Friday, August 20, 2010

Cara ikat perambut dawai dengan tangsi




Sila rujuk kepada ikatan Albright berikut. Untuk tangsi, ia adalah warna merah dan warna oren pula mewakili perambut dawai. Lilit tangsi pada dawai dengan kemas dan ketat sebanyak 10 hingga 12 lilitan sebelum puncanya dimatikan pada hujung perambut dawai seperti gambar 3. Kemudian tarik tangsi sehingga ketat dan rapat ke hujung perambut dawai. Untuk kemasan terakhir potong kedua lebihan tangsi dan perambut dawai seperti gambar di bawah sekali. Ikatan ini banyak saya lihat digunakan oleh tekong-tekong tempatan ketika menyambung perambut tangsi dengan perambut dawai.


Teknik Pancing Siakap Kolam


Kalau disebut ikan kolam, ia ikan peliharaan sejak kecil. Jadi, ikan peliharaan biasanya diberi makan dedak dan ikan hancur. Namun sifat semula jadi ikan ialah ia dapat menilai makanan dan bijak membuat pilihan apabila bebas dari sangkar. Tiga jenis umpan terbaik untuk siakap kolam ialah udang, belanak dan beliak mata. Udang dan belanak hidup lebih mujarab manakala beliak mata sesuai dihiris.

Perambut 50 paun sama ada jenis biasa atau florokarbon biasa digunakan. Jika perambut terlalu kasar maka renangan ikan dan udang hidup tidak begitu menarik. Mata kail biasa digunakan ialah saiz 3/0 hingga 5/0 (Gamakatsu, Owner, Mustard) atau bernombor 8 untuk mata kail jenis Berkley, Marotu dan Shino.

Tiga teknik utama pemancing kolam iaitu menggunakan pelampung, teknik dasar tanpa ladung dan teknik ‘casting’ udang pasar (kopek kulit). Pemilihan teknik ini berpandukan kepada potensi semasa. Lihat sekeliling pemancing lain yang dapat ikan dan rujuk teknik yang efektif ketika itu. Ini kerana sifat ikan kolam kadang kala meronda dasar dan kadang kala berada di pertengahan kolam.

Panduan Memancing Udang Galah


Ketika arus deras, cari kawasan olak atau reba di mana airnya tenang. Ketika arus deras, udang galah lebih gemar menyusup di bawah timbunan reba kayu dan celah reba pokok nipah. Memancing di kawasan ini ketika arus deras boleh membuahkan hasil.

Apabila air bergerak pasang, udang mula keluar berkeliaran di serata kawasan luar reba. Lontar umpan di kawasan luar dan tengok lubuk mana yang cepat umpan digonggong sang udang galah. Ketika bunga pasang udang galah lebih aktif dan mudah dipancing berbanding ketika arus laju.


Waktu Ikan Air Tawar Aktif


Kebanyakan ikan sungai aktif awal pagi, lewat petang dan malam. Ketika cuaca terang dan panas, ikan sungai lebih gemar berselindung di celah reba dan batu. Antara umpan yang sesuai untuk ikan sungai air tawar ialah udang, sawit, buah ara, cengkerik, cacing, belalang, anak ikan seluang, cebisan roti, dedak khas dan macam-macam lagi buah hutan dan serangga yang boleh dijadikan umpan bergantung kepada spesies yang diburu. Kedua-dua teknik dasar dan pelampung boleh digunakan. Fakta menunjukkan teknik dasar menjadi pilihan kerana sungai air tawar adalah cetek. Jadi tiada masalah untuk memancing ikan permukaan dan dasar dengan umpan dilabuhkan terus ke dasar.