Saturday, November 29, 2008

'Circle hook' elak kail sangkut di kerongkong


Sasaran menjerat belida di pertengahan dan bawah permukaan air. Umpan anak ikan hidup digantung setengah air menggunakan pelampung. Jangan biarkan terlalu lama ikan menelan umpan sebelum membalas joran. Lambat membalas memberi masa ikan menelan habis umpan dan menyebabkan mata kail masuk terus dalam kerongkong.


Cara terbaik adalah menggunakan mata kail ‘circle hook’. Jenis mata kail ini terbukti hampir 99% tersangkut di bibir ikan. Reka bentuk sedemikian umpan ditelan bersama mata kail namun apabila ikan mula menarik tali pancing, ‘circle hook’ bertindak menekan mulut sebelum tersangkut bibir ikan dengan sendiri.



Menggunakan mata kail jenis ini tidak memerlukan kita membalas joran. Biarkan ikan lari dan tunggu sehingga mata tersangkut dengan sendiri. Jenis mata kail ini juga banyak digunakan oleh pemancing yang gemar mengamalkan konsep tangkap dan lepas. Anak ikan seluang, udang sungai hidup, anak talapia dan sepat adalah umpan berkesan




sumber drp Joran, Berita Harian

Petua Memilih Kekili



Apabila membeli kekili maka senarai berikut perlu diberi perhatian - harga yang kita sanggup bayar atau sesuai dengan bajet, jenis kekili sama ada terbuka atau multiplier, jenis lokasi atau lapangan padang pancing, had kekuatan sistem tegangan (max drag), had muatan tali, bahan binaan asas terutama sistem gear, berat kekili, berapa banyak alas bebola terutama jenis tahan karat, kalis air ( sebaiknya), anti-reverse (anti pembalikan), kelancaran pergerakan melalui ‘testing’, bunyi sistem penggera - biar nyaring dan sedap didengar, sistem kekunci tegangan depan (belakang kurang sesuai), alat ganti mudah dan pusat servis serta khidmat pelanggan berdekatan.

Gewang merah putih paling popular


Gewang yang paling popular di kalangan pemancing adalah kombinasi gewang berwarna merah bahagian kepala dan putih dari badan hingga ekor. Selain itu, gewang bercorak dan warna garang turut menjadi pilihan kerana peranan warna terang boleh menarik perhatian pemangsa. Paling baik jika kita dapat meniru bentuk dan warna gewang seperti warna yang terdapat pada ikan





Ilmu Pancing Udang Galah

1. Udang galah dikelaskan sebagai haiwan omnivor iaitu spesies yang boleh dikatakan makan serba-serbi yang dijumpainya. Untuk memudahkan mengesan udang lebih cepat kita perlu menggunakan umpan ‘berbau’. Di kawasan air jernih udang amat berhati-hati dan kurang galak kecuali kita memancing waktu malam atau lubuk yang didominasi udang galah.

Umpan udang yang lumrah dan cepat diterpa udang ialah perumpun - jenis sarang, bakau, pantai dan nipah. Cacing tanah sama ada cacing gila atau jenis biasa. Anak udang sungai atau udang beras hidup/mati, remis, isi kerang, ala-ala - guna bahagian yang keras. Isi ikan dihiris halus memanjang mengikut saiz mata kail. Isi udang galah - potong mengikut saiz mata kail. Udang pasar tidak kira apa jenis, anak ikan longkang hidup atau mati kedua-duanya boleh.

Pilihan lain - jantung/hati ayam tapi hanya sesuai untuk pancing di kolam. Saiz umpan yang dipasang pada mata kail jangan terlalu besar kerana ini akan melambatkan proses udang menelan mata. Potong atau hiris umpan biar sepadan dengan saiz mata kail yang digunakan. Saiz mata kail udang dan jenis bergantung kepada jenis batang pancing.

2. Memancing udang galah tiada musim tertentu sama ada di kawasan hulu sungai dan pedalaman termasuk lombong, tasik dan kolam. Bagaimanapun musim kering (tiada hujan sebelumnya) adalah masa terbaik memancing udang galah. Selain daripada itu waktu malam lebih mudah mengendap udang galah berbanding siang kerana kawasan persekitaran air jernih dan udang galah jarang keluar merayau siang hari bagi mengelak diterkam pemangsa.


Perlu diingatkan jika lokasi yang dikunjungi jauh dari kawasan pembangunan seperti hulu sungai pedalaman umpamanya, langkah keselamatan perlu diambil perhatian memandangkan malam hari terlalu banyak bahaya. Jika wujud keadaan kurang selamat dinasihatkan lebih baik tidak usah memancing di kawasan terbabit. Bagi muara sungai musim udang galah hadir selepas beberapa hari sebaik saja hujan berhenti.

Kebiasaannya air hujan akan keluar ke laut melalui sungai turut membawa bersama udang galah. Ketika ini udang galah akan berkeliaran di kawasan muara yang ketika itu airnya tawar. Udang galah akan mudik semula ke hulu sungai apabila muara sungai kembali payau atau masin. Secara ringkasnya musim udang adalah sepanjang tahun kecuali di muara hanya selepas musim hujan atau ketika muara sungai tawar airnya.

3. Perambut udang galah kebiasaannya ialah menggunakan tangsi 6 paun hingga 12 paun. Ini sudah memadai dengan berat udang itu sendiri. Kekuatan 12 paun boleh menampung dan mengangkat beban maksimum 5.5 kilogram sudah terlalu besar untuk udang galah sungai yang purata 50 gram hingga 500 gram.

Panjang perambut seeloknya 15 sentimeter atau lebih kurang sejengkal jari orang dewasa. Jenis tangsi biarlah yang lembut supaya udang galah tidak begitu 'terasa' beban ketika mengunyah umpan. Mata kail udang banyak jenis dan saiz mengikut tempat, jenis lapangan pancing dan saiz udang. Saya biasanya menggunakan mata kail no 6 hingga no 8 kerana saiz ini paling sesuai. Banyak jenis dan saiz mata udang yang boleh di temui di pasaran tempatan.




sumber drp Joran, Berita Harian

Friday, November 28, 2008

UMPAN - untuk jenis ikan

Berikut adalah ringkasan umpan yang boleh dijadikan panduan kepada kaki pancing. Umpan yang diterangkan adalah merujuk kepada umpan biasa (kaedah tradisional) tanpa menyentuh pengunaan atau umpan tiruan.

1. Untuk udang galah umpan yang sesuai ialah perumpun, anak udang beras, anak ikan guppy, isi ikan, hati dan jantung ayam, isi remis, isi kerang, adunan dedak campur belacan.




2. Kuku (ketam angin, anak ketam pasir, udang sungai, udang kayu, udang kantong, roti canai, ayam goreng).
3. Semilang (Udang sama ada hidup dan mati lintah sungai, perumpun, sotong kurita, isi ikan, ikan belanak, bebolos, isi siput, anak ketam.


4. Kelah (kelapa sawit peram, buah merih, udang sungai, buah nerang).
5. Toman (anak ikan hidup lampan, tengas, sebarau, keli),



6. Belida (ikan anak ikan hidup seperti parang, terbul, tengas, talapia susur batang).
7. Jenahak (udang hidup, cumit hidup, udang lipan, sotong kurita, belanak, anak gelama, anak bebolos, perumpun, hirisan isi ikan segar).
8. Sepat (lumut, cacing kecil, telur kerengga, nasi).
9. Haruan (katak, anak ikan, udang sungai, cacing, belalang, cengkerik).
10. Belanak/tamok/andeng (roti yang digumpal kecil).
11. Ketutu (anak ikan, hirisan / ketulan isi ikan, udang sungai).
12. Baung (umpan peram, ulat lundi, udang sungai, isi ikan, cacing, dedak, perut, usus atau hati ayam).
13. Keli (cacing, cengkerik, udang sawah).


14. Tapah (hampir semua anak ikan sungai, anak keli, udang galah, ulat lundi).
15. Sebarau (anak seluang atau ikan parang kedai akuarium, tebal sisik, anak lampan, anak terbul, anak ikan tengas, udang sungai).

BUAH ARA - kegemaran ikan sungai


Biasanya buah ara tumbuh meliar di tebing sungai di kawasan kampung. Memancing ketika musim pokok ara berbuah adalah menyeronokkan kerana buahnya menjadi kegemaran pelbagai spesies ikan terutama di Sungai Perak dan Sungai Pahang.
Ikan kaloi (paling mudah didapati, lampam, tongsan sisik kasar, patin, lawang dan kekadang baung turut menggemari buah ara). Ketika buah ara masak ranum masa adalah terbaik untuk memancing.Ketika ini ikan mudah mabuk kerana memakan buah yang gugur dan masa yang sama pemancing boleh tumpang sekaki dengan meletak buah yang dicangkuk pada mata kail.
Selain itu. anda boleh membelah atau memotong buah ara yang masak ranum untuk mengeluarkan aromanya supaya senang dicangkuk satu persatu sampai panjang lebih kurang sejengkal pada perambut.Teknik ini sangat sesuai digunakan di lubuk yang agak jauh dari pokok ara yang kebiasaannya banyak terdapat di tebing sungai sekitar daerah Perak Tengah.
Musim buah ara masak antara empat dan lima kali setahun. Setiap kali masak boleh tahan seminggu namun begitu tidak semua buah pokok ara menjadi kegilaan ikan sungai. Biasanya yang berbau wangi dan warna merah hati menjadi pilihan pemancing sekitar daerah Perak.
sumber drp Akhbar Joran, Berita Harian

Nasib Ikan Paus


PENEMUAN seekor anak ikan paus betina spesies Bryde's Whale yang terdampar di beting pasir Kuala Nenasi, Pekan, baru-baru ini menggemparkan semua pihak kerana mamalia berkenaan dianggap asing di negara ini. Mamalia berwarna hitam dengan ukuran kira-kira 10 meter panjang dan berat lebih tiga tan metrik itu, dipercayai tersesat sebelum ditemui seorang nelayan. Ikan paus berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian muncung dan badan dipercayai tersesat daripada kumpulan antara dua hingga tiga ekor.

Nelayan, Saman Muhamad, 42, yang menemui ikan paus berkenaan berkata, dia terkejut melihat satu objek besar terdampar pada beting pasir kira-kira 7.30 pagi ketika hendak turun ke laut. "Saya sangkakan kayu balak berwarna hitam yang hanyut, tetapi sebaik mendekatinya, saya dapati ikan paus itu masih bernyawa. "Ketika ditemui, paras air sungai hanya setakat sirip ikan berkenaan tetapi disebabkan saiznya yang besar, ikan itu tidak mampu bergerak ke laut," katanya.

Katanya, ketika ditemui ikan paus itu masih kuat apabila sentiasa cuba berenang dan bergerak menggunakan ekornya, tetapi disebabkan air cetek di kawasan berkenaan, mamalia itu tidak mampu bergerak. Saman berkata, dia bersama lebih 15 nelayan dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Pekan dan kakitangan Jabatan Perikanan Daerah berjaya menolak ikan paus berkenaan ke laut pada kira-kira jam 11 malam. Bagaimanapun, mamalia berkenaan sekali lagi ditemui terdampar di atas pasir di Kuala Nenasi dan mati ketika operasi menyelamat dilakukan. Pegawai Penyelidik Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec) di Rantau Abang, Terengganu, Mohd Lazim Mohd Saif pula berkata, siasatan awal punca kematian mendapati saluran usus ikan paus berkenaan tersumbat.

Katanya, plastik sampah, segumpal tali nylon dan penutup botol ditemui dalam usus mamalia berkenaan yang dipercayai menyumbat saluran ususnya. "Ikan paus itu mengalami masalah kesihatan agak serius menyebabkan ia lemah dan tidak dapat berenang ke laut walaupun selepas operasi menyelamat dilakukan. "Ia kembali semula ke Kuala Nenasi selepas dibawa arus deras air pasang sebelum ditemui terdampar di pantai," katanya. Beliau berkata, ikan paus itu tidak dapat membezakan antara hidupan laut dengan plastik sehingga menyebabkannya memakan bahan buangan itu.

Selain ikan paus, kes hidupan laut makan plastik yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab turut dilaporkan berlaku kepada haiwan laut lain seperti penyu dan dugong. Mohd Lazim berkata, kecederaan pada bahagian muncung ikan paus berkenaan dipercayai terlanggar batu karang terutama selepas terpisah daripada kumpulannya akibat tersesat.

AKatanya, dia bersama empat pegawai Makmal Veterinar Kuantan melakukan pembedahan selain mengambil contoh beberapa bahagian ikan paus berkenaan untuk tujuan analisis. Mamalia berkenaan ditanam di kawasan pantai Kuala Nenasi dengan diawasi polis Nenasi dan penduduk setempat bagi mengelak berlakunya kecurian. Katanya, selepas dua bulan ditanam, Tumec akan mengambil rangka ikan paus berkenaan untuk kajian selain untuk pameran.
dipetik drp Akhbar Berita Harian

Berita Pancing


Fomca saran bank biayai pembelian bot pancing

KUALA LUMPUR: Institusi kewangan disaran memberi peluang kepada orang ramai membuat pinjaman bagi pembiayaan membeli bot dalam usaha menyelamatkan industri itu yang semakin lesu, kata Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman.

Beliau berkata, bank wajar menyediakan pembiayaan itu seperti untuk pelanggan membeli kereta, motosikal atau hartanah.“Tidak dinafikan setiap pinjaman mempunyai risiko, namun bank boleh mengenal pasti peminjam dengan memeriksa latar belakang dan rekod kewangannya.


Ia boleh dilakukan dengan merujuk kepada Bank Negara,” katanya.Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan JORAN yang mendedahkan ramai pengusaha bot mengeluh dan merayu kerajaan menyelamatkan industri itu berikutan keengganan bank menyediakan pinjaman membeli bot.

Difahamkan pembekuan pinjaman itu dilakukan sejak ekonomi negara merudum pada 1997 dan 1998, yang kemudian diburukkan dengan pengumuman penstrukturan semula harga bahan bakar - diesel dan petrol, baru-baru ini.Mohd Yusof berkata, Fomca kesal dengan tindakan bank enggan bekerjasama kerana ia menyimpang dengan dasar kerajaan dalam memajukan pelancongan eko-marin yang terbukti menyumbang kepada ekonomi negara di seluruh dunia.

Thursday, November 27, 2008

Bisa Akibat Obor-obor


Kita seringkali terdengar tentang bahaya sengatan obor-obor. Obor terbahagi kepada beberapa jenis. Ada yang beracun dan ada yang tidak. Obor-obor yang beracun pula, ada antaranya yang bisanya sangat berbahaya dan boleh membawa maut.

Jenis obor-obor laut yang diketahui berbisa terbahagi kepada lima jenis iaitu Chironex fleckeri, Chiropsalmus buitendijki, Chiropsalmus quadrihatus, Chrysaora quinquecirrha dan spesis Physalia, Chironex fleckeri.Tetapi yang sering kita dengar adalah yang membawa kepada rasa gatal yang amat.


Obor-obor melakukan sengatan berbisa melalui sesungut yang mengandungi ratusan pundi-pundi bisa, dipanggil 'nematosit'. Chironex fleckeri, dikenal pasti sebagai paling berbisa, berupaya menyebabkan kematian dalam masa 15 minit manakala sengatan spesis Physalia pula biasanya akan menyebabkan mangsa mengalami kejutan dan mengakibatkan kematian sekiranya mangsa lemas.

Masa serangan obor-obor:

1. Sengatan yang paling kerap adalah semasa obor-obor terapung di permukaan air ketika mangsa memasuki atau berenang di dalam air.
2. Serpihan sesungut yang terpisah dari badan obor-obor akibat dari laut bergelora seperti semasa ribut. Sesungut ini walaupun telah terpisah dari badan berupaya mengeluarkan bisa apabila serpihan sesungut bersentuhan dengan manusia.
3. Serpihan sesungut yang terdampar di persisiran pantai juga berupaya membebaskan bisa apabila dipijak.
4. Sengatan obot-obor lebih kerap terjadi apabila bilangannya di dalam laut bertambah.



Rawatan

Antaranya termasuklah sodium bikarbonat (serbuk penaik yang digunakan untuk kek), asik borik, alkohol, larutan cucian amonia dan jus limau nipis.
Bahan-bahan ini dapat bertindak menukarkan tahap, keasidan (pH) di bahagian tubuh yang tersengat dan meredakan rasa kesakitan.







Tuesday, November 25, 2008

PANCING SALMON

bestnya pancing di tempat yang ekosistemya masih terjaga

BAJET KAKI PANCING

KITA berdepan dengan kenaikan harga petrol dan diesel yang sangat mendadak. Ini memberi kesan kepada kehidupan harian kita. Ia termasuk membabitkan pemancing yang turut berbelanja agak besar untuk melakukan hobi ini. Penggunaan petrol atau diesel membabitkan penggunaan kereta atau motosikal dan bot. Jadi, ketika melakukan hobi ini biarlah berpada-pada.

Jika dulu saban hari keluar memancing sama ada dengan menyewa bot atau memandu bot sendiri, mungkin mulai sekarang anda perlu mengehadkan kepada dua kali seminggu. Kalau sebelum ini tiga kali seminggu, sekarang anda hanya perlu memancing sekali seminggu.Kenaikan harga petrol kepada RM2.70 seliter akan menyebabkan banyak lagi kenaikan kepada hampir semua barangan dan perkhidmatan. Sudah pasti harga sewa bot pun naik.

Harga masuk ke kolam pancing juga naik kerana bekalan ikan dikatakan semakin berkurangan dan terlalu mahal. Jadi, untuk mengimbangi kekerapan keluar memancing yang semakin sedikit dengan ikan yang disasarkan maka Sang Bedal menyarankan pemancing lebih banyak menuntut ilmu.

Dalam kaedah, teknik dan petua untuk mendapatkan lebih banyak ikan. Andai selama ini anda memperoleh seekor ikan setiap hari ketika keluar memancing maka carilah ilmu bagaimana anda boleh memancing empat ekor ikan sehari tetapi untuk dua kali memancing. Jika anda tidak cukup berilmu untuk memancing maka ternyata selama ini anda memancing dalam keadaan yang tidak efisyen, membazir dan memancing secara ‘membuta tuli’ atau hentam keromo atau bahasa kasarnya ‘main belasah’ saja.

Bayangkan, berapa banyak kerugian wang ringgit, tenaga, masa dan tumpuan anda bazirkan semata-mata kerana menjadi pemancing yang tidak berilmu. Ini kerana anda terpaksa berbelanja banyak tetapi hasilnya tidak memuaskan.
Kini sudah tiba masanya kita kena lebih berhemat, berjimat-cermat, berpada-pada dan beringat kerana kos petrol kereta atau motosikal anda untuk berulang-alik ke tempat kerja akan ‘memakan’ peruntukan untuk membeli makanan, membayar sewa dan bil rumah tangga. jadi peruntukan atau bajet untuk memancing harus dikecilkan tetapi efisyen atau berbaloi.

Nasihat Sang Bedal, kurangkan belanja untuk memancing kerana anda perlu berbelanja lebih banyak untuk keluarga. Jangan kerana melakukan hobi, kita mengabaikan perbelanjaan untuk anak dan isteri sehingga keperluan mereka terabai. Akhirnya rumah dan anak berantakan! Ketika itu, barulah anda menyesal tetapi sudah terlambat.

dipetik drp Akhbar Joran, Berita harian

Sunday, November 23, 2008

INFO PRODUK PANCING 7


GPS A600 canggih
Altina A600 adalah sistem kedudukan global (GPS) terkini bersaiz palmtop yang begitu ideal digunakan seharian. Dengan saiz 3.5 inci skrin LCD skrin sesentuh dan dimuatkan bersama pembesar suara, ia memudahkan anda menjejaki arah jalan, di samping peralatan MPEG-4, MP3 dan kemudahan fail JPEG.A600 dilengkapi Sirf Star II dan set cip Samsung S3C2410 MHz CPU bagi memudahkan anda mengesan kedudukan atau arah jalan dengan pantas. Imej yang dipaparkan adalah berwarna bagi memudahkan anda menjadikannya panduan dan berfungsi menggunakan alat kawalan jauh.Altina A600 juga boleh digunakan untuk mengesan lubuk ikan. Alat ini dilengkapi kabel USB, 256 MB kad SD, alat pendengar telingadan pemanduan CD.

INFO PRODUK PANCING 6


Tomman Reel - Surf Game

KEKILI ini dilengkapi dengan bebola 9+1 untuk memastikan karauan lebih lancar serta lebih pantas apabila menarik ikan, manakala bahagian badannya diperbuatkan daripada keluli. Rekabentuk kecil serta tirus menggambarkan ia mudah digunakan atau dipadankan dengan pelbagai jenis joran mengikut keperluan kaki pancing.Penggunaan pemegang CNC mampu memberikan keselesaan kepada pemancing ketika membuat karauan dengan lebih kemas dan pantas serta ditambah pula dengan ratio 5:2:1 yang mampu membantu memberikan kelancaran ketika karauan.


Tomman Reel - Xcellent

SEBAHAGIAN besar kekili ini termasuk bahagian luar diperbuat daripada bahan tahan lasak bagi menjamin hayat yang lebih lama serta tidak mudah rosak. Klac sehala yang digunakan menjamin bunyinya lebih senyap ketika karauan manakala sistem imbangan boleh menjamin prestasinya serta rekabentuk rotor yang lebih praktikal.Model siri 3000 dan 5000 ini mampu menarik ikan lebih besar seakan tidak percaya dengan saiznya yang sederhana besar. Pemegang aluminium yang lebih tahan serta kemas boleh ditukar kedudukan sama ada di sebelah kiri atau kanan mengikut kesesuaian pengguna.


Strike Pro

STRIKE Pro, menghasilkan satu lagi gewang terbaru berbentuk melengkung dapat memberikan pergerakan yang mampu menarik perhatian ikan dan sesuai untuk digunakan di air tawar mahupun di laut.Gewang Hunchback ini boleh diperoleh dalam pelbagai aksi termasuk terapung, menyelam (antara 5 hingga 10 kaki) dan sederhana dalam. Produk ini didatangkan dengan berat antara 1.4 gram hingga 13.1 gram, manakala panjang maksimum 6.5 sentimeter.

INFO PRODUK PANCING 5


Tali pinggang aksi AFTCO

PEMANCING sering mengadu keletihan terutama sakit pinggang atau tulang belakang, gara-gara bertarung yang lama dengan ikan bersaiz mega. Menyedari hakikat ini, pemancing prihatin akan menggunakan tali pinggang khas bagi mengurangkan tekanan ketika beraksi.Tali pinggang aksi AFTCO direka khas untuk tugasan berat bagi memberi keselesaan kepada pemancing. Diperbuat daripada foam bermutu tinggi yang mampu memberikan impak kecil walaupun pemancing bertarung dengan ikan bersaiz bagak. Bagi memastikan ia tahan lama, plet aluminium ditampal pada bahagian depannya. Turut dipasang dua tali pengikat di pinggang dan tengkuk bagi memastikan pemancing benar-benar selesa ketika memakainya.Poket joran diperbuat daripada pin keluli tahan karat yang mudah diubah suai sama ada menegak mahupun melintang. Istimewa tali pinggang aksi Aftco ia timbul jika terjatuh di dalam air. Dapatkannya di kedai pancing utama seluruh negara.

INFO PRODUK PANCING 4


Beg galas solar

DUNIA teknologi kini semakin canggih dan mudah. Ia termasuk menjalankan aktiviti luar dan lasak. Kalau boleh teknologi ini dapat dibawa bersama bagi memudahkan perhubungan atau komunikasi dengan orang lain.Justeru, sebuah syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat mengeluarkan beg galas dilengkapi panel solar untuk memudahkan pemiliknya mengecas telefon bimbit, kamera digital, televisyen LCD, kamera perakam video, pemain MP3 dan alat pengesan kedudukan global (GPS).Beg galas kalis air begitu unik reka bentuknya untuk kemudahan dan keselesaan pemiliknya ketika menjalankan aktiviti lasak berkenaan. Malah beg sandang itu turut digunakan tentera, polis atau anggota penyelamat. Beg ini dilengkapi panel solar 6 watt dan sel solar CIGS yang digunakan NASA. Terdapat dua bahagian pada beg berkenaan yang boleh diisi sebuah komputer bimbit dan sedikit pakaian. Zip yang digunakan pula kalis air bagi memastikan penyimpanan sentiasa kering walaupun terkena hujan mahupun terjatuh ke dalam air.

INFO PRODUK PANCING 3


Kekili Tomman - Omega

KEKILI ini dilengkapi dengan 10 bebola keluli bagi melancarkan pergerakan gelendung apabila melakukan karauan terutama ketika bertarung dengan mangsa dalam apa juga keadaan. Pemegang atau pemutarnya mampu memantapkan karauan untuk memastikan setiap karauan mampu menaikkan mangsa dengan lebih cepat.Gelendungnya mempunyai dua warna dan bahagian badan kekili diperbuat daripada grafit berkualiti tinggi supaya ia tahan lasak serta dapat menjamin jangka hayat yang lebih panjang.Kekili keluaran terbaru ini juga anti pusing kebelakang (anti-reverse) manakala didatangkan dalam siri 1000, 2000, 3000, 4000, 5000 dan 6000 yang boleh memuatkan tali pancing antara 180 hingga 320 meter.


Kekili Tomman - Marano

KEKILI ini diperkuatkan dengan lima bebola keluli bagi melicinkan karauan untuk memastikan setiap karauan dapat dilakukan dengan pantas serta berkesan ketika mendaratkan mangsa.Gelendung aluminium dua warna serta penggunaan grafit membuktikan ketahanan kekili ini dan kemampuannya untuk menjadikan ia tahan lebih lama.Kekili ini dilengkapi dengan lampu LED dan spring SUS yang lebih tahan, manakala sistem keseluruhan diimbangi dengan penggunaan komputer. Didatangkan dengan siri 1000, 2000, 3000, 4000, 5000 dan 6000 yang boleh memuatkan tali pancing antara 180 meter hingga 320 meter bergantung kepada saiz diameter.


Tomman Tournament Gold

TALI pancing ini diperbuat daripada copolymer untuk memastikan ia lembut serta tahan geselan, tahan lasak dan kuat supaya tidak mudah putus ketika digunakan.Tali ini sesuai digunakan untuk memancing teknik casting dan diameter yang kecil dapat membantu melakukan simpulan yang kukuh. Keluaran terbaru ini merangkumi tali pancing dengan kapasiti 10 paun hingga 80 paun. Keterangan: TCE Tackles Sdn Bhd - 04-4841628

INFO PRODUK PANCING 2


1. Sarung tangan Bakau Fishing - Ziglove

SARUNG tangan terbaru edaran TCE Tackles Sdn Bhd menampilkan tiga model G-2000, G-2001, G-2002 dan G-2003 bagi memenuhi cita rasa kaki pancing bersesuaian dengan kegunaan mereka seperti jigging.Keluaran terbaru ini diperbuat daripada bahan yang nipis dan lembut untuk menjamin keselesaan namun ia tahan lasak serta sesuai untuk mengelakkan kecederaan pada bahagian tangan. Reka bentuk yang lebih trend ini juga mampu menjamin keselesaan tangan pengguna dan tidak panas. Keterangan: 04 - 48445242.


2. Kekili Ajiking

Pro Italy LP 1000 KEKILI edaran TCE Tackles Sdn Bhd ini memiliki tiga bebola keluli bagi melancarkan pergerakan ketika karauan manakala gelendung diperbuat daripada aloi aluminium untuk memastikan ia tahan lasak.Sistem gear yang diperbuat daripada brass serta clac sehala dapat membantu pergerakan mekanisma kekili ini dengan lebih lancar serta berkesan.Pemegang pemutar yang diperbuat daripada getah pula mapau menjamin keselesaan pemiliknya manakal ratio 5:4:1 pula membuktikan tahap kelajuan yang lebih baik ketika karauan dilakukan. Kapasiti tali pancing: 0.30/150 meter, 0.35/110 meter, 0.40/80 meter.3.


3. Kekili Tomman -Go Fly

KEKILI khas untuk pancing layang ini sesuai untuk mereka yang baru terbabit dengan teknik ini manakala harga yang ditawarkan turut berpatutan.Beratnya yang ringan serta kalis geseran membuatkan pergerakan kekili ini lebih lancar serta tidak mudah tersekat. Keluaran terbaru ini membabitkan model Go Fly 45, Go Fly 56 dan Go Fly 78.

INFO PRODUK PANCING


Bot Explorer
E280 sesuai pelbagai aktivitiINGINKAN bot lebih selesa untuk pelbagai kegunaan? Model E280 keluaran Boat Explorer Sdn Bhd (Boat Explorer) menepati cita rasa anda kerana sesuai digunakan untuk memancing, menyelam dan membawa penumpang.Reka bentuk keluaran terbaru ini juga sesuai digunakan di laut untuk membelah ombak dengan lancar bagi menjamin keselesaan penumpang dan boleh memuatkan sehingga lapan penumpang dengan selesa.Bot 8.5 meter panjang dan 2.3 meter lebar itu boleh dilengkapi enjin 140 hingga 225 kuasa kuda. Tel: 012- 623 9552.



Kekili Tomman
Alpha MaxBAHAGIAN utama (badan) dan rotor diperbuat daripada aluminium untuk memastikan tahan lasak serta lebih lama dalam jangka masa panjang. Ia turut menggunakan sistem anti undur untuk memberikan tahap pengendalian lebih baik.Bahagian gear diperbuat daripada loyang. Ini bukti ciri tahan lasak dan kemasan bahagian dalam yang lebih berkualiti serta mampu melalui pertarungan lebih sengit.Pembikinan kekili ini menggunakan sistem CNC dengan hasil pemegang getah lebih besar untuk memberi keselesaan ketika pemancing mengarau dan bahagian dalaman dilengkapi sembilan bebola bearing untuk menjamin karauan lebih lancar.


Siri Spinner Bakau
PRODUK gewang putar (spinner) terbaru ini direka khas untuk menewaskan spesies agresif seperti sebarau dan haruan kerana warnanya yang berkilat menyebabkan ikan cepat bertindak agresif untuk mengejarnya.Ia turut dilengkapi bilah pemutar berwarna terang supaya ia mudah dilihat mangsa ketika berada dalam air serta menarik perhatian ikan terbabit ketika bergerak.Selain itu mata kail Fire Eagle turut dipasang pada bahagian bawah untuk memerangkap mangsa.

SIMPULAN BULATAN TUNA

SIMPULAN ini sesuai digunakan untuk mengikat umpan sama ada hirisan sotong ataupun keratan ikan dalam keadaan air yang berarus tidak kira di laut ataupun sungai.1. Umpan yang dipotong dimasukkan menerusi mata kail namun kaedah ini ada keburukan sekiranya menggunakan umpan yang lembut kerana ia berkemungkinan akan dimakan ikan yang tidak dikehendaki ataupun bersaiz lebih kecil.2. Bagaimanapun, umpan akan lebih selamat jika dimasukkan menerusi tali pancing terutama pada tahap air yang lebih dalam.3. Kemudian lipat umpan dan sekali lagi masukkan mata kail menerusinya untuk memastikan keberkesanan mata kail.4. Bahagian lebihan umpan mampu menjadi daya penarik apabila ia bergerak dibawa arus.5. Sekali lagi masukkan mata kail menerusi bahagian terakhir untuk memastikan mata kail terkeluar dari umpan.6. Ambil sepotong lagi umpan dan lipat kemudian masukkan menerusi mata kail.7. Tolak bahagian umpan yang terlipat untuk memastikan mata terkeluar dan mengenakan mangsa dengan baik.




sumber daripada Akhbar Joran, Berita harian.

