.
KOTA BHARU 17 Okt. - Para penduduk Kuala Krai bakal menerima limpahan ekonomi apabila Koperasi Permodalan Kuala Krai Berhad (KPKKB) menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat ternakan ikan patin yang mampu menjana pendapatan sehingga RM100 juta setahun. Projek itu adalah sebahagian daripada inisiatif yang diwujudkan di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bagi membangunkan industri akuakultur negara. Pengerusi KPKKB, Datuk Seri Abu Raihan Wan Jaafar berkata, pihaknya memberi jaminan pulangan pendapatan yang tinggi ekoran persetujuan sebuah syarikat dari Arab Saudi, Aero Supplies and Consulting Pt untuk mengeskport ikan tersebut.
Beliau berkata, KPKKB telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan syarikat tersebut baru-baru ini bagi mengeksport ikan patin yang diternak di Kuala Krai, Kelantan.
"MoA ini membabitkan pembelian 20 hingga 40 kontena ikan patin sebulan daripada pihaknya sekali gus mampu menjana pendapatan antara RM80 hingga RM100 juta setahun. "Projek perikanan itu sudah dimulakan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Kelantan dan sehingga kini, 140 kolam sudah dikenal pasti untuk membangunkan projek ini di Kuala Krai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Abu Raihan berkata, kerjasama yang diwujudkan itu menawarkan prospek ekonomi lebih baik selain menjana pendapatan tambahan kepada penduduk di Kuala Krai yang kebanyakannya bekerja sebagai penoreh getah.Katanya, kolam ternakan tersebut akan dikendalikan oleh penduduk kampung dan pihaknya akan membeli hasil ternakan tersebut untuk dieksport.
"Kami akan melabur antara RM15 hingga RM20 juta bagi membangunkan sebuah kilang memproses ikan patin dalam palet menjelang akhir tahun ini bagaimanapun sekiranya kilang ini tidak sempat disiapkan, ikan terbabit akan diproses di Butterworth, Pulau Pinang. "Apabila kilang itu siap kelak, ia akan mewujudkan antara 400 hingga 500 peluang pekerjaan di daerah ini," katanya.
Menurut beliau, projek ternakan ikan tersebut telah dimulakan sejak dua bulan lalu dan proses mengeksport akan bermula pada awal Februari depan. Katanya, ikan-ikan terbabit akan dieksport dalam bentuk filet dan ia mendapat permintaan yang tinggi Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat. Di pasaran runcit tempatan, ikan patin dijual pada harga RM8 sekilo dan antara RM4 hingga RM5 bagi pasaran borong.Ujarnya, pasaran industri akuakultur tempatan berkembang dengan begitu pesat berdasarkan permintaan yang memberangsangkan daripada pasaran dalam negara dan eksport.
"Permintaan makanan berasaskan ikan dijangka meningkat daripada 1.2 juta tan kepada 1.5 juta tan pada 2010 dan purata per kapita masyarakat Malaysia mengambil ikan juga akanmeningkat dari 49 kilogram kepada 56 kilogram," katanya.Sehingga kini, keseluruhan pasaran eksport komoditi industri itu adalah 283,385 tan bernilai RM2.253 bilion pada 2004 membabitkan beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat, Thailand, Singapura, China dan Indonesia.
Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), pembangunan Zon Industri Akuakultur (ZIA) di ECER dijangka dapat membangun dan meningkatkan industri berkenaan di negara ini.
.
Thursday, March 12, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment