Friday, August 20, 2010

Teknik Pancing Siakap Kolam


Kalau disebut ikan kolam, ia ikan peliharaan sejak kecil. Jadi, ikan peliharaan biasanya diberi makan dedak dan ikan hancur. Namun sifat semula jadi ikan ialah ia dapat menilai makanan dan bijak membuat pilihan apabila bebas dari sangkar. Tiga jenis umpan terbaik untuk siakap kolam ialah udang, belanak dan beliak mata. Udang dan belanak hidup lebih mujarab manakala beliak mata sesuai dihiris.

Perambut 50 paun sama ada jenis biasa atau florokarbon biasa digunakan. Jika perambut terlalu kasar maka renangan ikan dan udang hidup tidak begitu menarik. Mata kail biasa digunakan ialah saiz 3/0 hingga 5/0 (Gamakatsu, Owner, Mustard) atau bernombor 8 untuk mata kail jenis Berkley, Marotu dan Shino.

Tiga teknik utama pemancing kolam iaitu menggunakan pelampung, teknik dasar tanpa ladung dan teknik ‘casting’ udang pasar (kopek kulit). Pemilihan teknik ini berpandukan kepada potensi semasa. Lihat sekeliling pemancing lain yang dapat ikan dan rujuk teknik yang efektif ketika itu. Ini kerana sifat ikan kolam kadang kala meronda dasar dan kadang kala berada di pertengahan kolam.

Panduan Memancing Udang Galah


Ketika arus deras, cari kawasan olak atau reba di mana airnya tenang. Ketika arus deras, udang galah lebih gemar menyusup di bawah timbunan reba kayu dan celah reba pokok nipah. Memancing di kawasan ini ketika arus deras boleh membuahkan hasil.

Apabila air bergerak pasang, udang mula keluar berkeliaran di serata kawasan luar reba. Lontar umpan di kawasan luar dan tengok lubuk mana yang cepat umpan digonggong sang udang galah. Ketika bunga pasang udang galah lebih aktif dan mudah dipancing berbanding ketika arus laju.


Waktu Ikan Air Tawar Aktif


Kebanyakan ikan sungai aktif awal pagi, lewat petang dan malam. Ketika cuaca terang dan panas, ikan sungai lebih gemar berselindung di celah reba dan batu. Antara umpan yang sesuai untuk ikan sungai air tawar ialah udang, sawit, buah ara, cengkerik, cacing, belalang, anak ikan seluang, cebisan roti, dedak khas dan macam-macam lagi buah hutan dan serangga yang boleh dijadikan umpan bergantung kepada spesies yang diburu. Kedua-dua teknik dasar dan pelampung boleh digunakan. Fakta menunjukkan teknik dasar menjadi pilihan kerana sungai air tawar adalah cetek. Jadi tiada masalah untuk memancing ikan permukaan dan dasar dengan umpan dilabuhkan terus ke dasar.


Saturday, June 19, 2010

Udang Pasar Untuk Siakap

UDANG segar dari pasar yang dibuang kulit sering dijadikan umpan untuk mengilat siakap di kolam komersial. Bagaimanapun, ia sering dilihat berpusing setiap kali dikarau di dasar kolam. Keadaan ini kerana pergerakan udang membengkok ‘U’ yang apabila tali dikarau menyaksikan ia tidak stabil atau gagal bergerak seperti udang hidup.

Petuanya, ambil udang yang dibuang kulit berkenaan dan dibalut lurus dengan kertas surat khabar setiap disimpan dalam peti sejuk, dua hingga tiga jam sebelum turun memancing.

Ketika hendak memancing, udang perlu dicangkuk pada bahagian badan dengan mata kail. Apabila membuat balingan dan karauan, udang akan menjadi lurus dan tidak berpusing lagi.




sumber: Joran BH


.

Sunday, May 23, 2010

PERIHAL BATU LADUNG

Batu ladung lazimnya diperbuat daripada timah kerana ciri utama timah ialah ketumpatan tinggi dan menjadikannya berat, suhu lebur rendah menjadikan kos pembuatan murah, tahan karat dan tahan hakisan air laut. Ia juga logam yang paling banyak dikeluarkan oleh negara kita. Dua jenis batu ladung utama yang digunakan pemancing ialah ladung hidup dan ladung mati.

Ladung hidup memberi maksud ia membenarkan tangsi bergerak bebas melaluinya tanpa diikat. Fungsi utama ialah memberi ruang kepada tali melaluinya tanpa perlu mengheret ladung. Di sini ladung akan kekal pada posisi asal tanpa bergerak ketika umpan dilarikan ikan. Ramai pemancing berpendapat ikan lebih teruja apabila umpan kelihatan seperti bebas. Maknanya apabila umpan disambar, ikan tidak terasa berat dan ia tidak mudah meluahkan kembali umpan berkenaan.

Ketika ini pemancing akan memberi tali kepada ikan yang biasanya mengambil masa ketika proses mengesan, mengonggong dan seterusnya peringkat menelan umpan. Sesetengah ikan akan memuntahkan kembali umpan apabila terasa ‘berat’ dan umpan tersangkut-sangkut pergerakannya. Jenis ladung hidup yang popular ialah ladung biji kana dan ladung bulat. Ladung mati pula ialah ladung yang diikat tangsi. Kalau ladung hidup tangsi hanya lalu didalamnya, ladung mati pula tangsi dimatikan pada ladung itu sendiri termasuk menggunakan kili atau klip.

Ladung jenis ini lebih popular dikalangan pemancing laut dalam dan teknik pancing apollo. Sesuai untuk kawasan berarus deras di mana ladung bertindak sebagai penahan umpan kecuali apabila umpan dilarikan ikan. Namun begitu, kedua-dua jenis ladung boleh dijadikan dwi fungsi bergantung kepada kreativiti dan teknik yang diguna pakai pemancing. Dengan kata lain, ladung mati boleh dijadikan ladung hidup menggunakan aksesori tambahan seperti tanduk yang boleh bergerak.



.

Friday, December 18, 2009

Penjagaan Tali Pancing

Pendedahan tali tangsi kepada sinar ultra ungu matahari dan kepanasan yang tinggi berupaya memutuskan struktur kimia bahan dalam tali berkenaan sehingga boleh membawa kerosakan. Contohnya, membiarkan tali dalam kenderaan serta pendedahan terus kepada cahaya matahari akan memusnahkan ketahanan tali dan ciri-ciri yang dimilikinya dalam masa beberapa jam.

Justeru, sebaik-baiknya simpan peralatan pancing anda di dalam but kenderaan dan menutupnya dengan kain cerah.Bahan-bahan berasaskan petroleum seperti minyak pelincir atau minyak tanah juga boleh merosakkan. Jadi, jangan simpan tali berdekatan dengan bahan berkenaan.
.
Sebenarnya pengawasan dan penukaran tali tangsi sebaik-baiknya dilakukan selepas balik daripada sesuatu trip memancing. Biarpun ia mengambil masa dan kos namun hasil anda pasti berbaloi bagi setiap trip. Tali tangsi walaupun tidak karat atau serap air tetapi gelungannya boleh mengeringkan larutan air laut dan akhir terbentuk lapisan garam.
.
Lapisan garam ini apabila disimpan lama akan menjadi keras dan membuka ruang pula untuk mencalarkan tangsi ketika balingan. Kebanyakan tali tangsi disalut dengan bahan pengilap pintalan yang kelihatan berkilau yang biasanya disalut pada darjah yang berbeza bagi melindungi tali ketika proses pengangkutan dan pancingan. Jika anda sedar, biasanya terdapat serbuk berdebu pada tangan atau cincin (gegelang) selepas memutar tali, itu adalah bahan pengilap pintalan tali tangsi.
.
Apabila bahan pengilap ini sudah habis terhakis maka tali tangsi beransur-ansur pudar dan lebih cenderung untuk rosak. Jika tali anda kelihatan pudar berbanding tali baru jenis yang sama maka jadikanlah ia sebagai peringatan atau amaran bahawa anda perlu menukarnya. Atau sekurang-kurangnya keluarkan tali pada bahagian yang pudar dan buang.Walaupun jarang berlakunya takik dan hakisan, tali berpintal juga boleh menyebabkan kita pening kepala.
.
Masalah ini boleh menyebabkan aktiviti memancing terganggu dengan lontaran yang tidak tepat atau berbelit dan putus pada cincin joran. Kekili melintang (spinning reel) amat terkenal dengan masalah ini terutama jika cili tidak digunakan. Jika berlaku pintalan, keluarkan lebih banyak tali daripada yang biasa anda gunakan dan buang.
.
Jangan biarkan ia menjadi-jadi kerana semakin banyak pintalan berlaku, semakin jauh pintalan tersebut bergerak ke dalam gelendung, semakin mudah tangsi berbelit dan menjadi ‘mi’ satu fenomena yang perlu dielakkan jika mahu menggunakan tangsi dengan lebih lama.
.

Teknik Pancing Pari


Tempat yang sering menjadi tumpuan orang ramai untuk mandi manda kurang didiami pari. Pari adalah spesies ikan yang tidak gemar bertembung dengan manusia. Keriuhan orang ramai yang bermain pantai memberi impak kehadiran pari kecuali pantai berkenaan memiliki tarikan yang kuat untuk ikan pari datang bermain di pesisir. Pantainya adalah jenis pasir dan turut bercampur lumpur. Bagi ikan pari kawasan begini adalah sebahagian dari tempat tumpuan mencari sumber makanan.

Pari yang menghampiri kawasan pantai mempunyai satu tujuan iaitu mencari makanan. Kawasan pantai diketahui terdapat beberapa spesies yang berada dalam senarai diet pari iaitu anak ikan bebolos, belacak, gelama, selar, bilis, beliak mata, kasai, tamban dan sebagainya terutama yang sisiknya tidak berduri.
.
Selain itu sumber makanan pantai bagi ikan pari ialah udang, sotong kurita, perumpun dan anak ketam. Memandangkan kawasan pantai turut menjadi tumpuan anak ikan bermain dan mencari makanan, penggunaan umpan yang betul dapat menjamin kejayaan. Kalau menggunakan umpan hirisan ikan mati umpamanya, ia mudah hancur dan habis dikerjakan ikan kecil termasuk ketam sebelum dijumpai pari. Apabila pari menjumpai umpan yang sudah hancur ia tidak berminat dengan umpan berkenaan.
.
Disarankan pemancing menggunakan umpan hidup yang kurang diganggu getuan ikan kecil seperti anak bebolos, anak belacak atau jajang (sejenis belacak panjang mendiami muara air payau), anak gelama, udang hidup sederhana besar.
.
Yang penting umpan yang digunakan kurang digetu ikan lain. Waktu malam lebih baik kerana ikan pari akan menghampiri pesisir pantai waktu malam. Rumusannya, masa terbaik adalah ketika air pasang penuh pada sebelah malam.
.