CARA PINTAL UMPAN

CARA memasukkan umpan pada mata kail ada kalanya memainkan peranan untuk memastikan umpan tidak mudah terlucut dibawa arus ataupun tidak mudah terkeluar apabila diragut mangsa.Oleh itu, cara memasukkan umpan juga perlu dilakukan dengan teknik yang sesuai termasuk memintal seperti bahagian sotong yang dipotong ataupun cacing, ruat, perumpun sarang ataupun ulat lundu.





sumber drp Akhbar Joran

TEKNIK SUSUN UMPAN

TEKNIK memasang umpan juga penting untuk menarik perhatian ikan. Ini kerana cara menyusun serta meletakkan umpan turut diambil kira supaya mangsa lebih cepat memakan umpan.Menghimpunkan jumlah umpan yang banyak terutama cacing pada mata kail antara teknik yang boleh digunakan ketika memancing air tawar untuk memikat penghuni sungai ataupun tasik. Cacing adalah antara umpan paling berkesan untuk kebanyakan ikan air tawar. Ia mungkin digunakan seekor atau beberapa ekor sekali gus seperti gambar rajah berikut.




sumber drp Akhbar Joran

FAKTA PANCING USA


FAKTA: Di AS

-Ada 2.77 juta pemancing di Florida, Texas (2.52 juta) dan California (1.73 juta).
-Ada 75,000 pekerjaan berkaitan memancing di Florida, Texas (59,000) dan
Minesota (43,100).
-Seorang daripada tujuh rakyatnya memancing.
-Sebanyak 45 peratus pemancing adalah warga kota.
-Sebanyak 25 peratus pemancing adalah wanita.
-Separuh jumlah pemancing berusia 35 hingga 54 tahun.


sumber dipetik drp Akhbar Joran,
Berita Harian, Jumaat -21 Nov 2008

Saturday, November 22, 2008

Pantai Irama, Bachok



Video terkini keadaan ombak di Pantai Irama, Bachok.

23 Nov 2008

Gambar terkini di Pantai Irama, Bachok

23 Nov 2008

ALASKA FISHING

Friday, November 21, 2008

Sukan Pancing Perlu Revolusi

KENAPA sukan memancing di Malaysia diabaikan? Persoalan yang kerap dipaparkan dalam JORAN ini masih belum dijawab atau diberi maklum balas mana-mana pihak. Sedangkan di Amerika Syarikat, ada 40 juta pemancing yang menjana AS$45 bilion jualan runcit peralatan dan aksesori pancing. Sukan itu yang diberi status industri, memberi kesan AS$125 bilion kepada ekonomi negara selain mewujudkan pekerjaan kepada lebih sejuta orang.

Presiden Persatuan Sukan Memancing Amerika (ASA), Mike Hussman, menyifatkan memancing kekal antara sukan luar (outdoor) paling popular di negara itu dan berkembang seiring industri bot. Menurut laporan Center of Competitive Analysis (CCA) di Universiti Missouri, industri bot di Amerika pada 1998 bernilai AS$19 bilion dan menyediakan pekerjaan kepada lebih 60,000 orang. Menurut Persatuan Pengilang-Pengilang Marin Kebangsaan (NMMA), industri bot rekreasi mencatatkan jualan tahunan AS$32 bilion di Amerika. Ia dianggotai 1,600 pengilang dan mengendalikan 22 pameran bot.Fakta ini membuktikan memancing bukan lagi calang-calang sukan.

Di Malaysia, mana-mana pihak yang sanggup mengambil sukan memancing sebagai projeknya mampu muncul sebagai ‘seseorang’ yang berfikiran hebat. Dia mungkin akan diberi label sebagai ‘bapa industri baru’ dan sama taraf dengan idea dan pelaksanaan projek mega lain. Namun projek mega sukan ini berbeza kerana ia membabitkan lebih ramai akar umbi khususnya kira-kira 2 juta pemancing. Kemudian penggerak asas industri perikanan (nelayan) yang rata-rata Melayu, boleh diserapkan menjadi pemain utama industri memancing ini.

Apa yang perlu adalah melakukan satu revolusi minda, perundangan, infrastruktur dan tenaga kerja berkaitan industri ini. Tanggapan pemancing adalah warga kelas tiga; isu pembiayaan pembelian bot; undang-undang berkaitan yang bercelaru; ketiadaan kemudahan di jeti serta kurangnya tenaga mahir mengendalikan sukan ini - semua adalah halangan paling besar yang menyekat mata kita daripada menyaksikan kehebatan industri memancing di luar negara.

Industri ini boleh dimulakan dengan menubuhkan satu badan seakan-akan ASA dan disokong badan seperti NMMA. Panelnya melakar dan membentangkan isu, penyelesaian kemudian mengemukakan pelan induk serta dasar. Antara tindakan awal badan ini ialah status pemancing harus diperjelaskan dan diletakkan di bawah kementerian bersesuaian yang bakal menaungi badan berkenaan.Menyelesaikan isu status memancing bermakna menetapkan sama ada ia adalah satu sukan, kegiatan pelancongan atau aktiviti perikanan. Status memancing yang berada dalam zon kelabu dan bertindih ini menyebabkan ia diabaikan.

Di Amerika, ASA ditubuhkan 77 tahun lalu dan hasilnya sekarang adalah satu industri besar yang memantapkan ekonomi negara.Perkembangan industri memancing di Amerika dijadikan rujukan di sini supaya kita membuka mata dan mendapat keyakinan betapa Malaysia juga mampu membina industri memancingnya jika ada komitmen kerajaan yang disokong oleh pemain utama sukan ini.

Berdasarkan perbincangan Unit JORAN, Berita Harian dengan 25 orang pelbagai profesion mewakili pemancing di Balai Berita, baru-baru ini boleh dirumuskan, paksi kepada kebuntuan usaha memajukan sukan memancing adalah dasar kerajaan yang tidak pernah mahu melihat keseluruhan kegiatan ini.Mereka menyatakan, sukan memancing boleh dianjak daripada amatur sekarang kepada semi-pro atau pro sepenuhnya. Soal sistem pengurusan, pelabelan status, penajaan dan penganjuran pertandingan adalah perkara teknikal yang boleh dipelajari atau diserap pakai dari luar kemudian disesuaikan mengikut keperluan domestik.


