Thursday, March 12, 2009

Perihal Ikan Pari


Kalau anda adalah kaki pancing yang gemar 'fighting' dan pertarungan sebenar, menggunakan joran adalah terbaik. Namun koyan (handline) tetap digemari pemancing berusia atau kampung yang jarang memberi lawan ini mendahului pada babak pertama. Koyan biasanya dikaitkan dengan tali kasar sehingga 200 paun sememangnya tiada masalah menaikkan pari dalam lingkungan 20 kg.

Penggunaan joran lebih bermakna kepada pemancing selain dapat merasa tentangan dan henjutan 'piring terbang' ini, kepakaran akan teruji apabila larian kencang 100 meter dimulai sebelum joran disentap. Permainan tentan
gan pari biasanya berlegar keliling bot / sampan atau kiri kanan jika di pantai. Tambahan pula jika 'piring terbang' ini melekap (landing), bertambahlah perit untuk mengepam. Tentang bab ini, rarnai pemancing putus asa atau mula 'boring' menunggu ia terbang semula lebih-lebih lagi jika berat melebihi 15 kg ke atas.



Macam-macam petua yang saya dengari seperti jatuhkan pemberat di bahagian kepala, letak joran di celah kangkang, guna tempurung jantan, bermain 'gitar', mencampakkan batu ladung bersama-sama dengan kain reja yang dicelup petrol dan entah apa-apa lagi. Pendapat saya, sesetengah dari pendapat tadi kurang logik dan sukar diterima terutama menggunakan petrol yang boleh mencemarkan air, Cara terbaik ialah sabar sebab banyak orang kata pemancing adalah jenis manusia yang penyabar. Biarkan pancing dan sabar menunggu umpan disentap. Jadi buktikanlah kepada orang ramai yang pendapat ini tak salah.

Bila pari melekap, air bukannya cetek untuk dicampakkan batu ladung di bahagian badan pari dan kita tak pasti posisi pari tersebut manakala main gitar, gegaran tali tak begitu ketara di penghujung tangsi. Sabar di sini bukan bermakna kita perlu tunggu sampai pari mengangkat bendera putih, pari adalah benda hidup dan ianya pasti akan bergerak. Jadi semasa ia melekap, pastikan 'drag' pada tahap yang sesuai, bagi sedikit tekanan dengan menarik tangsi supaya ia merasa kesakitan atau biarkan seketika, kemudian buat henjutan ringan untuk memeranjatkan pari, lama kelamaan nescaya ia akan terbang jua. Kaedah terbaik, jangan biarkan ia melekap di dasar semasa permulaan pertarungan, gunakan peralatan terutama joran dengan bijak untuk memujuk pari naik ke atas.


Joran yang sesuai ialah kelas menengah ke atas (medium action) 15 hingga 30 paun memadai. Perambut yang sesuai dari 40 paun ke atas, tanpa perambut dawai pun boleh. Kalau tak yakin, anda boleh gunakan tangsi yang lebih kasar. Saya pernah menaikkan pari 10 kg dengan tali 15 paun dengan joran aksi ringan (light action). Tapi kena juga setengah jam bertarung sebelum berjaya mendaratkan spesies bertulang lembut ini. Sahabat saya pernah berputih mata apabila seekor pari melarikan umpannya.


Malangnya, joran dan kekili yang digunakan hanya sesuai untuk pancing gelama tidak dapat menahan larian pari hingga joran terbenam ke permukaan air. Tali berkekuatan 12 paun putus sekelip mata. Terlepas peluang beliau untuk mengisi 10 tempat terbaik di Pertandingan Memancing Pelabuhan Klang yang diadakan baru-baru ini.
Permainan Si Pari


Pari bukan satu nama asing bagi pemancing di negara kita. la boleh dijumpai di kebanyakan tempat di Semenanjung, suka mendiami kawasan berpasir (kecuali jenis-jenis tertentu), mencari makanan di dasar muara, pantai dan juga terdapat di kawasan sekitar batu karang. Jaguh yang banyak menjadi mangsa pemancing ini lebih agresif pada waktu malam terutama mereka yang mengunakan umpan sotong cumit, kurita dan udang hidup. Mungkin kerana ia senang memburu makanan pada waktu malam terutama sotong cumit dan kurita yang lebih banyak muncul ketika matahari mula terbenam. Sebab itulah mungkin kebanyakan pari yang saya temui di dasar pada waktu siang kelihatan sedang berehat dan dibuai mimpi ngeri yang bakal ditempuhinya pada malam hari.

Walau bagaimanapun, ia tetap berselera pada siang hari terutama semasa pertukaran arus tejadi. Yang pasti, tiada waktu yang tepat dan masa ia mengisi perut boleh dikatakan sepanjang hari. Kalau anda ingin memburu pari, kelebihan adalah tetap pada waktu malam. Memancing pari, anda harus rajin menunggu dan jangan cepat jemu. Gunakan umpan udang atau sotong cumit yang lebih kurang sejengkal panjang jika kepingin merasa keperitan bertarung jaguh terbang ini. Tapi kena tahan kesejukan angin laut dan berembun hingga ke pagi.


Kawasan berpasir atau benteng adalah tempat yang terbaik menunggu spesies ini selain di kuala atau muara sungai. Perambut jangan terlalu pendek dan pastikan umpan dilabuh ke dasar kerana pari tak mungkin menyambar di atas air. Jangan tertipu dengan permainan pari yang selalu 'offside' iaitu suka membuat kejutan pada peringkat awal. Jika sistem tegangan terlalu ketat, kemungkinan ia rabut atau putus tali. Ramai yang gopoh apabila pancing dilarikan oleh pari, sibuk membetulkan 'drag' yang longgar sehingga memberi ruang pari untuk membuat pendaratan cemas di dasar.


Begitu juga dengan pari yang makan memerap, tarikan dapat dirasakan apabila pemancing hendak menggulung tali. Dalam situasi begini, biasanya mata kail sudah tertelan jauh ke dalam perut dan sukar untuk pari melepaskan diri. Razak, 'member' memancing saya yang paling lama pernah menaikkan pari seberat 10kg tidak sampai 5 minit tidak lama dahulu. Mungkin air tidak berapa dalam, lebih kurang 15 meter, tapi beliau langsung tidak memberi peluang pada larian pertama dan terus mengepam tanpa rasa ragu-ragu dengan Daiwa Sealine berkekuatan tali Berkley 20 paun.

Pari yang rata-ratanya berbadan leper, berbentuk bulat, muncung yang lembut, mulut di bahagian bawah, berekor panjang dan mempunyai sengat di tengah ekor sama ada satu atau dua duri yang bisa, dan ada juga berbentuk seperti ikan dan burung helang. Berkepala pari dan berbadan ikan digelar yu kemejan, manakala spesies yang mempunyai dua ruas badan dikenali sebagai pari serban atau pari karas (electric ray). Pari jenis ini dikatakan dapat menghasilkan tenaga elektrik sehingga 100 volt yang digunakan untuk melemahkan mangsa sebelum memakannya.


Spesies ini yang bersaiz maksimum sehingga 60cm dikatakan dapat menjana kejutan elektrik sehingga 200, volt. Jad berhati-hatilah dengan spesies yang mempunyai bahagian ekor yang agak besar berbanding dengan jenis pari yang lain. Saya tak pernah kena sengat pari dan tak ingin mencuba menikmati sengatan tersebut. Kalau ingin kepastian tanyalah pada mereka yang dah merasa kehangatan tusukan duri tajam spesies ini. Sekarang ini ramai yang gemar bergambar dengan hasil tangkapan, lebih baik keluarkan atau potong dahulu sengat dan barulah boleh bergambar sakan. Jangan cuba bergurau dengan pari terutama yang masih bersengat.


Apa Nak Buat


Pari benar-benar tertewas atau letih apabila ia timbul di permukaan dengan keadaan terbalik. Namun untuk mengelakkan kehilangannya di saat-saat akhir, pencangkuk (gaff) adalah peralatan terakhir untuk menaikkan 'piring terbang' ini kerana pada amnya, ia masih ada lagi stok tenaga yang bakal digunakan di saat akhir. Kalau tak ada alat ini, pegang bahagian di kedua-dua belah mata sebagai alternatif tapi teknik hanya untuk pemancing yang berpengalaman dan berani ambil risiko. Badan pari yang lembut terutama bahagian sebelah bawah adalah sesuai dicangkuk selain bahagian mulut dan mata.


Memperolehi pari yang besar di awal trip memancing akan mendatangkan masalah terutama apabila kotak ikan yang dibawa terlalu kecil untuk dimuatkan. Trip memancing dengan bot nelayan mungkin tidak menjadi masalah. Kalau nak simpan dalam kotak yang kecil terpaksalah dipotong. Balik rumah tak payah lagi nak potong-potong. Sewaktu mula-mula memancing di sekitar Pelabuhan Klang dahulu, masa bujang saya dan Razak jarang mengainbil pari walaupun saiz sehingga 10 kg. Biasanya kami lepaskan kembali kerana tidak tahu apa yang nak dibuat dengan pari tersebut.

Sekarang ini apabila merasa keenakan pari bakar dicicah dengan air asam, hmmm... hingga tulang-tulangnya yang lembut disapu sekali. Sekali-sekala mesti turun memancing pari. Namun bukan semua 9 keluarga pari ini sedap dan enak dimasak, yang kecil pulangkan balik ke tempat asalnya. Ada juga yang jarang-jarang dapat dipancing seperti pari helang (eagle ray) yang anda boleh lihat dalam iklan tv dan pari kelawar (butterfly ray). Begitu juga dengan satu lagi spesies yang menjadi sahabat para penyelam iaitu pari paus (manta ray) yang jarang terdapat di negara kita.

.

No comments: