga teknik utama pemancing kolam iaitu menggunakan pelampung, teknik dasar tanpa ladung dan teknik ‘casting’ udang pasar (kopek kulit). Pemilihan teknik ini berpandukan kepada potensi semasa. Lihat sekeliling pemancing lain yang dapat ikan dan rujuk teknik yang efektif ketika itu. Ini kerana sifat ikan kolam kadang kala meronda dasar dan kadang kala berada di pertengahan kolam.

Panduan Memancing Udang Galah


Ketika arus deras, cari kawasan olak atau reba di mana airnya tenang. Ketika arus deras, udang galah lebih gemar menyusup di bawah timbunan reba kayu dan celah reba pokok nipah. Memancing di kawasan ini ketika arus deras boleh membuahkan hasil.

Apabila air bergerak pasang, udang mula keluar berkeliaran di serata kawasan luar reba. Lontar umpan di kawasan luar dan tengok lubuk mana yang cepat umpan digonggong sang udang galah. Ketika bunga pasang udang galah lebih aktif dan mudah dipancing berbanding ketika arus laju.


Waktu Ikan Air Tawar Aktif


Kebanyakan ikan sungai aktif awal pagi, lewat petang dan malam. Ketika cuaca terang dan panas, ikan sungai lebih gemar berselindung di celah reba dan batu. Antara umpan yang sesuai untuk ikan sungai air tawar ialah udang, sawit, buah ara, cengkerik, cacing, belalang, anak ikan seluang, cebisan roti, dedak khas dan macam-macam lagi buah hutan dan serangga yang boleh dijadikan umpan bergantung kepada spesies yang diburu. Kedua-dua teknik dasar dan pelampung boleh digunakan. Fakta menunjukkan teknik dasar menjadi pilihan kerana sungai air tawar adalah cetek. Jadi tiada masalah untuk memancing ikan permukaan dan dasar dengan umpan dilabuhkan terus ke dasar.


Saturday, June 19, 2010

Udang Pasar Untuk Siakap

UDANG segar dari pasar yang dibuang kulit sering dijadikan umpan untuk mengilat siakap di kolam komersial. Bagaimanapun, ia sering dilihat berpusing setiap kali dikarau di dasar kolam. Keadaan ini kerana pergerakan udang membengkok ‘U’ yang apabila tali dikarau menyaksikan ia tidak stabil atau gagal bergerak seperti udang hidup.

Petuanya, ambil udang yang dibuang kulit berkenaan dan dibalut lurus dengan kertas surat khabar setiap disimpan dalam peti sejuk, dua hingga tiga jam sebelum turun memancing.

Ketika hendak memancing, udang perlu dicangkuk pada bahagian badan dengan mata kail. Apabila membuat balingan dan karauan, udang akan menjadi lurus dan tidak berpusing lagi.




sumber: Joran BH


.

Sunday, May 23, 2010

PERIHAL BATU LADUNG

Batu ladung lazimnya diperbuat daripada timah kerana ciri utama timah ialah ketumpatan tinggi dan menjadikannya berat, suhu lebur rendah menjadikan kos pembuatan murah, tahan karat dan tahan hakisan air laut. Ia juga logam yang paling banyak dikeluarkan oleh negara kita. Dua jenis batu ladung utama yang digunakan pemancing ialah ladung hidup dan ladung mati.

Ladung hidup memberi maksud ia membenarkan tangsi bergerak bebas melaluinya tanpa diikat. Fungsi utama ialah memberi ruang kepada tali melaluinya tanpa perlu mengheret ladung. Di sini ladung akan kekal pada posisi asal tanpa bergerak ketika umpan dilarikan ikan. Ramai pemancing berpendapat ikan lebih teruja apabila umpan kelihatan seperti bebas. Maknanya apabila umpan disambar, ikan tidak terasa berat dan ia tidak mudah meluahkan kembali umpan berkenaan.

Ketika ini pemancing akan memberi tali kepada ikan yang biasanya mengambil masa ketika proses mengesan, mengonggong dan seterusnya peringkat menelan umpan. Sesetengah ikan akan memuntahkan kembali umpan apabila terasa ‘berat’ dan umpan tersangkut-sangkut pergerakannya. Jenis ladung hidup yang popular ialah ladung biji kana dan ladung bulat. Ladung mati pula ialah ladung yang diikat tangsi. Kalau ladung hidup tangsi hanya lalu didalamnya, ladung mati pula tangsi dimatikan pada ladung itu sendiri termasuk menggunakan kili atau klip.

Ladung jenis ini lebih popular dikalangan pemancing laut dalam dan teknik pancing apollo. Sesuai untuk kawasan berarus deras di mana ladung bertindak sebagai penahan umpan kecuali apabila umpan dilarikan ikan. Namun begitu, kedua-dua jenis ladung boleh dijadikan dwi fungsi bergantung kepada kreativiti dan teknik yang diguna pakai pemancing. Dengan kata lain, ladung mati boleh dijadikan ladung hidup menggunakan aksesori tambahan seperti tanduk yang boleh bergerak.



.