Namun pokok atau paksi adalah isu apa status pemancing, perundangan industri, penguatkuasaan, logistik dan infrastruktur, penyediaan sumber manusia, pembiayaan membeli bot, pelesenan bot dan pemancing serta penyeragaman undang-undang yang ada pada beberapa agensi atau kementerian.Ketiadaan kemudahan di pangkalan membabitkan landasan turun naik bot, tandas, kemudahan membersihkan badan, bekalan air batu, lampu dan kaunter jualan minuman.

Bot pancing di Malaysia boleh dikategorikan sebagai ketinggalan kerana kerajaan tidak menguatkuasakan pemasangan set radio, tiada tandas, kurang selenggaraan, tekong tidak mahir, hal keselamatan, tiada GPS dan perkakasan elektronik mengesan ikan serta tidak mesra pelanggan.

Di Thailand, setiap bot 17 kaki atau lebih diwajibkan memasang set radio untuk hubungan dengan pangkalan serta tekong bot lain. Tetapi tidak diketahui apa sebabnya set radio tidak diwajib dipasang pada bot di Malaysia. Bot pancing Thailand juga menyediakan khidmat bertaraf hotel, krew yang mesra pelanggan, terlatih serta mahi menyediakan menu makan.Sikap tekong kita pula sesetengahnya pemalas, bengis, tidak boleh diajak berbincang, tidak tahu lubuk dan pengotor.


Teruknya isu bot adalah dengan membayangkan bagaimana seorang pemancing memegang tali di buritan untuk menyelesaikan sakit perutnya. Di mana inisiatif pemilik bot dan di mana mata pegawai kerajaan dalam menangani kemudahan asas sekecil ini? “Bayangkan betapa seksanya menahan sakit perut bagi ekspedisi lima hari ke perairan pelantar minyak,” kata seorang pemancing tegar, Abu Bakar Ali.“Saya sudah melatih 680 tekong bot tetapi cuma 32 bot yang ada tandas,” kata Mejar (B) Ismail Feisol, pemancing pro pertama Malaysia.

(Bersambung)

FAKTA: Di AS
· Ada 2.77 juta pemancing di Florida, Texas (2.52 juta) dan California (1.73 juta).
· Ada 75,000 pekerjaan berkaitan memancing di Florida, Texas (59,000) dan Minesota

(43,100).
· Seorang daripada tujuh rakyatnya memancing.
· Sebanyak 45 peratus pemancing adalah warga kota.
· Sebanyak 25 peratus pemancing adalah wanita.
· Separuh jumlah pemancing berusia 35 hingga 54 tahun.



sumber dipetik drp Akhbar Joran, Berita Harian, Jumaat -21 Nov 2008


Tengkujuh Dah Tiba


Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dijangka akan melanda perairan Pantai Timur Semenanjung iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Sabah Barat, Pulau Layang-layang, Kudat dan Labuan.

Keadaan ombak dijangka mencapai ketinggian 3.5 meter dijangka berterusan hingga Isnin ini. Amaran kategori pertama ini dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia yang menandakan musim tengkujuh dah bermula. Keadaan ini amat berbahaya kepada nelayan serta bot kecil.


Sepanjang tempoh itu, ribut petir juga dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Tioman, Sabah Barat, Kudat dan Sandakan.

Kepada kaki pancing ................. harap ambil perhatian dengan amaran terkini ini.


dipetik drd Akhbar Joran, Berita Harian, Jumaat 21 Nov 2008

Thursday, November 20, 2008

UMPAN TAPA KEMBOJA

Umpan tapa sebenarnya umpan jeruk yang diperbuat daripada anak ikan, cacing, udang dan sebagainya. Umpan ini mampu mengeluarkan bau yang busuk dan pasti meloyakan bagi mereka yang alah dengan bau busuk. Umpan tapa digunakan untuk menarik perhatian ikan baung yang cukup terkenal dengan selera makannya yang gemarkan umpan busuk.

Sekarang ini, kita telah didatangi dengan umpan tapa dari Kemboja yang dikatakan cukup berkesan untuk memerangkap sang baung. Umpan buatan Kemboja ini dikatakan diperbuat daripada anak ikan belanak yang dijeruk. Harganya agak tinggi iaitu sekitar RM 60 sebotol. Saya sendiri pun belum berkesempatan lagi untuk mengenali umpan tersebut. Kalau umpan tapa buatan Siam......... saya dah cuba.


Bagi kaki pancing, ini mungkin satu berita yang cukup menawan............. namun jauh dipenjuru hati saya wujud rasa kebimbangan. Apa tidaknya.......... umpan tersebut dikatakan mengeluarkan bau yang amat hebat dan boleh menarik perhatian ikan dari jauh. Di samping itu, semua spesies baung tak kira kecil besar atau jantan betina akan menjadi mangsa.

Jika umpan ini, betul-betul sangat berkesan............... apa akan jadi kepada spesies baung. Mungkinkah sang baung akan pupus suatu hari nanti dek umpan power gila tersebut. Kepada pemburu baung ................ harap-harap bawa balik baung yang perlu sahaja. Ikan baung yang belum cukup umur harap dibiarkan hidup agar ianya terus membiak.

doa saya ...... semoga si baung tidak pupus dan terus jadi penghuni lubuk