Tuesday, November 25, 2008

BAJET KAKI PANCING

KITA berdepan dengan kenaikan harga petrol dan diesel yang sangat mendadak. Ini memberi kesan kepada kehidupan harian kita. Ia termasuk membabitkan pemancing yang turut berbelanja agak besar untuk melakukan hobi ini. Penggunaan petrol atau diesel membabitkan penggunaan kereta atau motosikal dan bot. Jadi, ketika melakukan hobi ini biarlah berpada-pada.

Jika dulu saban hari keluar memancing sama ada dengan menyewa bot atau memandu bot sendiri, mungkin mulai sekarang anda perlu mengehadkan kepada dua kali seminggu. Kalau sebelum ini tiga kali seminggu, sekarang anda hanya perlu memancing sekali seminggu.Kenaikan harga petrol kepada RM2.70 seliter akan menyebabkan banyak lagi kenaikan kepada hampir semua barangan dan perkhidmatan. Sudah pasti harga sewa bot pun naik.

Harga masuk ke kolam pancing juga naik kerana bekalan ikan dikatakan semakin berkurangan dan terlalu mahal. Jadi, untuk mengimbangi kekerapan keluar memancing yang semakin sedikit dengan ikan yang disasarkan maka Sang Bedal menyarankan pemancing lebih banyak menuntut ilmu.

Dalam kaedah, teknik dan petua untuk mendapatkan lebih banyak ikan. Andai selama ini anda memperoleh seekor ikan setiap hari ketika keluar memancing maka carilah ilmu bagaimana anda boleh memancing empat ekor ikan sehari tetapi untuk dua kali memancing. Jika anda tidak cukup berilmu untuk memancing maka ternyata selama ini anda memancing dalam keadaan yang tidak efisyen, membazir dan memancing secara ‘membuta tuli’ atau hentam keromo atau bahasa kasarnya ‘main belasah’ saja.

Bayangkan, berapa banyak kerugian wang ringgit, tenaga, masa dan tumpuan anda bazirkan semata-mata kerana menjadi pemancing yang tidak berilmu. Ini kerana anda terpaksa berbelanja banyak tetapi hasilnya tidak memuaskan.
Kini sudah tiba masanya kita kena lebih berhemat, berjimat-cermat, berpada-pada dan beringat kerana kos petrol kereta atau motosikal anda untuk berulang-alik ke tempat kerja akan ‘memakan’ peruntukan untuk membeli makanan, membayar sewa dan bil rumah tangga. jadi peruntukan atau bajet untuk memancing harus dikecilkan tetapi efisyen atau berbaloi.

Nasihat Sang Bedal, kurangkan belanja untuk memancing kerana anda perlu berbelanja lebih banyak untuk keluarga. Jangan kerana melakukan hobi, kita mengabaikan perbelanjaan untuk anak dan isteri sehingga keperluan mereka terabai. Akhirnya rumah dan anak berantakan! Ketika itu, barulah anda menyesal tetapi sudah terlambat.

dipetik drp Akhbar Joran, Berita harian

No comments: