STATUS sukan memancing di negara ini perlu dipertingkatkan. Justeru, fokus Unit Joran kali ini ialah bagaimana mewujudkan acara dan sukan memancing semi-pro di Malaysia. Revolusi sukan memancing berlaku dengan pesat apabila Berita Harian mula memperkenalkan siri GP Joran pada 1996. Tahun demi tahun, perubahan positif berlaku dengan ketara. Peralatan dan aksesori, kekerapan aktiviti dan populariti memancing semakin meningkat.
Kini memancing diterima sebagai sukan rakyat. Tetapi bagi memenuhi satu lagi keperluan, perlu ada peningkatan status bagi penggiat dan sukan memancing daripada amatur kepada semi-pro sebelum menuju matlamat tertinggi - pemancing profesional.Apakah keupayaan memiliki kira-kira dua juta pemancing dan penjanaan ekonomi berkaitan aktiviti memancing bernilai RM2 bilion setahun ke arah mencapai matlamat itu?
Pemancing pro adalah kelompok yang memburu glamour dan nama untuk mengelakkan status mereka. Mereka tidak mementingkan hadiah tetapi pengiktirafan. Hadiah wang bukan keutamaan kerana mereka sudah dibayar gaji oleh syarikat penaja untuk mempromosi dan menjual produk. Mereka menggalas nama, imej dan maruah syarikat penaja. Mereka adalah duta produk.
.
Justeru, seseorang pro turut disukat melalui personaliti menarik, ada daya magnetik, petah berbicara, berkeupayaan menulis dalam majalah pancing serta popular.Pro merujuk kepada pemancing pertandingan profesional atau pemancing yang terbabit promosi produk pancing atau juru pandu sepenuh masa. Justeru, dua kemungkinan ini pasti memerlukan identiti setiap memancing perlu diketahui umum dan mampu menarik seramai mungkin pelanggan menggunakan cara dan gaya profesional.
Di luar negara, banyak kelab pancing yang sesetengahnya mencapai usia 100 tahun. Tetapi berbeza dengan kelab atau persatuan memancing di Malaysia yang wujud hanya baru setahun jagung. Motifnya banyak kepada urusan menganjur trip memancing atau meminta subsidi daripada majikan bagi membiayai trip mereka memancing. Ini berbeza dengan kelab pancing luar negara yang lebih edukatif dan membina kelompok ahli menjadi profesional.
Matlamat kelab pro antaranya, menggalakkan perkembangan sukan memancing profesional.Contohnya, Anglers Insight Marketing (AIM) yang bernaung di bawah Persatuan Pemancing Profesional Kebangsaan (NPAA) di Amerika Syarikat merancang pertandingan Pro-Am 2009 - AIM Pro Walleye Series. Acara ini bakal mendedahkan 400 pemancing untuk memburu status pro dalam sukan memancing.Kelab itu juga membantu untuk mempromosikan industri memancing keseluruhannya.
.
Kedua, mewujudkan lapangan pemasaran yang lebih inovatif dan berkesan kepada syarikat penaja serta pemancing pro. Ketiga, menyorot kedudukan destinasi memancing kepada umum sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai peluang dalam industri pelancongan.Namun berdasarkan perbincangan penulis dengan penggiat sukan memancing domestik rata-rata menggambarkan kesukaran melaksanakan status pemancing semi-pro di Malaysia.
Beberapa halangan paling asas yang boleh memusnahkan realiti mewujudkan pemancing semi-pro di Malaysia sudah dikenal pasti. Iaitu bagaimana hendak mewujudkan etika dan sistem pengurusan; menyusun ranking; habuan; dan tahap pembabitan penaja.Persoalan etika dan sikap pemancing tempatan sangat kritikal. Tidak ramai bebas daripada kejahilan mengenai sukan memancing itu sendiri. Mereka bergiat dengan dada kosong dan tiada kemahiran. Masih ramai dibelenggu tamak. Mereka pergi memancing untuk memusnahkan.
Mereka bertanding kerana mahu menang semata-mata. Kemenangan pula mesti dicapai dengan melakukan apa saja termasuk penipuan, melakukan ketidakadilan kepada peserta lain dan mengamalkan perbuatan yang sesetengahnya merosakkan akidah sendiri.Tahap pembabitan penaja juga sangat terhad. Rata-rata yang ada di Malaysia adalah pengimport dan pengedar kepada pengeluar produk jenama asing. Adalah sukar kepada syarikat tempatan melakukan promosi termasuk melantik pemancing pro untuk menjual jenama perkakasan pancing yang bukan milik mereka.
Adalah tidak mustahil selepas promosi berjaya, syarikat berkenaan dipecat daripada menjadi pengimport dan pengedar. Sebaliknya, syarikat baru dilantik menggantikan mereka. Oleh itu, bagaimana syarikat sedia ada mahu habis-habisan mempromosi yang pasti menelan modal sedangkan nasib mereka sehari selepas itu tidak menentu.Jadi, ketiadaan syarikat tempatan yang mampu mengeluarkan produk bertaraf antarabangsa akan membantutkan sebahagian besar usaha mahu mewujudkan pemancing pro di Malaysia.
.
Kesulitan mendapatkan penaja pastinya menawarkan minat seseorang pemancing menjadi pro. Bagaimana hendak menyara kehidupan kalau sekadar menjadi pemancing yang tidak ada habuan atau gaji bulanan. Tetapi, jangan dipandang rendah apabila ada sekelompok pemancing pantai yang memperoleh pendapatan sehingga RM80,000 setahun hasil hadiah memenangi pertandingan memancing.Kelompok ini harus diberi laluan menghampiri atau diperkenalkan kepada syarikat penaja. Penganjur pertandingan perlu peka kepada bakat dan potensi ini.
Justeru, perlu diwujudkan jambatan antara penganjur dengan Persatuan Memancing Malaysia (PeMM) dan wakil Persatuan Ikan Sukan Antarabangsa (IGFA) di Malaysia. Dua badan ini boleh mengemukakan nama pemancing yang berpotensi untuk digilap menjadi pemancing semi-pro atau pro. Di satu pihak lain, kerajaan dan penaja harus membiayai penganjuran pertandingan supaya proses membina dan memperkukuh sukan memancing pro berterusan. Malah natijah di sebalik penganjuran sukan memancing pro ialah kesan liputan media antarabangsa terhadap acara itu yang akan menyajikan laporan kepada pemancing pro di negara asal mahu serantau.
.
Ini pasti akan mengundang kehadiran lebih ramai pemancing pro ke negara ini.Justeru, badan seperti PeMM dan wakil IGFA perlu memulakan langkah mulai sekarang untuk merintis jalan ke arah membina gelanggang semi-pro. Ini dengan membuat ketetapan sistem melalui tali (paun atau diameter) dan spesies seperti ikan layar, marlin, tenggiri dan bayan mahupun toman dan sebarau untuk spesies ikan air tawar.
.
dipetik drp Joran, Berita Harian
.
1 comment:
Aku memang setuju..tapi aku sendiri duk mencari cari kat mana la official website PeMM. Camana aku nak join sebagai ahli. Lagi senang aku join IGFA
Post a Comment