Friday, December 18, 2009

Penjagaan Tali Pancing

Pendedahan tali tangsi kepada sinar ultra ungu matahari dan kepanasan yang tinggi berupaya memutuskan struktur kimia bahan dalam tali berkenaan sehingga boleh membawa kerosakan. Contohnya, membiarkan tali dalam kenderaan serta pendedahan terus kepada cahaya matahari akan memusnahkan ketahanan tali dan ciri-ciri yang dimilikinya dalam masa beberapa jam.

Justeru, sebaik-baiknya simpan peralatan pancing anda di dalam but kenderaan dan menutupnya dengan kain cerah.Bahan-bahan berasaskan petroleum seperti minyak pelincir atau minyak tanah juga boleh merosakkan. Jadi, jangan simpan tali berdekatan dengan bahan berkenaan.
.
Sebenarnya pengawasan dan penukaran tali tangsi sebaik-baiknya dilakukan selepas balik daripada sesuatu trip memancing. Biarpun ia mengambil masa dan kos namun hasil anda pasti berbaloi bagi setiap trip. Tali tangsi walaupun tidak karat atau serap air tetapi gelungannya boleh mengeringkan larutan air laut dan akhir terbentuk lapisan garam.
.
Lapisan garam ini apabila disimpan lama akan menjadi keras dan membuka ruang pula untuk mencalarkan tangsi ketika balingan. Kebanyakan tali tangsi disalut dengan bahan pengilap pintalan yang kelihatan berkilau yang biasanya disalut pada darjah yang berbeza bagi melindungi tali ketika proses pengangkutan dan pancingan. Jika anda sedar, biasanya terdapat serbuk berdebu pada tangan atau cincin (gegelang) selepas memutar tali, itu adalah bahan pengilap pintalan tali tangsi.
.
Apabila bahan pengilap ini sudah habis terhakis maka tali tangsi beransur-ansur pudar dan lebih cenderung untuk rosak. Jika tali anda kelihatan pudar berbanding tali baru jenis yang sama maka jadikanlah ia sebagai peringatan atau amaran bahawa anda perlu menukarnya. Atau sekurang-kurangnya keluarkan tali pada bahagian yang pudar dan buang.Walaupun jarang berlakunya takik dan hakisan, tali berpintal juga boleh menyebabkan kita pening kepala.
.
Masalah ini boleh menyebabkan aktiviti memancing terganggu dengan lontaran yang tidak tepat atau berbelit dan putus pada cincin joran. Kekili melintang (spinning reel) amat terkenal dengan masalah ini terutama jika cili tidak digunakan. Jika berlaku pintalan, keluarkan lebih banyak tali daripada yang biasa anda gunakan dan buang.
.
Jangan biarkan ia menjadi-jadi kerana semakin banyak pintalan berlaku, semakin jauh pintalan tersebut bergerak ke dalam gelendung, semakin mudah tangsi berbelit dan menjadi ‘mi’ satu fenomena yang perlu dielakkan jika mahu menggunakan tangsi dengan lebih lama.
.

Teknik Pancing Pari


Tempat yang sering menjadi tumpuan orang ramai untuk mandi manda kurang didiami pari. Pari adalah spesies ikan yang tidak gemar bertembung dengan manusia. Keriuhan orang ramai yang bermain pantai memberi impak kehadiran pari kecuali pantai berkenaan memiliki tarikan yang kuat untuk ikan pari datang bermain di pesisir. Pantainya adalah jenis pasir dan turut bercampur lumpur. Bagi ikan pari kawasan begini adalah sebahagian dari tempat tumpuan mencari sumber makanan.

Pari yang menghampiri kawasan pantai mempunyai satu tujuan iaitu mencari makanan. Kawasan pantai diketahui terdapat beberapa spesies yang berada dalam senarai diet pari iaitu anak ikan bebolos, belacak, gelama, selar, bilis, beliak mata, kasai, tamban dan sebagainya terutama yang sisiknya tidak berduri.
.
Selain itu sumber makanan pantai bagi ikan pari ialah udang, sotong kurita, perumpun dan anak ketam. Memandangkan kawasan pantai turut menjadi tumpuan anak ikan bermain dan mencari makanan, penggunaan umpan yang betul dapat menjamin kejayaan. Kalau menggunakan umpan hirisan ikan mati umpamanya, ia mudah hancur dan habis dikerjakan ikan kecil termasuk ketam sebelum dijumpai pari. Apabila pari menjumpai umpan yang sudah hancur ia tidak berminat dengan umpan berkenaan.
.
Disarankan pemancing menggunakan umpan hidup yang kurang diganggu getuan ikan kecil seperti anak bebolos, anak belacak atau jajang (sejenis belacak panjang mendiami muara air payau), anak gelama, udang hidup sederhana besar.
.
Yang penting umpan yang digunakan kurang digetu ikan lain. Waktu malam lebih baik kerana ikan pari akan menghampiri pesisir pantai waktu malam. Rumusannya, masa terbaik adalah ketika air pasang penuh pada sebelah malam.
.

Perumpun Umpan Mujarab


UMPAN perumpun atau umpun-umpun cukup popular bagi semua pemancing yang biasa menggunakannya kerana kemampuannya menjerat pelbagai spesies ikan dan udang sama ada di air masin atau tawar di perairan negara kita ini.

Namun bagi pemancing baru mereka mungkin belum tahu akan ‘kuasa saktinya’ apabila melihat spesies persis cacing yang berwarna merah muda ini menggeletek geli apabila disentuhnya. Justeru, inilah masanya untuk mencungkil serba sedikit maklumat berkaitan umpan semula jadi anugerah alam ini.

Perumpun atau cacing air masin adalah dari kumpulan haiwan invertebrat yang juga sebenarnya hampir sama dari jenis saudaranya, iaitu cacing tanah yang terdapat di kebun pisang atau belakang rumah kita. Namun, bentuknya yang lembut dan panjang sehingga mencapai 30 sentimeter serta mempunyai kaki seperti lipan, membuatkan spesies ini berbeza banyak dengan cacing tanah yang sedia ada.

Habitat spesies ini boleh didapati di kawasan berlumpur yang diliputi pokok bakau atau nipah di persisiran pantai dan ianya bersarang di dalam lumpur itu sendiri. Di negara beriklim khatulistiwa ini, terdapat beberapa spesis perumpun yang dijadikan umpan untuk ikan tertentu atau mengikut padang pancingan masing-masing.

Perumpun ini antaranya perumpun pasir, merah dan jangkau.Umpan ini masing-masing dikhaskan, perumpun pasir - ikan bolos, gelama dan sembilan. Jangkau - ikan duri, jenahak, jengah dan gubal dan perumpun merah - udang galah serta ikan baung.

Justeru, cara untuk mencarinya perlu diserahkan kepada mereka yang pakar mengesannya iaitu ketika air surut di kawasan paya bakau di mana sarangnya boleh dikenal pasti melihat timbunan najis tanah atas kawasan yang berlumpur.Sarangnya itu akan dikorek menggunakan cangkul atau penyedok khas sedalam kira-kira satu meter dan kemudian di tarik secara perlahan-lahan bagi mengelakkan badannya terputus.

Untuk menggunakan umpan ini, mata kail bersesuaian dengan saiznya diperlukan dengan mencangkuk perumpun terbabit yang dipotong kira-kira satu hingga dua sentimeter.Petua untuk umpan ini tahan lama janganlah anda memotong di bahagian kepala dulu dan mulakan dari ekornya sedikit demi sedikit dan sekiranya tidak habis digunakan simpanlah dalam bekas asalnya dan letak di tempat yang teduh.

Sekarang ini, umpan perumpun mudah didapati di kedai pancing atau di tepi jalan di lokasi memancing dengan harga antara RM5 sehingga RM6 mengikut isi kandungannya.


.


Katak Minyak Umpan Haruan dan Bujuk.


KATAK minyak yang biasanya ditemui dalam parit atau bawah daun cukup dikagumi kaki mengilat ikan air tawar seperti haruan atau bujuk yang gemar menggunakan umpan ini untuk memburu dua spesies terbabit.Selain mudah didapati, spesies amfibia yang berkaki panjang di belakang dan berkaki pendek di depannya serta berkulit perang muda pada badan dikatakan paling berkesan untuk menjerat ikan terbabit sebagai diet makanan utamanya.Asalnya daripada telur atas permukaan air, katak minyak ini yang juga seperti katak lain akan berkembang menjadi anak berudu kemudian berubah menjadi katak dewasa apabila mencapai tempoh matangnya.

Bergerak secara melompat dari satu tempat ke tempat lain dan menjadikan serangga sebagai makanannya, katak ini gemar menjadikan kawasan tanah lembap sebagai habitatnya untuk berlindung dari musuhnya.Secara amnya, spesies dari famili Anura mudah dikesan apabila mengeluarkan bunyi menguap secara berterusan ketika musim mengawan atau hujan. Di arena memancing, katak minyak bersaiz satu hingga dua sentimeter saja akan digunakan.
.
Caranya, mata kail bersaiz enam atau tujuh dicangkuk pada bahagian duburnya hingga ke dalam perut. Cara berkesan untuk menjerat ikan haruan menggunakan katak ini, adalah gewang jenis perambut getah atau dikenali sebagai ‘janggut’ oleh pemancing tempatan akan dicangkuk pada katak itu.Umpan ini dibaling ke kawasan reba kayu dan selepas itu karauan secara perlahan dilakukan untuk meransang deria bau ikan.
.
Di kedai akuarium, katak banyak dijual dan harganya sekitar 40 sen seekor dan mereka yang ingin mencari sendiri boleh melakukannya dengan menyuluh katak itu di sekitar kawasan padang lembap atau tebing parit, sawah atau sungai.
.
Kini, katak tiruan juga boleh didapati sekitar kedai menjual peralatan memancing dengan pelbagai saiz dan warna. Katak tiruan kurang efektif berbanding katak hidup, ini kerana faktor bau katak hidup dikatakan cepat merangsang spesies haruan untuk memakannya.
.

Kelkatu Umpan Ikan Air Tawar


UMPAN kelkatu (white ant) yang biasanya ditemui selepas hujan ketika waktu senja cukup digemari dikalangan pemancing ikan air tawar seperti talapia, puyu, tengas, lampam dan temakang.Asalnya terbentuk dari serangga anai-anai yang dianggap musuh utama kepada penghuni rumah dan pemilik ladang, saudaranya iaitu kelkatu sangat efektif digunakan untuk umpan ikan air tawar ini.

Ciri-ciri lain pada kelkatu iaitu mempunyai dua bahagian abdomen, sepasang sesungut dan dua pasang sayap berwarna perang cerah seluruhnya, mudah tertanggal apabila terkena air atau ketika jatuh di atas tanah.

Kebiasaannya habitat kelkatu boleh ditemui dalam busut atas tanah atau pokok dan kemudiannya akan terbang mencari kawasan baru untuk membina koloni barunya.Dalam koloni kumpulan ini, terdapat beberapa lapisan atau kasta yang diklasifikasikan sebagai raja, ratu, askar dan pekerja yang mempunyai tanggungjawab penting iaitu membina sarang diperbuat daripada tanah.

Di negara ini, terdapat sekurang-kurangnya 175 spesies dan 42 genera anai-anai. Spesis yang biasa ditemui adalah dalam kumpulan Kalotermitidae, Rhinotermitidae dan Termitidae. Umpan kelkatu mudah dicari apabila menjumpai kumpulan berterbangan berhampiran cahaya lampu rumah atau bangunan.

Cara untuk menangkapnya adalah mudah dengan mengutip serangga ini yang terjatuh berhampiran kawasan lampu tadi selepas sayapnya gugur selepas itu.Dalam arena memancing, teknik pancing menggunakan joran teleskopik sangat berkesan dengan menggunakan umpan ini. Mata kail kecil bersaiz tujuh yang dicangkukkan dari bahagian abdomen belakang hingga kepalanya.



.


Wednesday, December 16, 2009

Nasib Udang Galah Sungai Kelantan

Musim udang galah telah tiba. Saban tahun apabila berakhirnya musim banjir dan diikuti dengan cuaca panas, maka menjelmalah musim yang amat dinantikan oleh kaki pancing udang galah. Walaupun udang galah boleh dipancing sepanjang tahun, namun ada ketikanya udang galah muncul dalam jumlah yang banyak sehingga kaki pancing tak senang duduk. Ada juga ketika udang galah langsung tak muncul-muncul. Ini kerana kemunculan udang galah berkaitan dengan keadaan air dan cuaca.

Bagi pemancing di sepanjang Sungai Kelantan, selepas musim banjir yang diikuti dengan panas yang memanjang amat ditunggu-tunggu. Keadaan air sungai yang sedikit jernih pasti menceriakan mereka. Bukan selalu air sungai Kelantan jernih. Sepanjang tahun 2009, asyik keruh tak jernih-jernih. Harap-harap tahun 2010 dapat menceriakan saya dan kaki udang galah yang lain. Entah apa nak jadi ................ dengan sungai Kelantan yang sememang dah mengalir sebati dengan darah saya.

Apa tidaknya, saya yang anak jati Kampung Pasir Pekan Hilir membesar bersama tebing sungai Kelantan yang saban tahun semakin lebar akibat hakisan. Apabila lihat keadaan sungai Kelate kini amat menyentuh perasaan saya.

Kepada kaki tuba udang galah yang tak reti-reti nak sedar, harap tahun ini tabiat buruk mereka hilang lenyap ditelan lumpur sungai Klate selepas banjir baru-baru ini. Insaflah wahai kaki pancing bahawa membunuh makhluk Allah sesuka hati juga berdosa besar. Kamu juga telah menanggung dosa untuk beribu-ribu anak udang yang ditinggalkan busuk di gigi sungai.

Dah lah sungai dicemari dengan pelbagai aktiviti yang merosakkan bumi Allah yang dikongsi bersama termasuklah kaki pancing. Orang ramai duk kutuk kaki pancing yang sememangnya pencinta alam tapi mereka diam membisu dengan penjenayah alam sekitar. Sedarlah semua.
Kembalikan hak semua orang termasuk hak kaki pancing dan penghuni lubuk sungai Kelantan yang amat kita cintai.

Mudah-mudahan tahun 2010 menjanjikan sesuatu yang dapat membuat kaki pancing udang galah tersenyum. Sama-samalah kita semarakkan riadah pancing dan sama-samalah kita menjaga sungai Klate kita.


.

Perambut dan Mata Kail Udang Galah

Perambut udang galah kebiasaannya ialah menggunakan tangsi 6 paun hingga 12 paun. Ini sudah memadai dengan berat udang itu sendiri. Kekuatan 12 paun boleh menampung dan mengangkat beban maksimum 5.5 kilogram sudah terlalu besar untuk udang galah sungai yang purata 50 gram hingga 500 gram. Panjang perambut seeloknya 15 sentimeter atau lebih kurang sejengkal jari orang dewasa. Jenis tangsi biarlah yang lembut supaya udang galah tidak begitu 'terasa' beban ketika mengunyah umpan.

Mata kail udang banyak jenis dan saiz mengikut tempat, jenis lapangan pancing dan saiz udang. Saya biasanya menggunakan mata kail saiz 2 atau 3 dari jenama Coral dan The Anglar. Mata kail ini yang halus, kuat dan tajam sangat ampuh di kala memburu udang galah.

Namun begitu, terpulang kepada pemancing yang mana satu jadi pilihan. Kalau tidak pasti tanyalah kepada kaki udang galah yang berpengalaman. Selamat Memancing Udang Galah.

Musim Udang Galah

Memancing udang galah tiada musim tertentu sama ada di kawasan hulu sungai dan pedalaman termasuk lombong, tasik dan kolam. Bagaimanapun musim kering (tiada hujan sebelumnya) adalah masa terbaik memancing udang galah. Selain daripada itu waktu malam lebih mudah mengendap udang galah berbanding siang kerana kawasan persekitaran air jernih dan udang galah jarang keluar merayau siang hari bagi mengelak diterkam pemangsa.

Perlu diingatkan jika lokasi yang dikunjungi jauh dari kawasan pembangunan seperti hulu sungai pedalaman umpamanya, langkah keselamatan perlu diambil perhatian memandangkan malam hari terlalu banyak bahaya. Jika wujud keadaan kurang selamat dinasihatkan lebih baik tidak usah memancing di kawasan terbabit.

Bagi muara sungai musim udang galah hadir selepas beberapa hari sebaik saja hujan berhenti. Kebiasaannya air hujan akan keluar ke laut melalui sungai turut membawa bersama udang galah. Ketika ini udang galah akan berkeliaran di kawasan muara yang ketika itu airnya tawar.

Udang galah akan mudik semula ke hulu sungai apabila muara sungai kembali payau atau masin. Secara ringkasnya musim udang adalah sepanjang tahun kecuali di muara hanya selepas musim hujan atau ketika muara sungai tawar airnya.


.

Umpan Udang Galah


Udang galah dikelaskan sebagai haiwan omnivor iaitu spesies yang boleh dikatakan makan serba-serbi yang dijumpainya. Untuk memudahkan mengesan udang lebih cepat kita perlu menggunakan umpan ‘berbau’. Di kawasan air jernih udang amat berhati-hati dan kurang galak kecuali kita memancing waktu malam atau lubuk yang didominasi udang galah.


Umpan udang yang lumrah dan cepat diterpa udang ialah perumpun - jenis sarang, bakau, pantai dan nipah. Cacing tanah sama ada cacing gila atau jenis biasa. Anak udang sungai atau udang beras hidup/mati, remis, isi kerang, ala-ala - guna bahagian yang keras. Isi ikan dihiris halus memanjang mengikut saiz mata kail. Isi udang galah - potong mengikut saiz mata kail.


Udang pasar tidak kira apa jenis, anak ikan longkang hidup atau mati kedua-duanya boleh. Pilihan lain - jantung/hati ayam tapi hanya sesuai untuk pancing di kolam. Saiz umpan yang dipasang pada mata kail jangan terlalu besar kerana ini akan melambatkan proses udang menelan mata. Potong atau hiris umpan biar sepadan dengan saiz mata kail yang digunakan. Saiz mata kail udang dan jenis bergantung kepada jenis batang pancing.



.